"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas ketua SPRM 'sergah' Mahathir, bela Muhyiddin


Bekas bos Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membidas Dr Mahathir Mohamad selepas bekas perdana menteri itu melontarkan kritikan kepada Muhyiddin Yassin.

Menurut Dzulkifli Ahmad kenyataan dibuat Mahathir sebelum ini boleh dianggap sebagai menghina mahkamah serta hakim yang mengendalikan kes berkenaan.

“Hanya mahkamah yang boleh membebaskan yangg dituduh.

“Kenyataan mengatakan bahawa PM 'Muhyiddin akan tentukan enam orang wakil rakyat akan didapati tidak bersalah' adalah kenyataan menghina mahkamah!

“Penghinaan kepada hakim yang menghakimi kes-kes tersebut!” katanya dalam ciapan di Twitter malam tadi.

Bersama ciapan itu, Dzulkilif turut mengepilkan laporan sebuah portal berita yang memetik Mahathir berkata Muhyiddin akan membebaskan Najib Razak yang ketika ini berdepan dengan puluhan tuduhan rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Semalam, Mahathir mengeluarkan kenyataan bahawa Muhyiddin akan memastikan enam ahli parlimen Umno yang kini berdepan kes mahkamah atas tuduhan rasuah untuk tidak disabitkan kesalahan.

Mereka ialah Najib sendiri, Presiden Umno merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, Ahmad Zahid Hamidi; bekas setiausaha agung Umno yang juga ahli parlimen Putrajaya, Tengku Adnan Tengku Mansor; anggota Majlis Tertinggi Umno, Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling), Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin; dan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan.

Kata bekas perdana menteri itu, sekiranya ahli parlimen Umno itu didapati bersalah oleh mahkamah, mereka tidak lagi jadi wakil rakyat, yang akan menyebabkan kerajaan Muhyiddin tumbang kerana kekurangan majoriti.

Dedah rakaman audio

"Sekarang jumlah wakil rakyat yang menyokong Muhyiddin hanya 114, iaitu tiga sahaja lebih dari separuh (daripada 222 kerusi kesemuanya).

"Jika enam orang ini didapati bersalah oleh mahkamah, mereka tidak lagi jadi wakil rakyat. Dengan itu penyokong Muhyiddin tinggal 108 – iaitu kurang daripada separuh,” kata Mahathir dalam kenyataaan tersebut.

Tindakan mahkamah diambil ke atas pemimpin kanan Umno itu selepas kerajaan BN gagal mendapat mandat daripada rakyat untuk terus menjadi kerajaan pada pilihan raya umum (PRU) dua tahun lalu.

Ia adalah antara janji yang diikrarkan oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk dilaksanakan dalam pentadbiran mereka.

Antara skandal yang disiasat ketika itu ialah 1MDB, Tabung Haji dan Felda.

Untuk rekod Dzulkifli adalah pegawai kanan di Jabatan Peguam Negara yang dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM ketika skandal 1MDB meruncing di bawah kerajaan Najib.

Nama beliau juga dikaitkan dalam pendedahan rakaman oleh SPRM mengenai perbualan beberapa individu mengenai maklumat sensitif didakwa melibatkan siasatan 1MDB.

Antara perkara yang didakwa dibocorkan adalah kandungan kertas siasatan itu tidak memihak kepada Najib, sekali gus mencadangkan agar mereka boleh bertemu bagi berbincang lebih lanjut mengenai perkara berkenaan.

Selain nama Dzulkifli dan Najib, isteri bekas perdana menteri itu, Rosmah Mansor, juga dikaitkan dalam pendedahan rakaman berkenaan. Ketika itu SPRM diketuai peguam kanan, Latheefa Koya.

Latheefa bagaimanapun meletakkan jawatan sejurus selepas kerajaan PH ditumbangkang melalui Langkah Sheraton.

Kerajaan Perikatan Nasional yang ditubuhkan kemudian dikritik kebanyakan pihak kerana ditubuhkan tanpa mendapat mandat daripada rakyat melalui PRU.

Jawatan ketua pesuruhjaya SPRM kini disandang Azam Baki sejak Mac lalu.

Awal tahun lalu, dalam pendedahan klip audio oleh Latheefa, Dzulkifli dikatakan pernah membocorkan maklumat siasatan pihak berkuasa berhubung skandal SRC International Sdn Bhd (SRC) kepada Najib pada 2016, yang merupakan perdana menteri ketika itu.

Tunjukkan Islam baik ( Jangan mudah me'Neraka'kan musuh politik)

Wan Ji Wan Hussin

Saya kadang kala rasa takut tambah gerun apabila dengar ada sebilangan orang agama tertentu yang bermain politik sehingga sanggup menuduh orang yang tidak sealiran politik dengan mereka sebagai ahli neraka.

Di Malaysia, malah di negara-negara lain juga, amalan sebegini bukan hanya dalam soal perbezaan pandangan politik. Perbezaan aliran mazhab pun agak menakutkan juga.

Bagi mereka yang suka mengambil mudah perkara ini, saya mengajak kita bersama-sama memikirkan perkara berikut:

Pertama, kelayakan menentukan syurga atau neraka terhadap mana-mana individu bukan milik kita, tetapi Tuhan yang empunya syurga dan neraka. Bimbang jika di saat kita menuduh orang lain sebagai ahli neraka, tiba-tiba Allah tidak menentukan kita sebagai ahli syurga – wal ‘iyazubillah.

Kedua, Kita bukan Nabi yang mempunyai darjat maksum. Apabila tidak ada darjat itu, kita sendiri pun tidak pasti apakah kita akan ke syurga. Apa yang kita boleh lakukan adalah sentiasa berharap agar dikurniakan syurga oleh Allah.

Ketiga, amat ramai manusia sangat baik dalam kehidupannya. Namun, saat kematian menjenguk dia tidak terpilih sebagai orang bertakwa. Dalam kitab tafsir, sering diselit kisah Bal’am bin Ba’ura’ - seorang ahli ibadah yang mati dalam keadaan kufur. Kita wajar mengambil pengajaran daripada kisah ini.

Oleh sebab itu, apabila saya membaca pelbagai takrifan takwa yang dikemukakan oleh ramai ulama, takrifan yang dekat dengan jiwa saya adalah "berhati-hati dalam menjalani kehidupan di dunia, seperti ketika berjalan di dalam bilik gelap yang dipenuhi dengan duri".

Apabila kita berhati-hati dalam menjalani kehidupan di dunia, kita tidak mudah untuk menuduh orang yang berbeza parti dengan kita sebagai ahli neraka. Kita juga tidak mudah menganggap hanya orang yang semazhab dengan kita layak masuk syurga.

Apabila kita berhati-hati, sudah pasti kita ada kebimbangan untuk menuduh orang lain sebagai ahli neraka, kerana entah-entah dia akan menjadi ahli syurga, dan kita pula ahli neraka. Wal 'Iyazubillah.

Bukan Islam masuk Syurga

Saya pernah membaca tulisan ulama-ulama muktabar zaman silam berkenaan dengan isu orang bukan Islam masuk syurga. Selain al-Imam Ibn al-Qayyim, ulama terkenal bernama al-Imam Al-Ghazali merupakan antara ulama muktabar yang pernah menulis tentang perkara ini - melalui sebuah buku nipis yang bertajuk Faisal al-Tafriqah Bain al-Islam wa al-Zandaqah.

Dalam buku tersebut, Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa terdapat juga orang bukan Islam yang masuk syurga. Komentar beliau diulang bahas oleh Rashid Ridha dalam karya tafsir Quran bertajuk al-Manar.

Rashid Ridha menyatakan ada orang bukan Islam yang tidak tahu tentang agama Islam disebabkan tidak ada pendakwah yang menyampaikan kepada mereka. Pada beliau, orang bukan Islam seperti ini diberikan keuzuran dari Tuhan - dia masuk syurga.

Beliau turut membahaskan bahawa ada orang bukan Islam yang tahu tentang Islam dalam wajah yang salah. Beliau juga menyimpulkan orang bukan Islam seperti ini turut diberikan keuzuran dari Allah - masuk syurga.

Islam wajah perkauman

Pernahkah kita fikir bahawa di negara kita ini antara salah faham terhadap wajah Islam ialah anggapan bahawa memeluk agama Islam bermaksud "masuk Melayu".

Kita perlu sedar, Islam adalah agama yang tidak boleh disamakan dengan Yahudi. Jika agama Yahudi bersifat eksklusif - agama yang berkaitan dengan Bani Israel sahaja - Islam pula berbeza; ia agama untuk semua manusia dan tidak dibataskan untuk kaum tertentu. Nabi Muhammad pernah berkata: "Aku diutuskan untuk semua manusia".

Walaupun berbangsa Arab, Nabi Muhammad tidak diutuskan untuk golongan itu sahaja. Semua kaum - tidak kira Melayu, Cina, India, Arab, kadazan, Iban, Yahudi, atau apa sekalipun - adalah umat Nabi Muhammad.

Oleh sebab itu, amat tidak wajar apabila agama Islam diberi kaitan perkauman. Tindakan mengangkat Islam atas wajah Melayu pastinya melahirkan tanggapan tidak baik kepada sudut pandang masyarakat selain Melayu terhadap agama ini.

Dengan amat ramai yang percaya bahawa memeluk agama Islam adalah bermaksud "masuk Melayu", ia secara tidak langsung mengaburkan lagi sudut pandang mereka terhadap Islam.

Masuk syurga dengan rahmat

Dalam sahih al-Bukhari, ada dinyatakan satu hadis - Nabi Muhammad bersabda: seorang itu tidak masuk ke dalam syurga dengan sebab amalannya.

Memandangkan amalan Nabi Muhammad begitu hebat dan banyak, Aisyah bertanya kepada nabi: Apakah perkara yang sama berlaku kepada baginda juga?

Baginda menjawab, bahawa soal masuk syurga bukan dengan sebab amalan itu, termasuk juga dirinya. Menurut penjelasan Nabi, seorang itu masuk syurga dengan rahmat dan keampunan daripada Tuhan. (Hadis 6467)

Kita perlu sedar bahawa rahmat dan keampunan hanya datang daripada Tuhan. Tuhan boleh memberi rahmat dan keampunan kepada siapa yang dimahukan-Nya dan boleh membenci dan tidak mengampunkan dosa siapa saja yang dimahukan-Nya.

Semata-mata memeluk agama Islam tetapi terus terjebak dalam amalan rasuah, pengkhianatan, memburukkan imej agama di hadapan orang bukan Islam, sentiasa mengeluarkan kenyataan yang mencetuskan permusuhan, melakukan penindasan dan kezaliman; tiada jaminan bahawa seorang Muslim itu mendapat rahmat dan kasih sayang dari Allah.

Apatah lagi, segala kejahatan yang disebutkan di atas amat dibenci oleh Allah.

Tidak dinafikan, memang ramai ulama berkata bahawa Muslim yang melakukan kejahatan diberi ruang untuk bertaubat. Tetapi perlu diingat, soal penerimaan taubat tidak berada di tangan ulama terbabit, tetapi di tangan Tuhan yang Maha Berkuasa.

Persoalannya, apakah Tuhan akan menerima taubat pelaku rasuah dan penzalim yang semasa melakukan dosa itu, dia berkata: “Hari ini kita makan rasuah, esok nak mati nanti kita bertaubatlah”.

Bukankah ini sudah amat jelas seperti mahu menipu Tuhan yang Maha Mengetahui?

Kalau menipu manusia adalah haram, sudah pasti lebih haram apabila mereka menipu Allah yang Maha Mengetahui.

Tidak boleh dinafikan bahawa ada orang bukan Islam yang selalu melakukan kebaikan tetapi kekal tidak Islam kerana mereka tidak mengetahui hakikat sebenar ajarannya, ataupun terkabur daripada ajaran yang sebenar akubat sikap yang ditunjukkan oleh ulama dan orang Islam sendiri.

Pengetahuan Allah jauh lebih hebat berbanding pengetahuan manusia. Apakah mustahil untuk Allah melimpahkan rahmat dan kasih sayang-Nya kepada mereka? Rahmat Allah meliputi segala-galanya.

Sentiasa melakukan kebaikan

Negara kita akan jadi baik jika semua warganya melakukan kebaikan. Orang Islam tidak boleh berharap bahawa orang Islam sahaja baik. Kita juga perlu berharap agar orang bukan Islam turut melakukan perkara yang sama. Apabila ada orang bukan Islam melakukan kebaikan, kita perlu akui kebaikan mereka.

Pada masa sama, orang Islam wajar malu kepada orang bukan Islam jika mereka tidak melakukan kebaikan. Orang Islam perlu lebih bencikan rasuah dan khianat berbanding orang bukan Islam.

Penganut agama Islam perlu ingat tanggungjawab untuk melakukan kebaikan dan tidak terjebak dalam rasuah, pengkhianatan dan tindakan zalim. Jika tidak kebaikan, dibimbangi Tuhan membenci dan tidak memberikan rahmat-Nya kepada mereka. Ini pastinya berbahaya untuk kehidupan di akhirat kelak.

Seorang beragama Islam tidak boleh mendabik dada dengan angkuh dengan berkata mereka adalah ahli syurga, dibimbangi keangkuhan sebegitu menjadikan dia dijauhkan daripada rahmat-Nya.

Apa yang perlu dilakukan setiap orang Islam adalah melakukan kebaikan setulus hati agar mendapat rahmat dan kasih sayang Tuhan, dan seterusnya dianugerahkan syurga.

Soal orang bukan Islam ke syurga atau tidak ditentukan oleh Allah, itu bukan urusan kita. Serahkan perkara itu kepada Allah yang merupakan pemilik syurga dan neraka.

Tugas kita sebagai orang Islam adalah berusaha membuktikan kebenaran dan kebaikan agama ini kepada mereka, agar mereka datang kepada Islam; atau paling tidak pun, mengatakan islam adalah agama yang baik.

“Kenapa lebih cenderung kepada Mahathir, berbanding Anwar?”

AHMAD LUTFI OTHMAN

Semasa Dr Mahathir Mohamad letak jawatan perdana menteri 24 Februari lalu, saya menjangka ia hanya strategi untuk perkukuhkan lagi kedudukannya, selepas kalah moral apabila partinya sendiri, Bersatu keluar Pakatan Harapan (PH).

Pada hemat saya, Mahathir sepatutnya tidak membuat keputusan sepenting itu bersendirian. Beliau perlu merujuk dan berunding dengan rakan-rakan parti komponen PH terlebih dahulu. Risiko dan impak tindakan nekad Mahathir itu cukup besar dan membabitkan negara seluruhnya. Di peringkat parti, kesannya meliputi jaringan lebih meluas hingga ke peringkat akar umbi, membabitkan ahli-ahli yang baru menyumbang khidmat dalam struktur pentadbiran negara.

Bagaimanapun, keresahan saya agak terubat apabila mengenangkan rekod Mahathir berdepan krisis politik, yang akhirnya menyebelahi beliau. Mahathir digugat Musa Hitam dan Tengku Razaleigh pada pertengahan 1980-an, namun berjaya melepasinya. Mahathir diancam keputusan rayuan Umno 11 dalam penghakiman pengharaman parti, tetapi aksi beraninya cukup mengejutkan sehingga hakim-hakim dipecat dan Umno (Baru) ditubuhkan. Cabaran Semangat 46 mampu dijinakkan, gerakan Reformasi dan pengaruh Anwar Ibrahim mempersatu pembangkang pada1999 juga tidak mampu menariknya turun daripada takhta.

Sejarah panjang politik Mahathir juga merakamkan beliau berperanan atau kuat mempengaruhi perletakan jawatan dua perdana menteri, iaitu Tunku Abdul Rahman dan Hussein Onn. Mahathir sudah pasti diakui umum berjaya menamatkan khidmat Abdullah Ahmad Badawi dan paling akhir, kejayaan tidak terduga mengalahkan Umno-BN Najib Razak dalam pilihan raya aman.

Dr Mahathir bersama pimpinan PH dalam satu sidang media sewaktu PH menerajui pimpinan negara.

Berdasarkan rekod cemerlang tersebut, saya kira Mahathir pasti boleh melepasi rintangan kecil pada akhir Februari 2020 itu. Namun rupanya beliau terperangkap juga; Mahathir di hujung usia kalah kepada anak-anak didiknya sendiri, Muhyuddin Yassin dan Azmin Ali. Mahathir dimalukan (baca dikhianati) oleh pesaing bertaraf “light-weight” selepas beberapa seteru “heavy-weight” berjaya ditumbangkan dengan pukulan KO. Lebih malang apabila Mahathir ditohmah merancang sendiri kegagalannya itu!

Saya lebih cenderung melihat tragedi rampasan kuasa itu difaktorkan oleh strategi silap Mahathir sendiri. Ia juga membayangkan hubungan longgar atau bahasa kasarnya, diselubungi syak wasangka, antara Mahathir dengan pemimpin kanan PH. Atau mungkin lebih tepat, hubungan Mahathir dengan mereka bagaikan ayah dan anak, dibatasi dengan rasa hormat terhadap orang tua, yang ada jurang di antaranya.

Kesilapan besar Mahathir tidak terhenti setakat itu. Apabila Tuanku Agong minta dipersembahkan nama calon perdana menteri, PH (tanpa Bersatu) dan penyokong Mahathir tiada kesepakatan. PKR, DAP dan AMANAH, iaitu sekitar 92 wakil rakyat mencalonkan Anwar menyebabkan Mahathir hanya mendapat 60 sokongan, manakala Umno dan Pas mencadangkan Parlimen dibubar. Memang ada alasan mengapa Mahathir tidak dicalonkan PH tetapi ia juga menyebabkan tiada siapa pun meraih sokongan minimum 112. Justeru, Agong membuka peluang kedua, dan melorong Umno-Pas serta gerombolan pengkhianat “menangkap” peluang terbuka dengan mencalonkan Muhyiddin Yassin.

Umum menyimpulkan keruntuhan kerajaan PH turut disumbangkan oleh kegagalan menguruskan konflik dalaman parti, khususnya PKR dan Bersatu. Isu utama tetap berlegar sekitar polemik tarikh peralihan kuasa perdana menteri. Secara tersirat juga merujuk percaturan Bersatu untuk muncul sebagai parti Melayu paling dominan dalam masa singkat. Hubungan dingin Mahathir-Anwar dijarakkan lagi dengan peranan musuh ketat Anwar yang berada di kiri-kanan Mahathir, iaitu Zahid Mad Arip dan Hamzah Zainuddin.

Ringkas cerita, ada pihak mempersoalkan, apakah gabungan pembangkang hari ini, tidak mengambil iktibar daripada pengalaman singkat yang baru dilaluinya? Ketika melintas potensi dan peluang di depan mata untuk merebut kembali kuasa yang dicuri kumpulan Muhyiddin-Azmin itu, mereka masih gagal mencapai persefahaman. Secara tidak langsung Perikatan Nasional (PN) yang rapuh-longgar itu, masih terus bertahan, dan mungkin semakin kuat atau stabil apabila pertelingkahan dua tokoh besar pembangkang, Mahathir-Anwar, kelihatan tidak menuju titik temu.

Daripada satu sudut, isunya bukan mencari calon PM terbaik; kedua-duanya, Mahathir atau Anwar “terlebih layak” untuk menggantikan Muhyiddin. Kita juga bukan berdepan pilihan raya umum, yang menyerahkan kepada kuasa rakyat untuk membuat pilihan sekali lagi. Persoalan kritikalnya, siapa tokoh yang boleh meraih sokongan minimum 112 undi daripada kalangan ahli Parlimen sementara penyokong setia kedua-dua, Mahathir-Anwar, dianggarkan tidak pun sampai 100 orang.

Melihat perdebatan terbuka media sosial, penyokong masing-masing saling mempertahankan pemimpin kesukaan, di samping cuba memperlekeh saingan. Diungkit segala kisah lama, khususnya kelemahan tertentu. Pastinya Mahathir lebih mudah dijadikan sasaran. Cerita-cerita kegagalan dan “pengkhianatan” Mahathir terhadap Anwar dihidangkan dengan pelbagai versi. Berdasarkan tinjauan rambang, Anwar kelihatan memperolehi lebih banyak sokongan atau sekurang-kurangnya simpati.

Secara peribadi, saya di kelilingi lebih ramai kenalan yang bukan sahaja menyokong penuh Anwar, tetapi secara terbuka “tidak lagi mempercayai” Mahathir. Biasanya mereka akan tinggalkan soalan, “berapa kali kita akan dipatuk ular dari lubang sama?”, atau “belum cukupkah peluang yang mahu diberikan kepada atok 95 tahun?” Saya cuba berhujah secara rasional berdasarkan real politik dan sifir semasa, tapi saya juga dituduh “pengkagum” dan “pemuja” Mahathir! Sedangkan hakikatnya saya cuba membentangkan pilihan terbaik untuk mengembalikan mandat rakyat dalam PRU14 lalu. Apa pun saya tetap berlapang dada; politik sentiasa berbalut sentimen, emosi dan sangkaan. Setiap pihak ada argumen tersendiri, yang diyakininya benar. Kadang-kadang perbalahan sesama sekutu diakhiri dengan tragis: Biar masing-masing melepas! Atau dalam konteks semasa, biar kita sama-sama bertaraf pembangkang berdepan PRU15 nanti, jika Anwar tidak terpilih sebagai PM.

Menurut khabar yang tidak dapat disahkan tetapi seakan diterima ramai khalayak, Mahathir lebih dipercayai berupaya mendapat sokongan mencukupi, khususnya daripada Sabah dan Sarawak. Daripada perspektif ini, kelebihan nampak tidak memihak Anwar. Lebih buruk apabila dilaporkan wakil-wakil rakyat DAP, AMANAH dan Warisan bersedia untuk tidak mencalonkan Presiden PKR itu. Namun, kata sepakat masih diusahakan penyelesaian terbaik. Sekiranya pembangkang berpecah, yang untungnya penyandang, Muhyiddin-Azmin. Lebih malang apabila ada pihak meramalkan mungkin terbentuk pakatan baru di kalangan pembangkang sekiranya perbalahan perdana menteri ini berterusan.

Tentunya ada penyokong Anwar yang terus mempersoalkan kewajaran Mahathir menjadi PM buat kali ketiga: “Jelas, niat buruk Mahathir hanya mahu gagalkan Anwar sebagai PM. Mahathir tak mampu lagi pulihkan negara, apatah lagi dalam masa 6 bulan yang dipintanya. Ini taktik jahatnya agar Anwar terus kempunan.” Bukan rahsia lagi, kumpulan Mahathir-Anwar sejak lama saling tidak mempercayai dan mencurigai. Mahathir pula kerap menyampaikan mesej yang tidak menyenangkan penyokong Anwar.

Tulisan saya ini mungkin mengundang persepsi tidak menyebelahi Anwar walhal saya berniat untuk mencari titik-temu agar kerajaan pintu belakang ini dapat direbut kembali secepat mungkin. Saya mencari figura yang dilihat lebih mampu meraih cukup sokongan untuk bentuk kerajaan. Memang imiginasi saya lebih tertarik dengan personaliti Anwar dan gagasan reformasinya. Sosok Anwar menyuntik harapan perubahan berbanding Mahathir. Cuma buat masa ini, Anwar dilihat bermasalah untuk memperolehi “cukup bilang” bagi memungkinkan kerajaan bertukar. Dan saya masih percaya, selain memartabatkan kembali mandat rakyat, regim Umno mesti dihalang daripada menjadi pemerintah di waktu Parlimen dibubarkan.

BERSAMBUNG