Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Sasar kediaman warga asing yang berharta sebelum melakukan samun.
Itu modus operandi enam lelaki termasuk seorang pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan (DSP) membabitkan kerugian sebanyak RM4.4 juta.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, polis mengesahkan menerima tiga laporan berhubung kes samun bersenjata dan menyamar polis membabitkan mangsa lelaki warga China, wanita warga China dan wanita warga Indonesia berusia 29 hingga 52 tahun.
Menurutnya, kejadian berlaku di sekitar kawasan Kepong, di mana dalam kejadian ini, ketiga-tiga rumah mangsa dipecah masuk oleh suspek enam individu yang tidak dikenali sekitar jam 5.30 pagi hingga 7.30 pagi, Ahad lalu.
"Salah seorang suspek bertindak mengacu objek yang menyerupai pistol kepada mangsa.
"Modus operandi suspek adalah menyamar sebagai pegawai polis dan melakukan samun dengan mensasarkan kediaman warga asing," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Beliau berkata, dalam ketiga-ketiga kejadian ini juga, suspek melarikan tiga buah kenderaan jenis Toyota Alphard, Rolls Royce dan Bentley serta satu peti besi, wang tunai RM24,200, AS$1,200, pelbagai barang kemas dan dua jongkong emas.
"Bertindak atas maklumat risikan, pada jam 8.45 malam Ahad lalu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul bersama Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur berjaya membuat tangkapan ke atas tiga lelaki.
"Hasil dari tangkapan pertama membawa kepada tangkapan susulan tiga lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes ini di mana kesemua mereka berusia 31 hingga 51 tahun," katanya.
Fadil berkata, kesemua suspek ditangkap di sekitar Kuala Lumpur.
"Pihak polis berjaya membuat rampasan iaitu dua pucuk pistol, lima buah kenderaan, wang tunai RM13,056, pelbagai mata wang asing, lapan buah telefon bimbit dan dua pas keselamatan.
Katanya, antara yang ditangkap salah seorang anggota polis yang ditahan kerja dan mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.
"Jadi, anggota polis berkenaan dan orang awam menyamar sebagai polis untuk melakukan samun bersenjata.
"Anggota polis itu bertindak sebagai koordinator melakukan jenayah ini, manakala senjata pistol diperoleh kerana dua yang ditahan ada pengawal peribadi dan mempunyai lesen senjata api.
"Perintah tahanan reman kesemua suspek dibenarkan selama tujuh hari bermula dari tarikh tangkapan.
"Ujian saringan awal air kencing salah seorang positif ampethamine. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/ 397/ 170 Kanun Keseksaan," katanya.
Katanya, kes ini masih dalam siasatan. Pihak polis tidak melindungi mana-mana individu yang melakukan kesalahan di sisi undang-undang.
"Orang ramai juga diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan ataupun boleh menimbulkan sebarang kegusaran awam.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan