Audrey Dermawan
audremd@nst.com.my
George Town: Tiga lagi lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes seorang wanita yang ditemukan maut bersama anak perempuannya di sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru, di sini pada Sabtu.
Manakala lelaki berusia 57 tahun iaitu suami wanita itu yang direman sejak Ahad lalu dijangka dibebaskan dengan ikat jamin esok.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail.
Sementara itu, beliau berkata tiga lagi lelaki ditahan hari ini bagi membantu siasatan kes tersebut.
"Kami mempunyai tiga tangkapan baharu dan mereka akan dibawa ke mahkamah untuk direman esok.
"Semuanya warga asing berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an dan saling mengenali. Mereka sebelum ini dipercayai melarikan diri," tambahnya.
Sebelum ini, tiga orang ditahan untuk membantu siasatan, termasuk suami wanita tersebut.
Media pada Sabtu melaporkan mayat wanita dan anak perempuannya itu ditemukan dalam keadaan menyayat hati di sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru, dipercayai menjadi mangsa pembunuhan.
Azizee dilaporkan berkata, mayat wanita berusia 51 tahun yang merupakan peniaga kuih dan anaknya berusia 11 tahun ditemukan suaminya yang pulang ke rumah kira-kira 7.30 malam dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan