"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lima Polis Didakwa Rompak Warga Bangladesh


KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Lima anggota polis berpangkat konstabel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas 16 dakwaan merompak secara berkumpulan terhadap 16 warga Bangladesh sejumlah wang tunai RM34,516, pada 8 Ogos lalu.



Mohd Afizi Mohd Nasir, 27, Muhammad Hairey Muhammad Puzi, 21, Azrin Adha Abdullah, 25, Mohd Faiz Muhammad, 25, dan Mohammad Firdaus Jamaludin, 20, didakwa melakukan rompakan ke atas kesemua mangsa yang berumur antara 20 dan 40 tahun di sebuah rumah No 52, Jalan Nagasari, Dang Wangi di Kuala Lumpur pada 12.01 pagi.

Kelima-lima anggota polis terbabit bertugas di Bahagian Tugas Am dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi didakwa merompak wang tunai dan 19 telefon bimbit pekerja-pekerja buruh binaan itu. 

Pertuduhan ke atas kesemua mereka dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurmardiana Mamat menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh, namun peguam Mohamad Arfizi Mohd Ramli yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan itu dikurangkan kepada RM10,000 dengan alasan semua mereka merupakan penanggung tunggal keluarga. 

"Saya juga merayu di bulan Ramadan yang mulia ini supaya semua mereka diberi peluang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma bersama keluarga masing-masing," katanya dipetik Bernama Online. 

Hakim Zulhazmi Abdullah membenarkan semua tertuduh, masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Sept ini untuk sebutan.

Semua tertuduh membayar wang jaminan itu. 
-tvsnews-

Aksi Polis Trafik Malaysia Terima Rasuah Dari Pemandu Singapura

Addin
Sebuah laman web,The Straits Times singaporeseen.stomp.com.sg , dipercayai berpangkalan di Singapura hari ini menyiarkan sebuah video klip yang memaparkan seorang anggota polis trafik Malaysia yang berpakaian lengkap, menahan dan menerima @meminta ‘duit kopi’ dari pemandu warga republik itu. Klip video selama 1.59 minit tersebut memperlihatkan seorang pemandu warga Singapura yang menyeberang ke Malaysia melalui Tambak Johor telah ditahan polis trafik kerana memandu laju, 125 kilometer sejam, berbanding 110 kilometer sejam seperti yang dibenarkan undang-undang.

Rakaman tersebut tidak menyatakan secara tepat di mana kejadian itu berlaku tetapi laman web berkenaan turut memuatkan beberapa keping gambar operasi polis trafik di tempat kejadian.


Di dalam klip video yang dirakamkan pada tarikh 8 Julai lalu, namun baru dimuatkan di internet ini pada mulanya, menunjukkan anggota trafik berkenaan telah meminta sesuatu dipercayai kad pengenalan atau lesen memandu dari pemandu tersebut, sebagaimana prosedur biasa.



Namun beberapa saat kemudiannya, anggota polis trafik itu bagaikan sudah biasa mengamalkan rasuah jalanan, menebalkan muka meminta ‘duit kopi’ sebanyak RM100 untuk mengelak pemandu itu disaman, namun jumlah tersebut tidak dipersetujui oleh pemandu itu.

Kemudiannya proses tawar menawar berlaku dan jumlah ‘duit kopi’ itu berjaya dikurangkan kepada RM50 oleh pemandu warga Singapura tersebut. Setelah membayar wang berjumlah RM50, pemandu warga Singapura itu dilepaskan pergi oleh anggota polis trafik itu sambil menyelitkan wang yang diterima di bawah buku saman miliknya.

Video klip berkenaan turut menggunakan lagu tema ‘Truly Asian’ sebagai muzik latarnya sebagai satu sindiran sinis kepada Malaysia, di mana lagu itu digunakan oleh Kementerian Pelancongan untuk mempromosikan negara ke mata dunia.

Tindakan itu secara tidak langsung mampu memberikan kesan buruk terhadap industri pelancongan yang merupakan industri kedua yang memberikan pendapatan paling tinggi kepada Malaysia.

Kementerian Dalam Negeri, sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap penguatkuasaan undang-undang dan tindak-tanduk anggota polis trafik wajar memberikan perhatian serius kepada insiden yang memalukan negara ini.

Perlakuan buruk anggota polis trafik itu juga tidak dapat dikompromikan lagi memandangkan pihak Polis DiRaja Malaysia bergitu giat menjalankan kempen Benci Rasuah dan boleh dikatakan setiap anggotanya dibekalkan lencana bertulis ‘Intergriti Amalan Kita’.
Untuk melihat foto-foto tersebut sila klik 

Kritik Jais Tidak Bermakna Persoal Institusi Raja, Kata Aziz


SHAH ALAM, 19 OGOS: Pakar perlembagaan Prof Abdul Aziz Bari menegaskan Kenyataan-kenyataan mengkritik tindakan dan pendekatan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu tidak seharusnya dianggap sebagai tindakan mempersoalkan institusi diraja. 

Sebaliknya, beliau berkata agensi-agensi agama di negeri ini tidak sewajarnya menggunakan nama istana untuk melindungi pengurusan dan penguatkuasaan bidang kuasa masing-masing.

“Kritik Jais tidak semestinya kutuk Sultan. Sepatutnya (Majlis Agama Islam Selangor) Mais sebagai penasihat Sultan sebagai ketua agama beri nasihat yang betul kepada baginda. Bukan gunakan nama baginda untuk memberi perlindungan kepada Mais atau Jais,” katanya dalam satu kenyataan media.

Justeru itu, Mais dan Jais sepatutnya faham konsep dan implikasi akauntabiliti.

“Agama selain Islam dan penganut mereka ada hak dan ini perlu dilindungi. Ini semua dikandung oleh Perlembagaan khususnya Perkara 11. Apa yang berlaku menimbulkan keraguan tentang perlindungan itu. Mais dan Jais patut faham dan bukan menyeret Sultan,” kata beliau lagi.

Semalam, pengerusi Mais Datuk Mohd Adzib Isa menegaskan mana-mana pihak yang mempertikaikan tindakan Jais ke atas Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya secara tidak langsung tidak menghormati Sultan Selangor selaku ketua agama Islam negeri.

Beliau berkata, ini kerana Jais tidak terikat dengan kerajaan negeri Selangor, sebaliknya agensi penguatkuasaan itu terletak di bawah kuasa Sultan Selangor.

“Sultan Selangor adalah ketua agama negeri Selangor dan dari segi strukturnya Mais terletak di bawah Sultan Selangor dan Jais terletak di bawah Mais.

“Jais adalah badan bebas... tidak terikat dengan kerajaan negeri Selangor dan Jais adalah pelaksana atau badan pentadbiran,” katanya.

Justeru beliau meminta semua pihak tidak mempertikaikan tindakan Jais yang melakukan pemeriksaan ke atas majlis malam malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos lalu yang mendapat kritikan banyak pihak.

Sebelum ini, PAS menegaskan tiada pihak yang mempertikaikan tindakan Jais ke atas gereja tersebut, sebaliknya hanya mahu penjelasan sebenar daripada agensi penguatkuasaan agama itu.

Malah, pemimpin-pemimpin PAS menegaskan tidak timbul soal mempertikaikan tindakan Jais atau tidak menghormati Sultan Selangor selaku ketua agama negeri tapi semua pihak hanya mahu mendapatkan penjelasan.

Dalam pada itu, menjawab pendirian Mais, Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman menegaskan, dakwaan mengatakan ada pihak termasuk parti politik mempertikaikan tindakan Jais apatah lagi mempersoalkan kuasa Sultan Selangor.
-tvsnews-