Bernama
Kos operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran terus meningkat dan sudah melebihi US$77 bilion menjelang hari ke-71 operasi itu, menurut portal Iran War Cost Tracker, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Portal berkenaan mengemas kini data dalam masa nyata dan mengira dana yang diperlukan untuk menyara anggota, kapal yang dikerahkan ke rantau itu serta perbelanjaan berkaitan yang lain.
Metodologi pengiraan adalah berdasarkan laporan Pentagon kepada Kongres, yang menyatakan bahawa enam hari pertama menelan kos US$11.3 bilion, dengan kos dijangka mencecah US$1 bilion sehari selepas itu.
Pada akhir April, Setiausaha Rendah Pertahanan (Pengawal) dan Ketua Pegawai Kewangan Jules Hurst memberitahu penggubal undang-undang dalam pendengaran Jawatankuasa Perkhidmatan Angkatan Tentera Dewan Perwakilan bahawa kos AS berkaitan konflik dengan Iran adalah kira-kira US$25 bilion.
Bagaimanapun, keesokan harinya, media AS melaporkan dengan memetik sumber maklumat bahawa jumlah yang dinyatakan itu tidak termasuk kos membaik pulih kemudahan tentera Amerika dan menggantikan peralatan yang rosak. Menurut laporan media, kos sebenar adalah hampir dua kali ganda lebih tinggi.
Pada 28 Feb, AS dan Israel mula menyerang sasaran di Iran yang mengorbankan lebih 3,000 orang. Pada 8 April, Washington dan Tehran mengisytiharkan gencatan senjata selama dua minggu. Rundingan seterusnya di Islamabad berakhir tanpa keputusan dan tiada permulaan semula permusuhan dilaporkan, namun AS mula menyekat pelabuhan-pelabuhan Iran. Tempoh gencatan senjata itu telah dilanjutkan.
- Bernama - Sputnik / Ria Novosti
Tiada ulasan:
Catat Ulasan