"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kita yang tak kuat iman ambil rasuah, salahkan pula kaum lain, pedas ucapan Ayob Khan

SITI NUR ZAWANI

Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay menyinggung sikap kebanyakan orang hari ini yang mengaitkan amalan rasuah dengan isu kaum.

Kata beliau, ada pihak yang apabila didakwa atas perbuatan rasuah, mereka menyalahkan kaum lain.

“Ada juga pihak-pihak tertentu yang cuba mengaitkan ini (rasuah) dengan isu perkauman.

“(Mereka bertanya) Kenapa tak tangkap pemberi rasuah? Kebanyakan pemberi rasuah ini orang bukan Islam.

“Itu pun nak dijadikan isu perkauman. Kalaulah kita orang Islam, kalau kita betul-betul kuat iman, kita takkan ambil rasuah. Tak perlu kita menyalahkan orang lain,” katanya dalam satu majlis yang berlangsung hujung Julai lalu.

Video itu hanya dimuat naik semalam di Facebook miliknya..

Beliau mengingatkan tentang istilah fasad (kerosakan) di mana ungkapan itu paling banyak disebut dalam al-Quran selepas perkataan solat.

Katanya, fasad terbahagi kepada dua kategori, iaitu melibatkan individu yang sedar dia melakukan kerosakan, manakala kategori kedua – yang lebih bahaya – membabitkan pihak pembuat kerosakan tetapi mendakwa dirinya sedang berbuat kebaikan.

“Fasad disebut 50 kali dalam Al-Quran. Itu menunjukkan betapa jijiknya rasuah ini.

“Malangnya daripada tangkapan yang kita buat, banyak yang ditangkap adalah orang Islam,” ujarnya lagi.

Ayob Khan berkata orang Islam tidak perlu menyalahkan orang bukan Islam apabila membincangkan isu gejala rasuah termasuk dengan mengaitkannya dari sudut pemberi atau penerima.

“Kamu (orang Islam) yang terima, kita yang menerima rasuah, (tapi) kita nak salahkan orang lain pula,” katanya

Pada Ogos 2022 Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mengaitkan orang bukan Islam dan bukan bumiputera sebagai punca berlakunya amalan rasuah di negara ini.

Menurut Abdul Hadi, golongan bukan Islam dan bukan bumiputera juga merupakan kumpulan yang paling banyak merosakkan politik dan ekonomi negara.

Tiada ulasan: