"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kru bot dikhuatiri lemas ditahan bersembunyi di rumah

Bernama

KANGAR: Seorang kru bot nelayan yang dikhuatiri lemas kerana terjun ke laut ketika operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ditemui selamat di rumahnya di Kuala Sungai Baru, Simpang Empat dekat Kuala Perlis semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Mohd Hashim Mat Zain berkata lelaki 42 tahun itu ditahan pada 12.15 tengah hari Rabu ketika bersembunyi di rumahnya.

Beliau berkata, isteri lelaki terbabit pada awalnya memaklumkan suaminya tiada di rumah.

“Hasil soal siasat mendapati suspek bertindak terjun ke laut bagi mengelak diberkas penguat kuasa Maritim Malaysia kerana terlibat penagihan dadah,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Lelaki terbabit dilaporkan terjun ke laut semasa Maritim Malaysia cuba menahan bot itu di kedudukan 4.1 batu nautika barat muara Kuala Kedah kira-kira 9.50 malam Selasa.

Pasukan Maritim Malaysia menghampiri bot nelayan itu yang dalam keadaan mencurigakan dan disyaki melakukan aktiviti menangguk siput.

Media semalam melaporkan Maritime Rescue Sub-Centre Langkawi mengkoordinasi operasi carilamat, dengan tiga bot ditugaskan ke lokasi lelaki itu disyaki terjun ke laut, yang turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan beberapa bot nelayan tempatan.

Tiada ulasan: