"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lebih 250 warga India yang mendakwa berketurunan Yahudi tiba di Israel

AFP
Tel Aviv: Lebih 250 warga India yang mendakwa berasal daripada keturunan satu suku Yahudi berdasarkan kitab Injil tiba di Lapangan Terbang Tel Aviv di sini, kelmarin, di bawah operasi kerajaan untuk memindahkan mereka ke Israel.

Pendatang baharu itu melalui gerbang belon berwarna biru dan putih, iaitu warna bendera Israel, sambil disambut puluhan orang yang mengalu-alukan ketibaan mereka dengan nyanyian tradisional Yahudi.

Mereka adalah kumpulan pertama 'Bnei Menashe' (Anak-anak Manasseh) yang tiba di Israel sejak kerajaan memutuskan pada November lalu untuk membiayai penghijrahan kira-kira 4,600 anggota masyarakat Yahudi itu dari negeri Manipur di timur laut India.

Masyarakat itu mendakwa mereka berasal daripada keturunan Manasseh, nenek moyang kepada salah satu 'suku yang hilang' Israel dalam kitab Injil, yang dibuang negeri pada tahun 720 Sebelum Masihi oleh penakluk Assyria.

Dagan Zolat, yang menetap di Israel sejak 20 tahun lalu, berada di lapangan terbang untuk bertemu seorang lelaki yang disifatkannya sebagai saudaranya.

"Kami berjiran dan antara satu-satunya orang Yahudi di kampung kami," katanya kepada AFP, sambil menambah sudah sembilan tahun beliau tidak bertemu rakannya itu.

"Ketika anak saya masih kecil (di India), rakan saya sering mendukungnya," katanya.

Pertubuhan Shavei Israel, yang berusaha menjejaki keturunan suku yang hilang itu berkata, kira-kira 4,000 Bnei Menashe sudah berhijrah ke Israel sejak tahun 1990-an, manakala kira-kira 7,000 lagi masih tinggal di India.

Sejarah lisan mereka menceritakan penghijrahan berabad-abad lamanya melalui Parsi, Afghanistan, Tibet dan China, sambil terus mengamalkan beberapa amalan agama Yahudi seperti berkhatan.

Di India, mereka memeluk agama Kristian hasil dakwah mubaligh pada abad ke-19.

Seramai 250 Bnei Menashe yang tiba pada Khamis lalu akan ditempatkan di utara Israel, menurut kementerian integrasi.

Mereka perlu memeluk agama Yahudi untuk menjadi warganegara Israel.

Menteri Imigresen, Ofir Sofer, yang menyambut ketibaan mereka di lapangan terbang, berkata kepada AFP bahawa ketibaan itu menandakan satu 'detik bersejarah'.

"Ini adalah permulaan operasi yang akan membolehkan seluruh masyarakat itu berhijrah, iaitu 1,200 orang setahun," katanya.

Manipur menyaksikan pertempuran berkala selama hampir tiga tahun antara majoriti Meitei yang kebanyakannya beragama Hindu dan komuniti Kuki yang majoritinya beragama Kristian, yang mengorbankan lebih 250 nyawa.

Sejak April 2025, lebih 18,000 orang Yahudi berhijrah ke Israel, menurun 18 peratus berbanding tahun sebelumnya.
-hmetro

Tiada ulasan: