Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
Muar: Seorang lelaki ditahan pagi semalam sekali gus mendedahkan perbuatannya bersekedudukan dengan teman wanita berusia 22 tahun sehingga melahirkan seorang anak, dua bulan lalu.
Lelaki berusia 24 tahun itu ditahan pada jam 11.30 pagi, selepas pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menerima satu aduan mengenai kes perzinaan sehingga melahirkan anak tidak sah taraf.
Menurut JAINJ, sebaik menerima aduan terbabit, sepasukan penguat kuasa bertandang ke rumah wanita pada jam 10 pagi dan menemukan seorang bayi berusia dua bulan sedang tidur.
"Hasil soal siasat mendapati wanita terbabit sudah berhenti kerja selepas disahkan hamil. Dia mengaku melakukan perbuatan terlarang dengan lelaki terbabit yang juga jiran sekampung.
"Pasangan ini sudah lama berkenalan dan apabila ditanya, mereka mengaku melakukan hubungan terlarang pada tahun lalu di dalam kereta yang diparkir di tepi jalan," katanya dalam kenyataan.
Katanya, susulan pengakuan wanita itu, penguat kuasa kemudiannya bergegas ke rumah teman lelakinya tidak jauh dari situ lalu menahannya.
Menurutnya, lelaki terbabit yang masih bujang dan bekerja sambilan di daerah ini kelihatan terpinga-pinga sebaik melihat penguat kuasa berada di rumahnya.
"Apabila ditanya mengenai wanita tadi, lelaki ini hanya terdiam. Dia akhirnya mengaku melakukan perbuatan itu.
"Pada mulanya lelaki itu berkata dia sudah insaf atas perbuatannya dan berjanji akan menjadikan wanita itu sebagai isterinya serta bertanggungjawab terhadap bayi baru dilahirkan.
"Namun apabila ditanya berkali-kali sama ada bersedia untuk bernikah, lelaki terbabit cuba mengelak. Sebelum wanita itu melahirkan anak, lelaki terbabit ada memberitahu berhasrat untuk bernikah.
"Tapi malangnya, sehingga kini niat lelaki terbabit belum tertunai sehinggalah penguat kuasa menerima aduan sebegini.
"Penguat kuasa kemudian menasihatinya supaya segera bernikah semoga memberi gambaran dia lelaki bertanggungjawab atas perbuatan silamnya, serta insaf dan bertaubat," katanya.
Menurutnya, penguat kuasa turut memanggil ibu bapa pasangan supaya mencari jalan penyelesaian terbaik.
"Kedua-duanya pasangan ini akan didakwa mengikut Seksyen 23 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana berzina.
"Seksyen 23 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara atau enam sebatan jika didapati bersalah," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan