KOSMO!
SEBUAH pesawat ringan menggelongsor di atas sebuah padang golf. - Foto Metro UK
WASHINGTON – Sebuah pesawat ringan mendarat cemas dan nyaris merempuh seorang pemain yang sedang berlatih di sebuah padang golf di California, lapor akhbar Metro UK semalam.
Kejadian berlaku di Kompleks Haggin Oaks Golf, Sacramento, pada Ahad lalu.
Kamera sistem televisyen litar tertutup (CCTV) merakam detik pesawat ringan itu membuat pendaratan cemas di hadapan pemain golf dikenali sebagai Tim Colin.
Lelaki tersebut dilihat melompat ke belakang kerana terkejut dengan pendaratan cemas itu.
Bagaimanapun, pesawat terbabit tidak melanggar mana-mana kenderaan di tempat letak kereta atau struktur lain.
Colin berkata kepada saluran televisyen KCRA: “Kami mendengar seperti bunyi dentuman yang kuat tetapi tidak tahu bahawa ia adalah sebuah pesawat.”
Pesawat Piper PA-28 enjin tunggal itu dilaporkan mengalami kegagalan enjin semasa berlepas dari lapangan terbang McClellan. Ia kemudian menjunam kira-kira 121 meter dari udara, demikian menurut seorang pegawai penerbangan.
“Mujurlah terdapat padang golf berhampiran untuk ia mendarat,” kata seorang pegawai bomba daripada Jabatan Bomba Sacramento, Kapten Justin Sylvia.
Pesawat itu berhenti sejurus berada di hadapan sebuah kedai, manakala juruterbangnya keluar dari kapal terbang dalam keadaan menggeletar. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan