"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bot bawa pendatang haram dari Indonesia tenggelam di perairan Pulau Pangkor, 14 hilang

FMT Reporters

Pengarah Maritim Perak Mohamad Shukri Khotob berkata 23 lagi berjaya diselamatkan dalam operasi mencari dan menyelamat oleh pihak berkuasa.
bot tenggelam pulau pangkor
Pasukan Maritim Perak menjalankan operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan pendatang asing tanpa izin warga Indonesia yang masih lagi hilang di perairan Pulau Pangkor. (Gambar Facebook APMM)
PETALING JAYA: Sebuah bot dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia tenggelam di perairan Pulau Pangkor awal pagi semalam dengan 14 mangsa dilaporkan hilang, manakala 23 lagi berjaya diselamatkan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Pengarah Maritim Perak, Mohamad Shukri Khotob, berkata pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira 5.30 pagi selepas seorang nelayan tempatan menemui mangsa terapung di laut sebelum meminta bantuan segera.

Katanya, Op Carilamat kemudian diaktifkan pada 6 pagi dengan aset KM Gagah dan Benteng 1203 digerakkan ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi pencarian bersama Pasukan Polis Marin (PPM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan komuniti nelayan tempatan.

“Sebuah vesel nelayan tempatan, VNT PKFB 616 berjaya menyelamatkan seramai 23 mangsa terdiri daripada 16 lelaki dan 7 wanita warga Indonesia sebelum kesemua mereka diiringi oleh Bot PPM PAC 16 ke Jeti PPM Kampung Acheh untuk dokumentasi serta siasatan lanjut.

“Hasil siasatan awal terhadap mangsa mendapati jumlah keseluruhan Pati yang berada di atas bot tersebut adalah seramai 37 orang. Sehingga kini, seramai 23 mangsa berjaya diselamatkan manakala baki mangsa masih belum dikenal pasti dan operasi SAR sedang giat diteruskan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, KM Gagah turut menemui tiga beg mengandungi pakaian yang dipercayai milik mangsa di lokasi operasi SAR bagi tujuan pengecaman.

Kesemua mangsa yang diselamatkan kemudian dibawa ke Jeti PPM Kampung Acheh sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut di IPD Manjung.

Siasatan awal mendapati kumpulan Pati itu dipercayai bertolak dari Kisaran, Indonesia pada 9 Mei lalu menuju ke Malaysia dengan beberapa destinasi dipercayai termasuk Pulau Pinang, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur.

Operasi SAR turut melibatkan aset lain termasuk KD Sri Indera Sakti, helikopter Fennec TLDM, dua Fast Combat Boat (FCB) TLDM, pesawat Bombardier CL 415 milik Maritim Malaysia serta Bot PAC 16 PPM bagi melaksanakan pencarian udara dan laut di kawasan insiden.

Sementara itu, Mohamad berkata pihaknya akan terus mempergiat operasi pencarian sehingga semua mangsa berjaya dikesan.

“Maritim Malaysia akan terus komited dalam melaksanakan operasi mencari dan menyelamat bersama agensi berkaitan bagi memastikan semua mangsa yang dipercayai terlibat dapat dikesan. Orang ramai khususnya komuniti maritim diminta menyalurkan sebarang maklumat sekiranya menemui mangsa atau objek mencurigakan di laut,” katanya.

Tiada ulasan: