Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my

PARKIR kereta PPR Uda Utama iaitu lokasi kanak-kanak lelaki dua tahun 11 bulan ditemukan terjatuh dari tingkat lima. FOTO Mary Victoria Mass
Johor Bahru: Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bandar Uda Utama, di sini gempar dengan jeritan seorang ibu yang terkejut melihat anaknya terjatuh dari tingkap rumah di tingkat lima flat berkenaan.
Penduduk dikenali Tini, 40, berkata, kejadian menyayat hati itu berlaku pada 10.25 pagi semalam dengan mangsa berusia dua tahun ditemui tidak sedarkan diri di bahagian parkir flat.
"Kami terkejut mendengar jeritan ibu mangsa selepas menyedari anak lelakinya terjatuh. Keluarga itu baru kira-kira sebulan berpindah ke kawasan ini.
"Kami tidak mengenali rapat mereka, namun mangsa tinggal bersama ibu bapa. Mungkin mereka belum sempat lagi memasang jeriji tingkap. Tingkap berkenaan pula boleh dibuka seluas 90 darjah.
"Tidak sangka kejadian ini berlaku dan kami bersimpati," katanya ketika ditemui, hari ini.
Seorang lagi penduduk dikenali Aiman, 30, berkata, dia mendapat panggilan mengenai kejadian selepas ada jiran yang menyangka kanak-kanak yang jatuh adalah anaknya.
"Saya segera periksa dan dapati kesemua anak ada di rumah. Tidak lama kemudian dengar jeritan kuat ibu mangsa.
"Ibu mangsa kelihatan sugul dan trauma selepas kejadian. Anaknya segera dikejarkan ke hospital dan difahamkan masih dalam rawatan. Harapnya mangsa sembuh kepada keadaan asal dan keluarga diberi kekuatan menghadapi ujian ini," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha mengesahkan kejadian yang membabitkan kanak-kanak berusia dua tahun 11 bulan.
"Mangsa masih dalam keadaan kritikal," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan