"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki dakwa ditumbuk Orang Besar Undang Luak Rembau, polis jalankan siasatan

Malaysiakini 

Polis menyiasat kejadian seorang lelaki yang mendakwa ditumbuk oleh Orang Besar Undang Luak Rembau ketika menghadiri sebuah majlis berkaitan adat, dekat Seremban, Khamis lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata mangsa berusia 64 tahun itu membuat laporan berhubung insiden itu pada jam 6.12 petang, hari yang sama.

“Mangsa dirujuk ke Hospital Rembau untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Perintah Menjalankan Siasatan telah dipohon bagi menjalankan siasatan.

“Seramai 17 saksi dirakam percakapan bagi membantu siasatan polis. Motif kejadian dipercayai akibat salah faham,” katanya dalam kenyataan di Seremban hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan atau sebarang spekulasi kerana siasatan lanjut masih diteruskan.

Difahamkan, majis berkenaan diadakan sebagai sebahagian proses mencari individu yang layak menjadi Undang Luak Rembau yang baru susulan kematian penyandangnya Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman pada 15 Mei lepas.

- Bernama

Tiada ulasan: