FMT Reporters
PETALING JAYA: Sebuah pesawat Malaysia Airlines yang membawa 259 jemaah umrah ke Jeddah terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak lama selepas berlepas dipercayai akibat mengalami masalah mekanikal.
Dua laman sesawang penjejak penerbangan menunjukkan pesawat itu berlepas dari KLIA kira-kira jam 3.30 petang dan berlegar di Selat Melaka sebelum selamat mendarat pada jam 5 petang.
Corak penerbangan konsisten dengan situasi pesawat menghabiskan bahan api sebelum membuat pendaratan cemas. Satu sumber penerbangan memberitahu FMT pesawat berkenaan mengalami masalah mekanikal.
AstroAwani melaporkan, pesawat Penerbangan MH156 membawa 259 jemaah umrah dari dua agensi menuju ke Jeddah.
Corak penerbangan MH156 yang dipaparkan laman sesawang penjejak penerbangan Flightradar24.com.
Seorang penumpang mendakwa pesawat itu mengalami gegaran sewaktu berlepas, dan berlegar-legar di ruang udara Malaysia kira-kira dua jam sebelum berpatah balik ke KLIA.
FMT cuba mendapatkan kenyataan daripada Malaysia Airlines.
Baru-baru ini dilaporkan dua pesawat Malaysia Airlines membuat pendaratan cemas.
Pada 20 Jun lalu, sebuah pesawat Malaysia Airlines membawa lebih 100 penumpang yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Hyderabad, India akibat masalah enjin.
Pada 24 Jun, sebuah pesawat yang dalam penerbangan ke Bangkok berpatah balik ke KLIA selepas mengalami masalah tekanan udara dalam kabin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan