Formula Bersatu: Hamzah timbalan presiden, Azmin SU Agung
Hariz Mohd
Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin bakal 'naik pangkat' bagi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti itu akan datang.
Perkara itu diumumkan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin yang mendedahkan, perkembangan itu merupakan hasil perbincangan serta kesepakatan kepimpinan tertinggi parti itu.
Menurutnya, Hamzah akan menggantikan tempat Ahmad Faizal Azumu yang bersetuju untuk mengundurkan diri.
Ahmad Faizal sebaliknya akan menawarkan diri untuk mengisi salah satu daripada tiga jawatan naib presiden parti itu, yang kosong selepas penyandangnya, Rafiq Naizamohidden keluar dari Bersatu pada 2022.
Dua penyandang naib presiden - Radzi Jidin dan Ronald Kiandee - juga akan mempertahankan jawatan mereka dalam pemilihan parti akan datang, tambahnya.
Sementara itu Muhyiddin berkata Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Mohamed Azmin Ali pula akan ditawarkan jawatan setiausaha agung.
Bercakap pada sidang media petang ini, Muhyiddin berkata cadangan itu adalah formula untuk mengurangkan "suhu" kempen bagi pemilihan parti yang dijadualkan bermula 12 Oktober ini.
Bagaimanapun, dia menegaskan ia bukan bermakna Bersatu menghalang ahlinya daripada bertanding mana-mana jawatan.
"Saya juga tidak ada masalah lain-lain parti ahli yang menawarkan diri.
"Cuma peringkat ini ada langkah seterusnya kalau boleh dirundingkan.
"Saya tak kata tak boleh (bertanding), kalau ada antara kalangan mereka masih lagi berhasrat untuk bertanding, itu adalah hak mereka.
"Tapi untuk memberikan sedikit harapan supaya kesemua jawatan itu dapat kita susun lebih awal supaya suhu kempen tidak terlalu panas,” katanya dalam sidang media selepas penutup konvensyen Bersatu di Selayang, Selangor hari ini.
Untuk rekod, Muhyiddin akan terus memegang jawatan presiden Bersatu sepenggal lagi susulan keputusan perhimpunan agung parti itu tahun lepas.
Terdahulu hari ini, Muhyiddin dalam ucapan perasmian konvensyen berkenaan berkata dia telah menjadi perantara dalam rundingan di kalangan pemimpin tertinggi parti untuk memastikan parti itu kekal bersatu.
Menurutnya, idea itu dicetuskan semasa pemukiman Bersatu baru-baru ini di mana dia diminta bertemu semua pemimpin tertinggi dan memulakan perbincangan mengenai cara mengelak pertembungan dan mencegah perpecahan dalam pemilihan parti.
Muhyiddin juga menggesa semua ahli parti dan pemimpin akar umbi yang ingin bertanding dalam pemilihan parti itu akan datang supaya berunding sesama mereka terlebih dahulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan