MASTURAH SURADI

Tertuduh ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Mersing hari ini. Foto oleh MASTURAH SURADI/KOSMO!
MERSING – Seorang tukang cuci mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan melakukan perbuatan amang seksual fizikal dan menyebabkan kecederaan terhadap seorang kanak-kanak, minggu lalu.
Tertuduh, Sharil Chik, 58, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan maksud seksual itu ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di sebuah kediaman di Kampung Sri Pantai, di sini pada pukul 8.30 malam, 5 Mei lalu.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut
Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017, jika disabitkan bagi kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan juga boleh dihukum sebat.
Bagi Seksyen 26 (1) AKSTK mahkamah boleh sebagai tambahan memerintahkan sewaktu tempoh kaunseling pemulihan dalam tempoh penahanan dan Seksyen 27 (1) AKSTK mahkamah hendaklah mengarahkan supaya diletakkan di bawah pengawasan polis minimum 1 tahun hingga maksimum 3 tahun.
Bagi Seksyen 26(A) AKSTK pula, mahkamah boleh memerintahkan membayar satu jumlah sebagaimana yang dipikirkan adil dan munasabah sebagai pampasan kepada mangsa kanak-kanak berkenaan dengan kecederaan yang dialami.
Dalam pertuduhan kedua, pada tarikh waktu dan lokasi yang sama, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan cara mencubit di bahagian pipi kanak-kanak tersebut.
Bagi kesalahan itu dia didakwa dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum penjara maksimum satu tahun atau dengan denda atau keduanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nursyafiq Abd Halim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan tertutuh diikat jamin selain menetapkan tarikh 26 Jun depan untuk lantikan peguam serta penyerahan dokumen.-KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan