Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Pempengaruh media sosial direman enam hari bagi membantu siasatan kes pecah masuk rumah bekas suami dan bekas madunya, di sini.
Perintah tahanan reman ke atas wanita berusia 20-an itu dikeluarkan Majistret Amin Rashidi Ramli bermula bermula hari ini sehingga Ahad.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mengesahkan wanita itu ditahan untuk siasatan lanjut, susulan barang milik pengadu yang didakwa hilang.
Katanya, polis menerima laporan daripada bekas madu wanita itu pada 9.47 malam kelmarin, yang mendakwa rumahnya dipecah masuk pada 11.30 malam, 22 Julai lalu.
"Wanita itu menyedari rumahnya dipecah masuk dan mendapati sliding door (pintu gelongsor) hadapan dalam keadaan terbuka.
"Beberapa barangan juga didapati hilang dan pengadu juga menjumpai satu beg plastik ubat di atas meja di dalam biliknya, tertulis nama perempuan yang dikenali olehnya dan suami," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, bertindak di atas maklumat, suspek berjaya ditangkap pada 11.30 malam semalam.
PEMPENGARUH media sosial ditahan reman, didakwa pecah masuk rumah bekas suami. FOTO Nik Abdullah Omar.
Katanya, hasil siasatan mendapati terdapat kesan umpil pada pintu jeriji keselamatan dan pintu cermin hadapan rumah, selain suspek mengaku masuk ke dalam rumah semasa ketiadaan pengadu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan suspek ditahan reman selama enam hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
"Kes masih di peringkat siasatan dan pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh mengganggu siasatan," katanya.
Terdahulu, tular video rakaman siaran langsung di TikTok yang memaparkan wanita berkenaan dan bekas madunya bercerita kisah rumah tangga mereka sebelum ini.
Menerusi video itu, wanita berkenaan mendakwa sering dikasari oleh bekas suaminya sehingga dia tidak sanggup lagi untuk hidup bersama dengan lelaki itu.
Ketika bersiaran langsung, kira-kira 50,000 orang yang melihatnya dan video berkenaan tular serta mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai
Tiada ulasan:
Catat Ulasan