Rosman Shamsudin
bhnews@com.my
Dron yang ditemui digunakan untuk menghantar dadah ke dalam Penjara Tapah pagi semalam. - Foto ihsan PDRM
TAPAH: Cubaan menyeludup barangan merbahaya disyaki dadah dengan menggunakan dron yang diterbangkan ke sebuah penjara di sini, gagal apabila disedari seorang petugas Penjara Tapah Road di sini.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Tapah menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 5 petang, semalam.
Katanya, seorang kakitangan penjara membuat laporan polis selepas menemui sebuah dron berwarna putih di atas bumbung salah sebuah blok penjara.
"Dron berkenaan dijumpai ketika kakitangan penjara bersama anggota lain membuat rondaan pada hari yang sama kira-kira jam 11.30 pagi.
"Hasil pemeriksaan susulan laporan dibuat pengadu, polis menjumpai satu beg dobi yang digantung pada dron terbabit," katanya.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut telah menjumpai satu paket plastik lut sinar yang mengandungi tiga paket plastik berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin.
"Dadah jenis heroin berat kira-kira 122 gram, manakala dua paket plastik lut sinar pula berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 12.9 gram.
"Hasil pemeriksaan awal, modus operandi yang digunakan untuk membawa masuk dadah ke dalam penjara dengan menggunakan dron dari luar negara merupakan kes pertama diterima setakat ini," katanya.
Azizi berkata, pihak polis memandang serius dengan aktiviti penyeludupan dadah dan akan menjalankan siasatan secara menyeluruh ke atas penjenayah kes penyeludupan dadah.
Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39A(1) ADB 1952.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan