Selamba warga asing ceroboh dan 'jajah' tanah buat kebun
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my

SEBUAH kawasan kebun yang dijadikan kebun oleh sekumpulan individu dikatakan warga asing.
Petaling Jaya: "Kenapa tidak ambil tindakan? Jika kita (orang tempatan) mahu buat macam-macam kena lalui, warga asing senang-lenang 'jajah' tanah kita".
Ini reaksi beberapa penduduk di sekitar kawasan Jalan PJU 10, Damansara Damai, di sini, selepas sekumpulan warga asing tanpa segan-silu membuat kebun di atas tanah kosong berhampiran kejiranan mereka.
Warga asing dipercayai daripada sebuah negara Asia Tenggara itu turut dikatakan berlagak seolah-olah tanah itu 'harta pusaka' mereka sehingga boleh diwarisi oleh saudara-mara yang tiba kemudian.
Tinjauan Harian Metro di lokasi mendapati pekebun haram terbabit sengaja tidak menebang pokok-pokok tinggi di sekeliling kebun mereka supaya jika dilihat dari luar seperti kawasan belukar biasa.
Bagaimanapun, tinjauan dari atas mendapati di tengah-tengah belukar berkenaan sudah diratakan bagi tujuan bercucuk tanam dengan laluan masuk kecil di bahagian atas bukit dijadikan sebagai akses ke dalam kebun haram itu.
Penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Shahirah, 60-an, berkata, majoriti warga asing terbabit adalah pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).
Katanya, setiap beberapa tahun warga asing berkenaan akan dihantar ke negara ketiga menerima pelarian dan kebun haram itu akan terus diusahakan oleh saudara-mara atau rakan senegara.
"Mereka yang datang awal-awal ini akan cari duit, kemudian dia bawa pula adik-beradik yang lain masuk sini. Bila UNHCR pindahkan dia ke negara lain, anak-beranak dia pula sambung berkebun.
"Macam itulah cara mereka. Tak salah saya mereka mula rancak sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Namun, sebenarnya mereka dah ada di situ dah lebih 10 tahun," katanya kepada Harian Metro.
Seorang lagi penduduk, Aishah, 45, yang sudah 14 tahun menetap di kawasan itu mempersoalkan mengapa sehingga kini bukan saja tiada tindakan diambil pihak berkenaan, sebaliknya kebun haram itu bertambah besar.
Katanya, warga asing berkenaan mendakwa membayar sewa kepada 'pihak tertentu' ketika beberapa penduduk bertanya siapa yang membenarkan mereka menjalankan aktiviti itu di kawasan itu.
"Mereka duduk menyewa di sini juga. Jika tanya siapa bagi mereka buka kebun, mereka kata ejen dah bayar sewa kepada pihak berkuasa," katanya.
Menurutnya, warga asing terbabit tidak membuat onar dengan orang tempatan, cuma rata-rata penduduk terkilan bagaimana mereka dengan mudah boleh membuka kebun dan berniaga.
Katanya, mereka tidak kisah sekiranya yang bercucuk tanam itu orang tempatan atau kawasan itu dibina fasiliti awam seperti parkir tambahan bagi mengurangkan kesesakan di kejiranan itu
Terdahulu, tular di media sosial beberapa gambar dan klip video memaparkan sebuah kawasan tanah kosong dijadikan kebun oleh sekumpulan individu dikatakan warga asing.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin ketika dihubungi berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung isu itu dan memberi jaminan tindakan sewajarnya akan diambil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan