Ahmad Hasbi
SEREMBAN: Pemandu jengkaut dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyentuh paha dan lengan remaja berusia 16 tahun, Isnin lalu.
Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap S Gunah, 47, selepas tertuduh mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.
“Saya telah mendengar rayuan kamu dan juga mempertimbangkan rayuan kamu serta fakta kes ini, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dari tarikh tangkap 20 Oktober 2025,” kata Surita.
Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dengan cara menyentuh paha dan lengan bagi tujuan seksual.
Kesalahan itu dilakukan jam 4 petang ketika dalam perjalanan dari Tampin ke Rembau di sekitar kawasan Bongek, di Rembau, pada 20 Oktober lalu.
Justeru itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang jika disabitkan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan boleh disebat.
Mengikut fakta kes, mangsa menaiki bas dan dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum tertuduh menghampiri mangsa untuk bersalam, namun ditolak mangsa kerana ia haram.
Tertuduh dikatakan turut meminta nombor telefon, namun mangsa enggan memberikannya sebelum remaja itu menghubungi ibunya, namun tertuduh dikatakan memegang paha dan lengan mangsa serta mengeluarkan kata-kata kesat.
Tertuduh dalam rayuannya memaklumkan tidak berkahwin dan bekerja sebagai pemandu jengkaut dengan pendapatan tidak menentu selain hanya menyara diri sendiri.
Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor mangsa adalah remaja bawah umur.
Norazihah turut meminta mahkamah supaya mengambil kira faktor kepentingan awam berbanding kepentingan peribadi tertuduh dan hukuman perlu berbentuk pengajaran termasuk kepada masyarakat umumnya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh supaya menjalani kaunseling pemulihan dan pengawasan polis selama setahun selepas tamat menjalani hukuman penjara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan