"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Guna nama Allah: Khalid setuju keputusan Mahkamah

Dzulfikar Mashoor
SHAH ALAM, 1 Jan:
Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad petang tadi bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melarang orang-orang bukan Islam dari menggunakan perkataan 'Allah'.
Beliau yang sebelum ini dilihat lantang mempertikai usaha KDN di di Parlimen, menganggap keputusan Mahkamah semalam menepati nas al-Quran.

"Keputusan Mahkamah itu menepati dengan al-Quran, iaitu perkataan Allah bukan milik eksklusif umat Islam sahaja tapi semua manusia patut menyembahnya," jelas beliau selepas menyertai solat Jumaat di Surau Nur Hidayah, di sini.

Beliau turut menasihatkan KDN supaya tidak melarang sesuatu yang jelas digalakkan dalam Islam.

"Kalau kita (KDN) nak menghalang keputusan itu, secara tidak langsung seolah-olah menghalang apa yang digalakkan oleh Allah sendiri.

"Yang membeza orang Islam dan bukan Islam bukanlah tuhan kita adalah Allah dan tuhan mereka tidak (dipanggil) Allah, tapi yang membezakannya adalah kefahaman tentang ajaran Islam itu sendiri," katanya.

Menurut beliau, keputusan mahkamah itu sekali gus mengukuhkan kefahaman orang Islam terhadap agama mereka, bukannya atas nama Islam sahaja.

"Saya rasa keputusan ini (mahkamah) akan mengukuhkan lagi kefahaman Islam di kalangan orang Islam sendiri, bukan atas nama (Islam) saja," jelasnya.

Ujarnya lagi, Rasulullah s.a.w sendiri pun tidak menghalang masyarakat bukan Islam dari mengaku Allah sebagai Tuhan mereka.

Sebaliknya, Nabi menerapkan kefahaman Islam kepada masyarakat bukan Islam menggunakan rasional dan dakwah; sebagaimana ditunjukkan dalam ayat 87-88 dari surah az-Zukhruf; dan ayat 63 dari surah al-Ankabut.

Tambahnya lagi, kedua-dua ayat tersebut seharusnya mendorong masyarakat Islam menjelaskan kefahaman sebenar tentang Allah dan Islam itu sendiri.

Terdahulu, akhbar mingguan The Herald dihalang dari menggunakan perkataan Islam dalam penerbitan mereka.

Ekoran itu, Gereja Katholik telah memohon perintah Mahkamah supaya menolak larangan yang dilakukan KDN itu.

Masih adakah rakyat yang kelaparan setelah Kerajaan belanja 1 Billion Untuk F1

hermansamsudeen
Sesiapa pun akan memikirkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara kaya bila membaca budget 2010 yang memperuntukkan RM 1 Billion bagi mempromosikan F1. Orang luar melihat seolah-olah sudah tidak ada rakyat Malaysia yang susah dan kelaparan sebab Kerajaan sekarang boleh berbelanja besar untuk perkara-perkara mewah seperti F1.

Rakyat dijelaskan bahawa budget 2010 adalah budget defisit. Maknanya jumlah perbelanjaan lebih dari jumlah pendapatan. Jadi macam mana Kerajaan Najib tergamak membazirkan RM 1 Billion untuk sukan yang hanya dinikmati oleh 1 peratus rakyat Malaysia.

Kalau membaca artikel mStar bertajuk “‘Mayat Hidup’ Berkeliaran Di Sekitar Masjid Negara” pastinya kita melihat bahawa mereka itu lebih memerlukan bantuan untuk dibimbing dan diberikan kehidupan baru.

Dengan duit RM 1 Billion rasanya program TV3 Bersamamu boleh ditamatkan kerana mereka-mereka yang dhaif boleh dibantu oleh Kerajaan secara terus.

Sepatutnya Kerajaan Najib malu kerana sebahagian besar tanggungjawab sosial yang sewajarnya dilaksanakan kerajaan telah dilakukan oleh pihak swasta dan NGO yang rata-rata mereka juga bersusah payah mengumpulkan dana bantuan.

Kerajaan sewajarnya memberikan dana yang lebih kepada usaha-usaha murni mereka. Bukannya membazirkan duit RM 1 Billion untuk kepuasan pihak elit minoriti di negara ini.

Hanya Pakatan Rakyat sahaja yang mampu mengubah kebodohan BN ini. Ayuh, tumbangkan BN kembalikan hak rakyat!

Timbalan pun okey

Mohd. Salleh
BUTTERWORTH, Utusan Malaysia 30 Dis. – Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Salleh Man tidak berkecil hati biar pun kerajaan negeri gagal menunaikan janji untuk melantiknya sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir sebaliknya berkata, tawaran untuk mengisi kerusi Timbalan Yang Dipertua MAIPP iaitu jawatan baru yang diwujudkan oleh kerajaan negeri sudah memadai.

Sambil mengesahkan sudah menerima surat tawaran bagi jawatan timbalan itu Isnin lalu, Mohd. Salleh berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya terus dipolitikkan.

”Timbalan pun okey, saya tidak ada masalah. Asalkan boleh berkhidmat dalam MAIPP saya rasa itu sudah cukup,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Difahamkan kerajaan negeri juga sudah menghantar surat tawaran kepada bekas Pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM), Ellias Zakaria bagi mengisi jawatan Yang Dipertua MAIPP selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Pelantikan itu bagi menggantikan ADUN Permatang Berangan dari Barisan Nasional (BN), Shabudin Yahaya yang akan tamat tauliah perkhidmatannya sebagai Yang Dipertua MAIPP esok.

Janji untuk melantik Mohd. Salleh sebagai orang nombor satu MAIPP diumumkan Ketua Pembangkang yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir Ogos lalu.

Pengumuman itu dibuat ketika banyak kritikan terutama daripada penyokong Pas yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan kerajaan negeri diterajui DAP yang didakwa meminggirkan Pas dalam pentadbirannya.

Pada pilihan raya kecil itu, Mohd. Salleh menang selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman.

Mohd. Salleh berkata, tidak timbul isu Pas akan berkecil hati kerana beliau tidak diberi jawatan itu memandangkan barisan jawatankuasa baru MAIPP rata-ratanya akan dianggotai pemimpin parti pembangkang termasuk Pas sendiri.

”Saya juga sudah memaklumkan perkara ini ketika mesyuarat Pas negeri baru-baru ini dan nampaknya mereka menerimanya dengan baik, tiada masalah,” tambahnya.