"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes berkait ugut, fitnah pempengaruh yang ditemukan mati, seorang wanita ditahan

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang wanita tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung ugutan terhadap pempengaruh media sosial dikenali sebagai Rajeswary atau Esha yang ditemukan meninggal dunia di rumahnya, Khamis lalu, iaitu sehari selepas membuat laporan polis berhubung ugutan jenayah dan fitnah.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima laporan jam 4.13 petang kelmarin daripada seorang lelaki berusia 39 tahun berhubung ugutan diterima pempengaruh itu di aplikasi TikTok.

"Siasatan dilakukan mendapati kejadian itu berlaku dua kali iaitu jam 10.15 malam pada 30 Jun lalu dan 4.10 pagi pada 1 Julai lalu.

"Semasa pengadu berada di Lorong Kolam Air 8 Jalan Ipoh dia terlihat dua posting melalui aplikasi TikTok akaun Dulal Brothers dan Tiktok akaun 'Alphaquinnsha' mengenai fitnah dan ugutan terhadap Rajeswary," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Sukarno berkata, kedua-dua akaun TikTok terbabit menggunakan gambar Rajeswary sebagai latar belakang kandungan video yang dimuat naik ke akaun masing-masing.

"Kandungan itu juga didapati mengandungi ugutan dan ancaman kepada Rajeswary serta turut menggunakan kata-kata kesat dan lucah.

"Hasil semakan polis mendapati tohmahan dan fitnah yang dilaporkan wujud berdasarkan tangkap layar dikemukakan oleh pengadu kepada polis.

"Namun, hantaran berkenaan disyaki dipadam oleh kedua-dua pemilik akaun Tiktok terbabit," katanya kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 atas kesalahan menyebarkan kenyataan jelik dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995 kerana kelakuan aib.

Susulan itu katanya, polis menahan salah seorang suspek iaitu seorang wanita tempatan berusia 35 tahun di Jalan Cempaka 2, Bukit Beruntung, Selangor jam 1.45 pagi ini.

Katanya, suspek adalah pemilik salah satu akaun TikTok terbabit yang bekerja sebagai penjaga rumah kebajikan dan polis masih mengesan seorang lagi pemilik akaun yang membuat hantaran ugutan itu.

"Suspek direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul sehingga 10 Julai ini bagi membantu siasatan," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan berhubung kes ini boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Kumaran Krishnan di talian 010-9093726 atau Bilik Gerakan IPD Sentul 03-40482222.

Terdahulu, media melaporkan pempengaruh berkenaan Rajeswary Appahu, 30, yang juga aktivis ditemui meninggal dunia di rumahnya, Khamis lalu, iaitu sehari selepas membuat laporan polis berhubung ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya.

Tiada ulasan: