"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Badan wanita putus dua diserang gajah

KOSMO
Rumah milik Suarni yang meninggal dunia selepas diserang kawanan gajah liar di Tanggamus. - Istimewa
JAKARTA – Seorang warga emas berusia 62 tahun di Tanggamus, wilayah Lampung, meninggal dunia selepas diserang kawanan gajah liar, lapor portal berita Detik News semalam.

Kejadian berlaku di kawasan Hutan Taman Negara Bukit Barisan Selatan (TNBBS). 

Rakaman tular di media sosial memaparkan rumah mangsa yang dikenali sebagai Suarni, rosak diserang gajah. 

Bahkan, beberapa anggota badan milik mangsa ditemui di kawasan rumahnya. 

Pentadbir tempatan, Umi Fadillah berkata, mayat mangsa putus dua akibat dipijak gajah. 

“Siasatan sedang giat dijalankan, manakala polis dan pasukan keselamatan yang lain masih berada di tempat kejadian,” tambah Umi. – AGENSI

Wanita maut dilanggar lari, warga emas ditahan

Bernama

Rakaman CCTV mendapati Perodua Viva disyaki dipandu lelaki itu menghimpit motosikal mangsa hingga terjatuh dengan suspek meninggalkan kawasan nahas.

Ketua Polis Selama Sarudin Samah, berkata kejadian pada Ahad menyaksikan wanita 45 tahun maut di lokasi kejadian, dalam nahas di Jalan Wan Razali, Selama. (Gambar Facebook)
IPOH: Polis menahan lelaki warga emas bagi membantu siasatan kemalangan maut di KM0.6 Jalan Wan Razali, Selama, pada Ahad lalu.

Ketua Polis Selama Sarudin Samah, berkata lelaki berusia 76 tahun itu disiasat di bawah Seksyen 28A Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Bagaimanapun, lelaki itu diberi jaminan polis atas sebab lanjut usia dan masalah kesihatan. Kes telah dirujuk ke DPP (timbalan pendakwa raya),” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan pada Ahad, 9.35 pagi, melibatkan wanita berusia 45 tahun yang terjatuh atas jalan raya hingga tidak sedarkan diri selepas motosikal ditunggangnya terbabas.

Wanita itu kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan.

Sarudin berkata, polis telah menjalankan siasatan lanjut dan mendapati terdapat kesan cat kenderaan asing pada motosikal mangsa, susulan itu, polis percaya terdapat kenderaan lain terlibat dalam nahas itu.

“Hasil siasatan menerusi rakaman kamera litar tertutup di premis kawasan kejadian mendapati sebuah kereta Perodua Viva telah menghimpit motosikal mangsa ketika memotong menyebabkannya terjatuh. Suspek bertindak meninggalkan tempat kemalangan tanpa membuat laporan polis,” katanya.

Perjalanan penuh dugaan, kata Dr M menuju usia 100 tahun

FMT Reporters

PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad mengimbau perjalanan hidupnya yang akan menjangkau usia 100 tahun pada pertengahan tahun depan.

Negarawan itu mengakui ia penuh dugaan namun bersyukur diberi peluang bekerja untuk kesejahteraan rakyat dari zaman remaja sehingga ke hari ini.

Beliau juga bersyukur dikurniakan kesihatan yang agak baik dan fikiran yang waras dalam mengharungi perjalanan yang panjang.

“Saya bernasib baik dapat bersama dalam mengharungi detik-detik penting di dalam sejarah negara,” katanya di platform X.

Dilahirkan pada 10 Julai 1925, Mahathir menyertai Umno pada 1946 pada usia 21, dan bertanding pilihan raya buat pertama kali pada 1964.

Pertama kali menggalas tanggungjawab menteri pada 1974 di porfolio pendidikan, beliau kemudian mengangkat sumpah jawatan perdana menteri pada Julai 1981.

Mahathir terus menyandang jawatan perdana menteri selama 22 tahun, iaitu sehingga Oktober 2003.

Pada 2018, beliau kembali menyahut seruan jawatan tersebut sehingga Mac 2020.

“Sepanjang tempoh itu yang saya lihat, yang menjayakan negara ialah jati diri rakyat, semangat juang rakyat, yang punyai harga diri, yang tidak sanggup gadai tanah dan maruah bangsa untuk apa sekali pun,” katanya.

“Apakah kita masih lagi ada semangat serta nilai-nilai murni seperti mereka yang terdahulu dari kita, yang telah berjuang untuk negara agar kita dapat menikmati segala yang kita ada pada hari ini.”

Mahathir menyeru pembacanya supaya berazam menjadi rakyat yang lebih baik, bertanggungjawab, dan sayangkan negara.

“Jadilah rakyat yang berpegang kepada nilai-nilai murni, yang berprinsip, hormat antara satu sama lain, patuh pada undang-undang dan Perlembagaan,” katanya.