"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Guru tahfiz direman tujuh hari, dua murid dakwa dicabul dan dipukul

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my

Ampang Jaya: Guru tahfiz ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mencabul dan memukul dua murid lelaki berusia 11 tahun di sebuah maahad tahfiz di Taman Keramat, di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, polis menerima pengaduan daripada Pegawai Pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Gombak kira-kira jam 10.30 pagi, semalam.

Menurutnya, pegawai berkenaan pergi ke maahad tahfiz terbabit susulan aduan mengenai dua kanak-kanak yang disyaki dicabul dan dipukul oleh pengajar tahfiz.

"Pengadu membawa dua mangsa lelaki berusia 11 tahun ke Hospital Selayang bagi tujuan pemeriksaan.

"Hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua mangsa dicabul suspek antara Julai hingga bulan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Anuar berkata, kedua-dua mangsa turut mendakwa dipukul menggunakan rotan kayu pada 16 Ogos lalu kerana tidak berdisiplin ketika sesi pembelajaran.

"Berdasarkan maklumat diperoleh, polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan.

"Permohonan reman dibenarkan selama tujuh hari bermula hari ini hingga 25 Ogos ini," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

"Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

"Bagi Seksyen 324 Kanun Keseksaan pula, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.

Tiada ulasan: