"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib: Tiada parti dapat majoriti mudah, Agong putuskan siapa PM

Zikri Kamarulzaman 
Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak mendakwa tiada parti menerima kerusi yang mencukupi untuk membentuk sebuah kerajaan dengan majoriti mudah.

Bercakap dalam sidang media di PWTC, Kuala Lumpur, pagi tadi, Najib berkata terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan siapa akan menjadi perdana menteri dan menerajui negara.

“BN komited dan menghormati prinsip-prinsip demokrasi berparlimen. (Tetapi) kerana tiada parti yang dapat simple majoriti (majoriti mudah) Yang di-Pertuan Agong akan buat keputusan siapa yang akan menjadi perdana menteri,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam mengumumkan Pakatan Harapan (HARAPAN) memenangi 113 kerusi, sementara parti sekutunya, WARISAN memenangi lapan kerusi parlimen.

Berdasarkan keputusan rasmi, HARAPAN yang bertanding di bawah logo PKR memenangi 104 kerusi, manakala DAP - yang bertanding di bawah logonya sendiri di Sabah dan Sarawak - memenangi sembilan kerusi.

Ini menjadikan gabungan pembangkang itu mendapat 113 daripada 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan.

Walau bagaimanapun, HARAPAN tidak diiktiraf sebagai gabungan rasmi kerana ia tidak didaftarkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

DUN Sabah tergantung, STAR 'kingmaker'

Alyaa Azhar
Walaupun Parti Warisan Sabah (WARISAN) serta rakan gabungan pilihan rayanya DAP dan PKR berkata telah memenangi kerajaan negeri Sabah, keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan pakatan itu kini terikat bilangan kerusi dengan BN.

SPR mengumumkan BN menang 29 kerusi daripada 60 DUN manakala PKR menang dua, DAP memenangi enam dan Warisan menang 21 kerusi.

Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menang dua kerusi DUN - Tambunan dan Bingkor - yang bermaksud parti itu kini menjadi 'kingmaker' (penentu) pembentukan kerajaan negeri itu. STAR juga menang kerusi parlimen Keningau.

Dipercayai BN dan pakatan pilihan raya Sabah yang terdiri daripada WARISAN, DAP dan PKR sedang mendapatkan sokongan presiden parti itu, Datuk Jeffrey Kitingan.

Kedua-dua DUN yang dimenangi Star akan cukup untuk menjadikan sama ada BN atau WARISAN-DAP-PKR yang dapat membentuk kerajaan majoriti mudah.

Sumber dalam parti WARISAN berkata suatu sidang akhbar akan diadakan pada 9 pagi ini yang dijangkakan akan turut dihadiri Jeffrey.

Setakat awal pagi ini, penyokong yang berkumpul di rumah Presiden Datuk Seri Shafie Apdal masih belum bersurai.

Penyokong parti itu berkumpul di sana bagi menunggu keputusan pilihan raya Sabah yang lewat diumumkan. Keputusan rasmi hanya diumumkan pada jam 4.30 pagi tadi.

Pakatan Harapan Perak mohon perkenan menghadap sultan

PRU14 l Pengerusi Pakatan Harapan Perak Ahmad Faizal Azumu berkata Pakatan Harapan (HARAPAN) akan memohon menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini bagi mendapatkan sembah nasihat mengenai penubuhan kerajaan negeri selepas Pakatan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terbanyak di Perak.

Pakatan HARAPAN menerusi PKR memenangi 29 kerusi DUN, manakala Barisan Nasional (BN) 27 kerusi dan PAS tiga kerusi, dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Lokasi pertemuan itu akan dimaklumkan kemudian, katanya.

“Kita akan dapatkan perkenan Sultan Perak untuk menghadap, dan seterusnya mendapat sembah nasihat dan perkenan untuk menubuhkan kerajaan negeri,” katanya dalam sidang media khas di Ipoh awal pagi ini.

Ketika ditanya bagaimana HARAPAN akan membentuk kerajaan negeri sedangkan ia tidak mendapat majoriti mudah, Ahmad Faizal berkata :"Perkara itu belum difikirkan.

“Ini akan dimaklumkan apabila kami diterima menghadap Sultan Perak, kami akan maklumkan", katanya.

Ahmad Faizal juga mengharapkan peralihan kuasa daripada BN kepada HARAPAN akan dibuat secara berhemah dan segera bagi menjaga keharmonian Perak, jika HARAPAN berjaya membentuk kerajaan negeri.

Sementara itu, beliau berkata Pakatan Harapan berterima kasih kepada rakyat Perak kerana memberi mandat kepada pakatan itu pada PRU14, yang disifatkannya sebagai peristiwa yang sangat bererti.

“Usaha kami telah berjaya untuk mendapatkan mandat daripada rakyat dan menerima kami. Amanah ini perlu kami pikul sebaik mungkin,” katanya.
-Bernama