Harapandaily
Kenyataan yang menghina sahabat Nabi Muhammad SAW adalah tuduhan berat dan tidak wajar diungkapkan sewenang-wenangnya.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, penyebaran tuduhan tanpa asas terhadap sahabat besar Rasulullah SAW adalah perbuatan yang tidak beradab dan boleh membawa kepada fitnah terhadap tokoh yang dimuliakan dalam Islam.
Beliau menegaskan bahawa kedudukan Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA dalam kalangan masyarakat Quraisy sebelum kedatangan Islam sememangnya sangat mulia dan dihormati.
“Beliau diberi tanggungjawab menguruskan hal berkaitan diyat serta membantu individu yang dibebani hutang.
“Tanggungjawab tersebut merangkumi usaha mengumpulkan bayaran diyat untuk diserahkan kepada keluarga mangsa serta membantu melunaskan hutang golongan yang menghadapi kesempitan kewangan.
“Amanah besar ini menunjukkan bahawa Saidina Abu Bakar RA adalah seorang yang dipercayai masyarakat kerana sifat amanah, pemurah dan prihatin terhadap kebajikan orang lain,” kata menerusi kenyataan hari ini.
Bapa ceti
Terdahulu, tular siri video memaparkan ceramah wakil rakyat Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh mengeluarkan kenyataan berkenaan empat sahabat Rasulullah.
Ahli Parlimen Pasir Puteh itu menggambarkan Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib mempunyai sejarah hidup keji sebelum memeluk Islam.
Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu mendakwa Sayidina Abu Bakar sebagai seorang “bapa ceti” yang gemar memeras orang miskin semasa berada dalam zaman Jahiliyah.
Sayidina Umar pula digambarkan Nik Zawawi dalam satu program ceramah politik di Kuala Terengganu itu sebagai lelaki zalim serta suka berzina sebelum memeluk Islam.
Ekoran kecaman banyak pihak, pemimpin Pas berkenaan kemudiannya muncul dalam satu rakaman video yang dianggapnya menjelaskan kenyataan kontroversinya itu.
Bagaimanapun, Nik Zawawi memaafkan pula pihak yang mengkritiknya sekaligus mengundang lagi kecaman netizen.
Mengulas lanjut, Mufti Wilayah Persekutuan berkata, Saidina Abu Bakar RA bukanlah seorang ceti atau peminjam wang seperti didakwa, sebaliknya adalah tokoh penting dalam masyarakat Quraisy yang memainkan peranan menjaga kebajikan sosial dan membantu golongan yang memerlukan.
“Sifat dermawan beliau terhadap masyarakat juga menjadi antara sebab mengapa beliau dihormati sebelum Islam dan seterusnya diangkat sebagai sahabat paling rapat dengan Rasulullah SAW setelah memeluk Islam,” jelasnya.
Menyentuh soal kehidupan Saidina Umar al-Khattab RA pada zaman jahiliyyah, Ahmad Fauwaz berkata, para sejarawan Islam banyak membahaskan tentang ketegasan, keberanian dan pengaruh beliau dalam masyarakat Quraisy, termasuk sikapnya terhadap dakwah Islam sebelum memeluk Islam.
Antara kisah yang sering tersebar ialah dakwaan bahawa Saidina Umar pernah menanam anak perempuannya hidup-hidup.
Namun, katanya, ramai sejarawan dan ulama hadis menjelaskan bahawa riwayat itu tidak mempunyai sandaran yang kukuh malah dianggap palsu.
Ahmad Fauwaz menegaskan hal itu turut diperkuatkan dengan fakta bahawa Saidina Umar RA sendiri mempunyai anak perempuan yang bernama Saidatina Hafsah RA dan menunjukkan bahawa dakwaan tersebut tidak berasas.
“Dalam masa sama, sebahagian riwayat sejarah ada menyebut bahawa Saidina Umar RA pernah terbabit dengan budaya masyarakat Arab Jahiliah seperti meminum arak sebelum Islam, kerana perbuatan tersebut sememangnya menjadi kebiasaan masyarakat Arab pada ketika itu.
“Namun demikian, tidak ditemui dalam perbahasan para ulama dan sejarawan Islam yang muktabar berkaitan riwayat yang menggambarkan beliau sebagai seorang penzina atau memiliki akhlak sedemikian,” jelasnya.
Sangat memuliakan
Mufti Wilayah Persekutuan berkata, Rasulullah SAW sangat memuliakan para sahabat Baginda dan disebabkan itu, adalah tidak wajar untuk menjadikan kisah zaman jahiliah sebagai bahan yang menggambarkan keburukan dan boleh mendatangkan fitnah terhadap para sahabat Nabi SAW.
Sehubungan itu, tegas beliau, umat Islam hendaklah menjaga adab dalam membicarakan para sahabat Rasulullah SAW serta menolak segala tuduhan dan fitnah yang tidak berasaskan fakta.
Dalam masa sama, Ahmad Fauwaz memberikan garis panduan bagi para penceramah ketika membicarakan perihal sahabat Baginda SAW.
Antaranya, kata beliau, merujuk sumber muktabar dan pandangan ulama Ahli Sunnah wal Jamaah dalam memahami sejarah para sahabat dan memelihara adab dan kehormatan para sahabat Rasulullah SAW dalam setiap ucapan, penulisan dan penyampaian.
“Hindari ucapan berbentuk penghinaan, celaan, tuduhan atau sindiran terhadap mana-mana sahabat Nabi SAW, tidak menyampaikan kisah zaman jahiliyyah para sahabat dengan cara yang boleh mendatangkan fitnah dan meneliti kesahihan riwayat sebelum menyampaikan kisah berkaitan para sahabat, khususnya riwayat yang berunsur sensasi atau kontroversi.
“Perlu juga bersikap adil dan amanah dalam menyampaikan sejarah Islam tanpa dipengaruhi sentimen kebencian atau kepentingan tertentu dan menggunakan bahasa yang hikmah, sederhana dan mendidik ketika menjelaskan isu-isu sejarah berkaitan para sahabat Nabi SAW,” nasihat Mufti Wilayah itu lagi.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan