"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Waris Tok Ku Paloh dipanggil bantu siasatan dakwaan tiang Nabi Khidir bersandar

Baharom Bakar
am@hmetro.com.my
RAKAMAN tular memaparkan kawasan dipercayai makam Tok Ku Paloh di Kampung Serada yang dikunjungi orang ramai bagi melihat tiang didakwa tempat Nabi Khidir bersandar ketika bertemu dengan ulama itu pada abad ke-19. FOTO tular
RAKAMAN tular memaparkan kawasan dipercayai makam Tok Ku Paloh di Kampung Serada yang dikunjungi orang ramai bagi melihat tiang didakwa tempat Nabi Khidir bersandar ketika bertemu dengan ulama itu pada abad ke-19. FOTO tular
Kuala Terengganu: Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan memanggil waris ulama tersohor, Tok Ku Paloh untuk mendapatkan maklumat dakwaan kewujudan tiang Nabi Khidir bersandar di negeri ini.

Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin berkata, maklumat daripada waris Tok Ku Paloh atau nama sebenarnya Sayyid Abdul Rahman Sayyid Muhammad Al-Idrus diperlukan bagi membantu siasatan dakwaan terdapat tiang Nabi Khidir bersandar dipercayai di Kampung Serada, di sini.

Katanya, bahagian penguat kuasa dan penyelidikan JHEAT sedang melakukan siasatan termasuk memanggil waris Tok Ku Paloh untuk mendapatkan maklumat.

"Maklumat daripada waris Tok Ku Paloh diperlukan bagi mengukuhkan dakwaan itu betul atau tidak," katanya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.

M Rozi berkata demikian ketika mengulas video berdurasi selama dua minit dan 58 saat yang memaparkan kawasan dipercayai makam Tok Ku Paloh yang terletak di Kampung Serada dikunjungi orang ramai bagi melihat sendiri sebatang tiang yang dikatakan tempat Nabi Khidir bersandar ketika bertemu dengan ulama itu pada abad ke-19.

Mengulas lanjut, M Rozi berkata, video itu menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam di negeri ini.

Katanya, JHEAT akan mendapatkan pandangan termasuk daripada Jabatan Mufti sebelum tindakan lanjut dilakukan.

"Siasatan secara menyeluruh termasuk mengenal pasti mereka yang mendakwa tiang itu dijadikan sebagai tempat Nabi Khidir menyandar perlu perlu dilakukan.

"Kita akan mendapatkan maklumat termasuk asas sumber yang mendakwa tiang Nabi Khidir menyandar akan dilakukan," katanya.

M Rozi berkata, pegawai daripada bahagian penguat kuasa sedang melakukan pemantauan bagi mengelak lokasi itu dijadikan sebagai pegangan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ketika ditanya tempoh siasatan, M Rozi berkata, bahagian penyelidikan JHEAT sedang membuat semakan untuk mendapatkan pengesahan sumber.

"Siasatan mungkin akan mengambil masa terutama mendapatkan bukti, termasuk maklumat daripada waris Tok Ku Paloh yang berkemungkinan tokoh ulama itu pernah menyebut bahawa tiang itu tempat Nabi Khidir menyandar," katanya.

Tiada ulasan: