"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tengku Zafrul buat rakyat tertanya ‘apa kurangnya Umno’

Anne Muhammad

Tengku Zafrul Aziz meletak jawatan sebagai bendahari Umno Selangor pada April lalu kerana tidak dapat melakukan sebarang penambahbaikan untuk kebangkitan parti di negeri itu.
PETALING JAYA: Spekulasi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz akan menyertai PKR hanya menimbulkan tanda tanya kepada rakyat ‘apa kurangnya Umno’ berbanding parti pimpinan Anwar Ibrahim, kata penganalisis.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berpandangan, imej Umno sedikit-sebanyak akan tercalar oleh tindakan Tengku Zafrul jika benar beliau menyertai PKR, iaitu rakan komponen parti itu dalam kerajaan perpaduan.

“Penghijrahan Tengku Zafrul tidak akan menjejaskan Umno kerana beliau tidak mewakili akar umbi, tetapi imej Umno akan tetap terjejas sebab orang awam akan bertanya apa kekurangan Umno yang PKR ada,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, Syaza berkata ura-ura penghijrahan Tengku Zafrul tidak akan menjejaskan penambahan ahli Umno kerana beliau bukan ‘orang kuat’ parti.

Terdahulu, FMT memetik sumber berkata tindakan Tengku Zafrul mungkin terdorong untuk mengintai masa depan bersama PKR disebabkan hubungan tegang dengan ‘panglima-panglima’ dalam Umno, berpunca daripada pengelutan kuasa dan rasa tidak puas hati dalam parti.

Karier politik Tengku Zafrul menyaksikan beliau meletak jawatan sebagai bendahari Umno Selangor pada April lalu kerana tidak dapat melakukan sebarang penambahbaikan untuk kebangkitan parti di negeri itu.

Malah, pada 4 Ogos lalu beliau yang juga ketua bahagian Kota Raja meminta supaya Umno diberikan satu kerusi bawah Parlimen itu, yang kemudian ditegur oleh Amanah bahawa pembahagian perlu dalam rundingan antara gabungan.

Sementara itu, Lau Zhe Wei juga dari UIAM berkata, Tengku Zafrul tidak akan mengambil tindakan drastik jika tidak ada perkara besar mendorongnya berbuat demikian.

“Namun, saya lebih tertarik dengan kedudukan parti komponen kerajaan perpaduan. Kalau Tengku Zafrul masuk PKR, bagaimana PKR nak jelaskan kepada Umno.

“Adakah berbaloi demi seorang pemimpin jejaskan hubungan antara parti,” soalnya

Selepas kehilangan SAPP, PN cari rakan baharu di Sabah

Harapandaily

Setiausaha Bersatu Sabah Yunus Nurdin merangkap ketua Bersatu Libaran mengesahkan bahawa rundingan telah dimulakan oleh Perikatan Nasional (PN) dengan parti-parti Sabah memandangkan parti tempatan lebih terserlah di negeri tersebut.

“Ya, memang ada rundingan dengan beberapa parti tempatan tetapi kita belum membuat sebarang keputusan.

“Buat masa sekarang kita solo di atas kertas tetapi kerjasama boleh berlaku,” katanya merujuk kepada pilihan raya negeri yang akan berlangsung pada tahun hadapan.

“Kita tidak pasti. Pimpinan PN pusat akan menentukannya,” katanya tanpa menamakan pihak-pihak yang berunding.

Yunus juga menganggap keputusan SAPP keluar daripada PN tidak akan menjejaskan peluang pakatan pembangkang pusat itu.

Naib presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee yang juga merupakan ketua Bersatu Sabah akan mengetuai PN dalam PRN akan datang.

Keputusan SAPP keluar daripada PN adalah signifikan kerana SAPP ialah satu-satunya parti tempatan Sabah di dalam PN.

Dalam pilihan raya negeri 2020, PN memenangi 17 kerusi. Enam dimenangi oleh Parti Solidariti Ranah Airku (STAR) di bawah pimpinan Jeffrey Kitingan manakala bakinya dimenangi oleh Bersatu.

Walau bagaimanapun, kebanyakan daripadanya kini sebahagian daripada Gabungan Rakyat Sabah.

Koperal direman kes minta rasuah RM80,000

Sinar Harian
Koperal direman kes minta rasuah RM80,000
Suspek ditahan pada Rabu selepas dipercayai meminta wang daripada seorang wanita sebanyak RM80,000. - Foto Sinar Harian
GEORGE TOWN: Seorang anggota polis berpangkat koperal direman lima hari bermula Khamis sehingga 23 Disember ini bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melibatkan wang RM80,000.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Mohamad Azlan Basri di Mahkamah Majistret Jenayah 2 pada pagi Khamis.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kerana dipercayai meminta wang rasuah kira-kira RM80,000 daripada seorang wanita.

Menurut sumber lagi, suspek menghubungi wanita berkenaan pada 30 November lalu susulan tangkapan dibuat terhadap suaminya.

Katanya, suspek disyaki meminta wang rasuah kononnya bagi membantu membebaskan suaminya yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA 2012).

"Menerusi perbualan telefon itu, suspek telah meminta wang kira-kira RM80,000 daripada wanita berkenaan sebagai balasan bagi mengubah keterangan untuk membantu suaminya dilepaskan daripada tahanan SOSMA.

"Suspek telah meminta wang pendahuluan kira-kira RM25,000 daripada wanita berkenaan yang kemudian membuat beberapa pindahan wang menerusi sistem pembayaran e-wallet membabitkan nilai kira-kira RM3,000," katanya pada Khamis.

Jelas sumber itu lagi, pada Isnin lalu, suspek sekali lagi telah menghubungi wanita berkenaan dan meminta wang kira-kira RM2,000 secara tunai.

"Wanita berkenaan kemudiannya menyerahkan wang RM1,000 kepada suspek dalam pertemuan di sebuah stesen minyak di Sungai Dua kira-kira jam 2 petang Rabu sebelum ditahan," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. - Sinar Harian