"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tak mengaku mabuk langgar dua pelajar

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
OZEY Binau (kiri) nafi memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebakan kecederaan terhadap dua pelajar perempuan Isnin lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
OZEY Binau (kiri) nafi memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebakan kecederaan terhadap dua pelajar perempuan Isnin lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
Melaka: Pekerja pasar raya dituduh di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, tadi, atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan dua pelajar perempuan yang menaiki sebuah motosikal, Isnin lalu.

Tertuduh, Ozey Binau, 25, berasal dari Beluran, Sabah, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dibacakan dan diterangkan pertuduhan itu dan minta dibicarakan.

Prosiding kes didengar Majistret Khairunnisak Hassni manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dengan kadar kandungan alkohol dalam badan sebanyak 172 miligram (mg) per 100 mililiter (ml) darah, melebihi tahap dibenarkan 50mg per 100 ml darah, iaitu lebih 122mg hingga menyebabkan kemalangan dan kecederaan kepada penunggang dan pembonceng motosikal iaitu Nurhannani Iffah Rosman dan Hasya Nur Amira Mohd Hader, kedua-duanya berusia 17 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di persimpangan lampu isyarat Cheng Height, di sini, pada 6 Ogos lalu, kira-kira jam 4 petang.

Dia didakwa di bawah Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara minimum tujuh tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM30,000 hingga RM50,000.

Jika sabit kesalahan, lesen memandu akan diendorskan serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama maksimum tujuh tahun dan lesen memandu percubaan, jika ada, dibatalkan.

Terdahulu, Wardah menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah itu dikurangkan kerana dia hanya bekerja di pasaraya dengan gaji RM2,000 sebulan.

Mahkamah membenarkan tertuduh dilepaskan sementara menunggu perbicaraan selesai dengan jaminan RM6,000 dan menetapkan kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam pada 12 September depan.

Media sebelum ini melaporkan dua pelajar tingkatan 5 Sekolah Menengah Tun Hj Abdul Malik, Cheng, cedera akibat dilanggar pemandu mabuk dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Cheng Height.

Dalam kejadian jam 4 petang Selasa lalu, kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal Yamaha Ego Avantiz mengalami luka di dahi, kaki dan tangan.

Tiada ulasan: