"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Putus 4 jari, majikan didenda RM30,000

Nur Izzati Mohamad

BUTTERWORTH: Kegagalan sebuah syarikat pengilangan untuk memastikan keselamatan pekerjanya sehingga menyebabkan salah seorang putus empat jari ketika mengendalikan mesin pencanai elektrik membawa padah apabila didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dalam kenyataan memaklumkan Hakim Roslan Hamid menetapkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah wakil syarikat atas kesalahan terbabit.

Menurutnya, kemalangan tragis itu berlaku ketika pekerja terbabit menggunakan mesin berkenaan bagi kerja-kerja pembuatan meja.

“Akibat ketiadaan sistem kerja yang selamat, pekerja itu cedera parah sehingga putus keseluruhan empat jari tangan kiri, bermula dari jari telunjuk sehingga jari kelingking.

“Tindakan perundangan ini diambil sebagai peringatan tegas kepada semua majikan dan pemilik industri supaya sentiasa menjalankan Penaksiran Risiko (HIRARC) bagi setiap aktiviti kerja, menyediakan Prosedur Kerja Selamat (SOP) yang jelas dan dipantau dan memberikan latihan serta kelengkapan perlindungan diri (PPE) yang bersesuaian kepada pekerja,” katanya.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa JKKP Pulau Pinang, Khairul Nizam Mat Piah mengikut Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Sementara itu, di mahkamah sama, sebuah lagi syarikat pengilangan turut didenda RM40,000 kerana gagal memastikan keselamatan pekerjanya ketika bekerja, sehingga mangsa terbabit kemalangan dan mengalami kecederaan serius dalam kejadian Julai, tahun lalu.

Insiden tercetus apabila majikan didapati gagal menyediakan sistem kerja selamat bagi kerja pemasangan dan pengujian ‘Silicon Rubber Sorting Machine’ sehingga menyebabkan kemalangan terhadap seorang pekerja, kira-kira jam 4.30 petang, 30 Julai 2025.

Berikutan insiden itu, mangsa putus satu ruas jari tengah tangan kiri.

Tiada ulasan: