"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sebuah firma didakwa mengurung pekerja dalam bilik gelap selama 4 hari agar letak jawatan

Pekerja didakwa kurung dalam bilik gelap selama 4 hari, dipaksa berhenti
Agensi

Beijing: Sebuah firma di China sanggup mengurung seorang pekerja di bilik gelap kecil selama empat hari, dalam usaha kejam untuk membuatkan pekerjanya itu meletak jawatan.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan dalam kelainan yang luar biasa, insiden itu terbongkar bukan melalui pekerja tetapi syarikat itu sendiri Guangzhou Duoyi Network Co Ltd, selepas syarikat mencabar keputusan mahkamah mengenai kes berkenaan.

Firma itu menerbitkan dokumen penuh mahkamah di akaun Weibo rasminya, secara terbuka tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat pada Mei oleh mahkamah peringkat daerah di wilayah Sichuan, barat daya China.

Mahkamah memutuskan bahawa anak syarikat Guangzhou Duoyi Network di Sichuan perlu membayar pekerja berkenaan, Liu Linzhu, sejumlah 380,000 yuan (RM244,371) sebagai pampasan atas tindakan mereka.

Bagaimanapun, syarikat itu menjawab dengan berkata: "Kami percaya terdapat banyak masalah dengan undang-undang buruh yang sangat menghalang pembangunan ekonomi dan dikuatkuasakan secara sewenang-wenangnya oleh hakim yang memutarbelitkan fakta."

Laman web rasmi mahkamah masih belum membuat rekod perbicaraan awam.

Peguam Liu mengesahkan kesahihan dokumen mahkamah yang diterbitkan dengan Shangyou News, sebuah akhbar milik kerajaan perbandaran.

Kisah itu mula terbongkar pada Disember 2022 apabila Liu mendapati dia tidak boleh log masuk ke sistem komputer syarikat atau menggunakan pas masuknya.

Ini berlaku berikutan rundingan yang berlarutan berhubung peletakan jawatannya.

Firma itu memberitahu Liu, dia dikehendaki mengambil bahagian dalam 'latihan' dan membawanya ke bilik di tingkat yang berbeza berbanding tempat kerjanya.

Bilik itu gelap sepenuhnya kerana tiada bekalan elektrik. Ia tidak mempunyai rakan sekerja dan komputer, dan hanya dilengkapi dengan meja dan kerusi.

Lebih empat hari, walaupun Liu dibenarkan keluar dari bilik 'dengan bebas' termasuk pulang ke rumah selepas 'kerja', dia tidak diberi sebarang tugas dan telefon bimbitnya dirampas.

Hanya pada hari kelima, selepas isteri Liu melaporkan layanan syarikat terhadap suaminya kepada polis, notis rasmi untuk memberhentikannya dikeluarkan.

Dalam usaha untuk mengelak daripada membayar pampasan, Guangzhou Duoyi Network menegaskan pemberhentian itu adalah kerana Liu melanggar dasar syarikat.

Dia dituduh melihat imej bogel dan melayari laman web yang tidak berkaitan semasa waktu bekerja.

Bagaimanapun, sebagai editor seni permainan, Liu berhujah bahawa imej yang dilihatnya adalah untuk tujuan kerja. Mahkamah bersetuju dengan Liu.

Mahkamah memutuskan bahawa mengurung Liu ke dalam "bilik gelap" adalah menyalahi undang-undang di bawah Undang-undang Kontrak Buruh, yang mewajibkan majikan menyediakan syarat kerja yang sesuai untuk pekerja.
-hmetro 

Tiada ulasan: