Malaysiakini
Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini mengecam pihak tertentu yang mengaitkan amalan rasuah dengan isu kaum di negara ini.
Berucap di majlis berkaitan integriti baru-baru ini, Ayob Khan mengakui, wujud usaha untuk memutarbelitkan isu atas sesuatu kepentingan.
Katanya, berdasarkan data yang ada kebanyakan penerima rasuah di negara ini adalah terdiri daripada orang Islam.
"Ada juga pihak-pihak tertentu yang cuba mengaitkan ini (rasuah) dengan isu perkauman.
"(Mereka bertanya) Kenapa tak tangkap pemberi rasuah? Kebanyakan pemberi rasuah ini orang bukan Islam.
"Itu pun (pemberi dan penerima rasuah) nak dijadikan isu perkauman.
"Kalaulah kita orang Islam, kalau kita betul-betul kuat iman, kita takkan ambil rasuah. Tak perlu kita menyalahkan orang lain," katanya di majlis yang berlangsung pada akhir Julai lalu itu.
Petikan ucapan itu bagaimanapun hanya dimuat naik di Facebook semalam.
Pada Ogos 2022 Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, mengaitkan orang bukan Islam dan bukan bumiputera sebagai punca berlakunya amalan rasuah di negara ini.
Menurut Abdul Hadi - ketika itu menjadi duta bertaraf menteri - golongan bukan Islam dan bukan bumiputera juga merupakan kumpulan yang paling banyak merosakkan politik dan ekonomi negara.
Dakwanya pihak yang terabit itu merupakan "punca rasuah kerana mengejar harta secara haram."
Beberapa hari kemudian Pengerusi PN dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin cuba meredakan keadaan dengan berkata amalan rasuah tidak hanya melibatkan kaum atau penganut agama tertentu.
Bercakap kepada media selepas menghadiri muktamar PAS di Kedah, Muhyiddin yang ketika itu menjadi perdana menteri berkata isu tersebut tidak perlu didebatkan atau dikaitkan dengan mana-mana kumpulan serta penganut tertentu.
Golongan paling jahat
Ayob Khan berkata orang Islam tidak perlu menyalahkan orang bukan Islam apabila membincangkan isu gejala rasuah termasuk dengan mengaitkannya dari sudut pemberi atau penerima.
"Kamu (orang Islam) yang terima, kita yang menerima rasuah, (tapi) kita nak salahkan orang lain pulak.
"Kalau kita tak terima, kalau kita laporkan kepada SPRM, benda tu takkan berlaku.
"Itu yang saya kata dia twist (putar belit) cerita tu. Diputarbelitkan untuk mempertikaikan tindakan (pihak berkuasa), sama ada SPRM ataupun agensi kerajaan yang lain untuk menangkap orang yang ada kaitan dengan rasuah," katanya.
Ayob Khan juga menegaskan istilah fasad (kerosakan) merupakan ungkapan paling banyak disebut dalam al-Quran selepas perkataan solat.
Katanya, fasad itu terbahagi kepada dua kategori, iaitu melibatkan individu yang sedar dia melakukan kerosakan, manakala kategori kedua - yang lebih bahaya - membabitkan pihak pembuat kerosakan tetapi mendakwa dirinya sedang berbuat kebaikan.
"Kategori kedua inilah yang paling jahat. Inilah golongan yang makan rasuah.
"Mereka ini beranggapan apa salahnya ambil rasuah. Ramai orang ambil rasuah, ramai orang terlibat dalam rasuah, ramai pegawai yang terlibat rasuah.
"Zaman ni zaman semua orang perasuah. Dia menjustifikasikan tindakan dia mengambil rasuah.
"Ini memang manusia yang paling jahat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan