Paya Linda Yahya

LOKASI penemuan mayat mangsa. FOTO Ihsan Polis
Gua Musang: Mayat seorang lelaki warganegara Thailand ditemukan dengan kesan tetakan dan luka di beberapa bahagian badan, di anak sungai berhampiran kebun getah di Kampung Pulai di sini, kelmarin.
Mayat lelaki 40-an itu ditemukan dalam keadaan tenggelam dalam air dan tersangkut di batu serta kayu oleh seorang rakannya.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu kira-kira 2 petang.
Katanya, pemeriksaan pada tubuh mangsa menemukan pelbagai kesan tetakan dan luka dipercayai akibat senjata tajam pada bahagian kepala, muka, leher, tangan dan kaki.
"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Balai Polis Gua Musang di talian 09-9121222.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan