"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menjelang PRU16: Konflik pemimpin pembangkang ancam idea payung besar Melayu Dr M

Anne Muhammad

PETALING JAYA: Hubungan tegang membabitkan pemimpin pembangkang terutama Muhyiddin Yassin dan Hamzah Zainudin boleh ‘membunuh’ cita-cita supaya semua parti Melayu di blok itu bertanding di bawah payung besar Melayu, kata penganalisis.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata hasrat bekas Dr Mahathir Mohamad itu difahami bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri dan meningkatkan peluang menewaskan gabungan besar seperti Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN).

Namun Syaza memberitahu FMT, pertelingkahan di antara Muhyiddin dan Hamzah susulan krisis dalaman Bersatu telah menimbulkan persoalan kejayaan usaha terbabit.

“Hamzah dilihat terbuka mengekalkan kerjasama dalam PN, namun kesediaan Muhyiddin menjadi faktor penting menentukan sejauh mana penyatuan lebih besar itu boleh direalisasikan,” katanya.

Isu penyatuan kembali diperkatakan selepas bekas ketua menteri Melaka Rahim Tamby Chik mendedahkan Mahathir dalam mesyuarat payung besar Melayu, 17 April lalu menekankan parti pembangkang Melayu jangan bertanding atas tiket sendiri atau secara individu pada pilihan raya.

Menurutnya, bekas perdana menteri itu bimbang keadaan terbabit akan menyebabkan kekalahan dan semua parti sebaiknya bersatu di bawah payung besar Melayu.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut dipecat Bersatu, Februari lalu susulan krisis kepimpinan parti diketuai Muhyiddin terbabit.

Beliau turut mengumumkan Muhyiddin sebagai musuh nombor satu manakala bekas perdana menteri itu pula akan menolak penyertaan bekas timbalannnya ke Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, Syaza berkata walaupun ramai pengundi mendakwa mereka membuat pilihan berdasarkan dasar dan idea, faktor etnik masih kekal signifikan dalam corak pengundian menyebabkan wujud gesaan seperti disuarakan Mahathir.

“Mungkin bagi pengundi muda, pertimbangannya lebih seimbang, tetapi kita tidak boleh menafikan bahawa faktor etnik itu masih sangat signifikan,” katanya.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara turut senada yang isu bangsa dan agama masih menjadi kerangka utama dalam mempengaruhi sokongan pengundi.

Menurutnya, gabungan atau parti berjaya menguasai naratif itu, sama ada melalui konsep ‘payung besar’ berpotensi meraih sokongan lebih besar, khususnya di Semenanjung.

“Siapa yang berjaya menggunakan isu ini dengan berkesan akan dapat menarik kumpulan pengundi tertentu,” katanya.

Tiada ulasan: