"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Yahya Sinwar dinamakan sebagai penganti Haniyeh

REUTERS
Komander Yahya Sinwar. - Foto REUTERS
Komander Yahya Sinwar. - Foto REUTERS
KAHERAH: Hamas menamakan pemimpin Gaza, Yahya Sinwar sebagai pengganti kepada Ketua Biro Politik, Ismail Haniyeh, yang dibunuh di Tehran minggu lalu, kata kumpulan itu semalam.

Sinwar dianggap arkitek serangan paling dahsyat ke atas Israel dalam beberapa dekad dan bersembunyi di Gaza, menentang percubaan rejim untuk membunuhnya sejak permulaan perang.

"Hamas mengumumkan pemilihan Komander Yahya Sinwar sebagai ketua biro politik pergerakan itu, menggantikan Komander Ismail Haniyeh yang syahid, semoga Allah merahmatinya," kata pergerakan itu dalam satu kenyataan ringkas.

Pelantikan itu diumumkan ketika Israel bersiap sedia untuk berdepan kemungkinan serangan dari Iran berikutan pembunuhan Haniyeh di Tehran.

"Pelantikan itu bermakna Israel perlu berhadapan dengan Sinwar mengenai penyelesaian kepada perang Gaza," kata seorang diplomat serantau yang biasa dengan rundingan membabitkan Mesir dan Qatar, bertujuan menghentikan pertempuran di Gaza dan mengembalikan 115 warga Israel.

"Ia adalah mesej mengenai ketabahan dan ia tidak berkompromi."

Sinwar yang menghabiskan separuh hayat dewasanya di penjara Israel adalah pemimpin Hamas paling berkuasa yang masih hidup selepas pembunuhan Haniyeh, yang telah menyebabkan wilayah itu berada di ambang konflik serantau yang lebih luas selepas Iran berikrar membalas dendam.

Israel tidak mengaku bertanggungjawab atas pembunuhan itu tetapi mengakui membunuh pemimpin kanan lain termasuk timbalan ketua Hamas, Saleh al-Arouri yang terbunuh di Beirut dan Mohammed Deif, komander tentera pergerakan itu.

Dilahirkan di kem pelarian di bandar selatan Gaza di Khan Younis, Sinwar, 61, dipilih sebagai ketua Hamas di Gaza pada 2017.

Ketua jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari, menyalahkan Sinwar atas serangan 7 Oktober dan berkata Israel akan terus memburunya.

"Hanya ada satu tempat untuk Yahya Sinwar dan ia adalah di sebelah Mohammed Deif dan 'pengganas' 7 Oktober yang lain," katanya kepada televisyen Al-Arabiya.

Sebagai tanda pergerakan itu bersatu, Khaled Meshaal, bekas pemimpin yang dilihat sebagai bakal pengganti Haniyeh dikatakan oleh sumber kanan dalam gerakan itu menyokong Sinwar.

Bagi Israel, pelantikan itu mengesahkan Hamas sebagai musuh yang berdedikasi untuk memusnahkan rejim itu dan berkemungkinan mengukuhkan desakan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu bahawa Israel mesti meneruskan kempennya di Gaza hingga akhir.

Rumah Putih enggan mengulas mengenai pelantikan Sinwar.

Sepuluh bulan sejak serangan mengejut Hamas pada awal pagi 7 Oktober, perang mengubah Asia Barat dan pergolakan menjadi konflik serantau yang lebih luas.

Pegawai Hamas, Osama Hamdan memberitahu Al Jazeera bahawa pergerakan itu kekal komited untuk mencapai perjanjian dan pasukan yang mengendalikan rundingan di bawah Haniyeh akan diteruskan di bawah Sinwar, yang menurutnya sedang mengikuti rundingan itu dengan teliti.

Bagaimanapun Hani Al-Masri, seorang penganalisis politik di Ramallah, berkata pelantikan Sinwar untuk mengetuai pergerakan itu secara keseluruhan adalah satu cabaran langsung kepada Israel.

Tiada ulasan: