"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRN Melaka, Johor jelaskan siapa musuh bersama PH dan PN

BORHAN AHMAD

Pilihan Raya Negeri Johor telah selesai. Pada jam 12 malam tadi, keputusan menunjukkan Barisan Nasional (BN) telah berjaya mendapat kemenangan dua pertiga, manakala Pakatan Harapan 11, (DAP mendapat 10 kerusi, AMANAH 1, PKR 1 dan Muda 1) dan Perikatan Nasional (PN) 3 kerusi.

Sepanjang kempen berlangsung, satu petanda besar yang ditunjukkan oleh semua pemimpin PH dan PN, bahawa mereka ada satu perasaan bersama, mereka tidak mahu melihat BN khasnya Umno memerintah negara ini sekali lagi.

Mereka dengan tegas tidak mahu dan tidak redha Umno dan BN menjadi kerajaan kembali apatah lagi kalau “national embarrassment” iaitu Datuk Seri Najib Razak kembali menjadi perdana menteri.

Punca utama kemenangan Umno adalah perpecahan undi khasnya di kalangan pengundi Melayu antara BN, PH dan PN. Dengan peratusan keluar mengundi yang tidak sampai 60%, jumlah pengundi tegar Umno yang agak besar di Johor, telah menyebabkan BN menang dua pertiga dalam PRN kali ini.

Dengan menguasai kira-kira 40% pengundi Melayu, BN berjaya menang apabila PH mendapat sebahagian dan sebahagian lagi PN. DAP berjaya memenangi 10 kerusi kerana pengundi Cina sebahagian besarnya tetap percaya kepada DAP.

Trend yang sama juga berlaku di PRN Melaka. Peratusan keluar mengundi rendah (apabila pengundi luar tidak pulang khasnya Cina), pengundi Melayu pula berpecah antara tiga parti ketika Umno mempunyai undi asas yang kuat.

Semasa PRU 14 lalu, PH mendapat 36 kerusi, BN (19) manakala Pas atau Gagasan Sejahtera, satu kerusi.

Selepas mendapat pengajaran dari PRN Melaka dan Johor serta rekod PRU 14 lalu, PN dan PH perlu membuat keputusan segera. Apakah mereka mahu kekal dengan trend keputusan di PRN Melaka dan Johor kekal atau berbuat sesuatu untuk mengubahnya.

Kalau ketika mereka berkempen, mood ‘common enemy’ boleh dilaungkan, iaitu tidak mahu BN kembali memerintah negara, menjelang PRU 15 yang tidak berapa lama lagi ini, pemimpin PH dan PN perlu duduk semeja.

Mereka perlu mencapai kata sepakat untuk mempastikan BN tidak memerintah negara semula. Ketika hakim Mahkamah Rayuan boleh menamakan Najib sebagai “national embarrassment” atau memalukan negara bagi menjawab kempen ‘malu apa bosku’, sudah tentu rakyat negara ini boleh bersatu sekali lagi untuk mempastikan “national embarrassment” tidak menjadi perdana menteri atau tokoh yang mengawal kerajaan sekali lagi.

Kita yakin rakyat akan bersatu sekali lagi menyokong usaha untuk menyekat BN dari memerintah negara ini semula dengan pra syaratnya, iaitu pemimpin harus bersatu.

Usaha dan perbincangan yang berputik di Johor akan menghasilkan buah yang baik dalam PRU 15 nanti. Ingat, kita ada ‘common enemy’, yang lain perlu tolak tepi jika PH dan PN mahu menang dalam PRU 15 nanti.

PRN Johor: 5 parti hilang semua deposit

Malaysiakini 

Kehilangan wang deposit pilihan raya merupakan sesuatu yang memalukan bagi calon pilihan raya. Bagaimanapun, beberapa parti semasa pilihan raya negeri (PRN) Johor menyaksikan ramai calon. menerima nasib sedemikian.

Pejuang - parti yang diketuai bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan kini mempunyai empat ahli parlimen - meletakkan 42 calon dan kesemuanya kehilangan deposit.

Ia berjumlah RM210,000 yang disumbangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Malah calon Pejuang yang dilihat paling berprngaruh, Shahruddin Md Salleh - bekas timbalan menteri, wakil rakyat beberapa penggal dan kini ahli parlimen - hanya boleh mengumpulkan 2.39 peratus undi untuk Machap.

Calon terbaik mereka ialah Zam Zam Hashim, yang memenangi 4.81 peratus bahagian undi di Kukup.

Dua lagi parti yang mempunyai ahli parlimen tetapi gagal menyelamatkan deposit di Johor ialah Warisan dan Parti Bangsa Malaysia (PBM). Warisan meletakkan enam calon dan PBM empat.

Warisan kini sedang menguji pengaruh mereka di Semenanjung Malaysia kerana ia berusaha untuk berkembang ke luar Sabah. Bagi PBM pula, pilihan raya Johor akan menyukarkan mereka untuk masuk ke dalam BN.

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing meletakkan seorang calon. Kedua-duanya turut hilang deposit.

Calon Putra tidak dapat memenangi satu peratus pun bahagian undi. Calon PSM melakukan sedikit lebih baik, memenangi 1.76 peratus bahagian undi.

Pakatan Harapan, walaupun memenangi cukup kerusi untuk membentuk kerajaan pada 2018, menyaksikan 11 calon kehilangan deposit kali ini.

PKR mengalami tujuh kekalahan sedemikian dan Amanah empat. DAP dan sekutu PH, Muda, yang membuat penampilan sulung dalam, berjaya mengekalkan deposit mereka di semua kerusi yang ditandingi.

Di Perikatan Nasional, dua calon Bersatu hilang deposit.

PAS dan Gerakan menyaksikan seorang calon masing-masing kehilangan deposit.

Tiada seorang pun calon BN yang hampir kehilangan deposit mereka. Prestasi terburuk mereka ialah di Bentayan, di mana mereka memenangi 20.6 peratus bahagian undi.

PN kalah teruk, Muhyiddin umum sedia letak jawatan pengerusi

Mohamad Fadli

JOHOR BAHRU: Muhyiddin Yassin malam ini menawarkan peletakan jawatan sebagai pengerusi Perikatan Nasional susulan kekalahan teruk gabungan itu pada PRN Johor.

“Saya bersedia pada bila-bila masa kalau ada ahli parti buat keputusan begitu. Pasal Apa? Keputusan itu atas persetujuan rakan-rakan pimpinan dalam PN,” katanya pada sidang media malam tadi.

“Kalau nak tukar saya terima. Kita amalkan sistem progresif. (Jawatan pengerusi) Bukan hak saya, (tapi) keputusan parti atau kepimpinan parti komponen PN.”