NURUL IZZATI ZAINI
Lokasi kejadian seorang wanita maut digilis bas setelah tercampak dari motosikalnya dalam kejadian di MRR2 dari arah Kampung Pasir menghala ke Gombak, pagi tadi.
AMPANG JAYA – Seorang wanita maut selepas tercampak daripada motosikal sebelum digilis sebuah bas dalam kemalangan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dari arah Kampung Pasir menghala ke Gombak, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi itu, mangsa wanita berusia 33 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan bersama suaminya berusia 28 tahun ke tempat kerja di Gombak.
Ujarnya, apabila sampai di tempat kejadian, suami mangsa gagal mengawal motosikal kerana mengelak kenderaan di hadapannya sebelum terjatuh ke atas jalan raya.
“Isterinya yang membonceng tercampak sehingga digilis sebuah bas yang sedang melalui jalan tersebut sehingga mengalami kecederaan parah di kepala.
“Mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian manakala suaminya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari in.
Ujar Mohd. Azam, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, saksi bebas yang menyaksikan kejadian tersebut diminta untuk tampil menyalurkan maklumat berkenaan kejadian
“Saksi boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Inspektor Nur Nadzirah Abdul Rahim di talian 012-4401093,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan