"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Angkara lagak samseng tumbuk penunggang motosikal didenda RM2,000

MOHD SHARKAWI LONDING
AH CHAI didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Kulai hari ini selepas mengaku salah menumbuk penunggang motosikal dalam kejadian salah faham di di Lebuh Putra Utama, Bandar Putra, 3 April lalu. Foto RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!
KULAI – Tindakan ala samseng seorang warga emas menumbuk seorang penunggang motosikal di Lebuh Putra Utama, Bandar Putra mengundang padah apabila dia didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret R. Salini membuat keputusan itu terhadap Orang kena saman (OKS), Yeoh Ah Chai, 62, selepas mengaku salah sejurus pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara sehingga dua bulan jika gagal membayar denda.

Berdasarkan kertas pertuduhan, OKS yang merupakan seorang pemandu grab didakwa telah dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang penunggang motosikal berusia 37 tahun dengan cara menumbuk di bahagian badan di lokasi tersebut pada pukul 5.45 petang, 3 April lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 1 tahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, berlaku kejadian himpit menghimpit antara kereta Perodua Alza dipandu OKS dan motosikal ditunggang mangsa, sebelum OKS bertindak keluar kereta dan menendang motosikal mangsa sehingga jatuh.

OKS kemudian turut menumbuk mangsa beberapa kali di bahagian perut sehingga mengakibatkan ‘soft tissue injury’ terhadap mangsa.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Weng Hong manakala tertuduh diwakili peguam, Lim Seay Sean.-KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: