"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua warga Singapura maut ditemukan berpelukan bawah timbunan batu susulan letusan gunung Dukono

Reuters
GAMBAR FAIL: Orang ramai menyaksikan asap tebal naik ke udara susulan letusan Gunung Dukono di Kabupaten Halmahera Utara, Maluku Utara, Indonesia pada 8 Mei 2026, menerusi rakaman skrin video media sosial ini. FOTO Jhon Frengki Manipa/via REUTERS.
GAMBAR FAIL: Orang ramai menyaksikan asap tebal naik ke udara susulan letusan Gunung Dukono di Kabupaten Halmahera Utara, Maluku Utara, Indonesia pada 8 Mei 2026, menerusi rakaman skrin video media sosial ini. FOTO Jhon Frengki Manipa/via REUTERS.
Jakarta: Dua warga Singapura yang hilang susulan letusan Gunung Dukono di Pulau Halmahera, Indonesia disahkan maut pada Ahad, menurut agensi penyelamat tempatan.

Ketua agensi itu, Iwan Ramdani berkata, pasukan penyelamat menemui mayat kedua-dua mangsa dalam keadaan berpelukan di bawah timbunan batu berhampiran kawah gunung berapi.

Menurutnya, mayat berjaya dibawa keluar menerusi operasi sukar berikutan keadaan muka bumi ekstrem dan hujan lebat sebelum dihantar ke hospital tempatan untuk proses bedah siasat.

Katanya, operasi pemindahan turut terganggu akibat letusan gunung berapi yang masih berlaku secara berterusan.

Seramai 150 anggota penyelamat bersama dua dron termal digerakkan sejak pagi Ahad dengan tumpuan pencarian di sekitar 100 hingga 150 meter dari bibir kawah.

Gunung Dukono di wilayah Maluku Utara yang bersempadan dengan Lautan Pasifik mula meletus pada Jumaat lalu dengan memuntahkan abu setinggi 10 kilometer ke udara sebelum aktiviti letusan berterusan pada skala lebih rendah.

Iwan berkata, operasi mencari dan menyelamat kini sudah ditamatkan.

Pada Sabtu, pasukan penyelamat turut mengesahkan seorang pendaki warga Indonesia yang hilang ditemukan maut.

Seramai 17 individu termasuk tujuh warga Singapura dan 10 warga Indonesia terselamat dalam insiden itu.

Kementerian Luar Singapura dalam kenyataan memaklumkan tujuh rakyatnya yang terselamat dijangka pulang ke negara itu pada Ahad.

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan bila mayat dua mangsa yang maut akan dibawa pulang.

Agensi Vulkanologi Indonesia melaporkan sekurang-kurangnya empat letusan berlaku setakat Ahad dengan satu daripadanya memuntahkan abu setinggi 1.3 kilometer.

Agensi itu mengekalkan tahap amaran ketiga tertinggi bagi Gunung Dukono dan melarang sebarang aktiviti dalam radius empat kilometer dari kawah gunung berapi itu.
-hmetro 

Tiada ulasan: