"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suhaili ‘bolot’ lima jawatan dalam MARA? – Akmal

Muhammad Azizul Osman

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendakwa urus tadbir kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui amalan ‘scheme of things’ semakin keterlaluan.

Ia semakin nyata apabila terdapat lambakan lantikan politik bagi mengisi jawatan tertentu dalam agensi dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dilihat berpotensi menjejaskan prestasi syarikat tersebut.

“Amalan tidak sihat yang berlaku dalam Mara Corporation Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat pelaburan milik Majlis Amanah Rakyat (MARA), sejak berlakunya episod ‘Langkah Sheraton’ pada tahun lepas amat membimbangkan.

“Kini keadaan semakin membarah apabila terdapat lantikan-lantikan yang bakal dibuat melibatkan institusi pengajian tinggi MARA,” dakwa Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Akmal mendakwa salah seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Datuk Suhaili Abdul Rahman telah dilantik memegang jawatan Ahli Lembaga Pengarah dalam kelima-lima syarikat berkaitan MARA.

“Selain daripada memegang lima jawatan Lembaga Pengarah bagi syarikat-syarikat tersebut, lebih membimbangkan lagi apabila terdapat laporan yang menyatakan  pimpinan Bersatu yang sama ini bakal dilantik sebagai ahli lembaga pengarah 3 lagi syarikat iaitu Kolej Polytech Mara Sdn Bhd (KPTM), Med Bumikar Mara Sdn Bhd (MBM) dan Universiti Teknikal Mara Sdn Bhd (UniKL),” dakwa Akmal lagi.

Malah, katanya, laporan media seperti Sinar Harian dan The Edge mendapati Suhaili memegang jawatan Ahli Lembaga Pengarah di Mara Corporation Sdn Bhd, Pelaburan Mara Berhad, PMB Tijari Berhad, Mara Incorporated Sdn Bhd dan Glocal Link (M) Sdn Bhd.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu mempersoalkan bagaimana kerajaan PN boleh membiarkan amalan itu terus berlaku ketika petugas barisan hadapan sedang bertungkus lumus berjuang menyelamatkan nyawa rakyat manakala rakyat biasa pula berdepan dengan kesengsaraan ekonomi.

“Berapakah pulangan atau elaun yang diterima oleh beliau serta apakah keputusan-keputusan penting terutamanya yang melibatkan pelaburan dana atau perbelanjaan yang telah dibuat sejak beliau menjadi ahli lembaga pengarah bagi setiap syarikat tersebut?

“Adakah YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Presiden PPBM tahu dan sedar mengenai perkara ini berlaku dikalangan pimpinan tertinggi PPBM memandangkan beliau juga merupakan YAB Perdana Menteri?, soal Akmal lagi.

Justeru itu, beliau menuntut penjelasan terbuka Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad tentang pelantikan lima jawatan itu kepada Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu.

Akmal turut mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memulakan siasatan terhadap perkara ini,” katanya lagi.

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membuat laporan polis menggesa agar pihak berkuasa itu terutamanya SPRM segera menyiasat terhadap tuduhan rasuah membabitkan pemimpin politik yang berleluasa.

Katanya, dakwaan itu amat serius susulan pendedahan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid tentang aktiviti jual-beli pemimpin politik untuk terus kekal berkuasa. – MalaysiaGazette

Suami tikam isteri lebih 5 kali kerana cemburu

Umavathi Ramayah

KAJANG : Seorang buruh menikam isterinya lebih daripada lima kali di rumah mereka di Sungai Ramal, di sini, kerana percaya wanita itu mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dalam kejadian jam 6.52 petang itu, mangsa yang berusia awal 40-an mengalami kecederaan parah di bahagian dada selain dagu serta kedua-dua tangan serta kaki.

"Berdasarkan siasatan awal, kita mendapati punca kejadian adalah akibat cemburu mangsa mempunyai hubungan dengan lelaki lain," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut kata Mohd Zaid, suspek berusia awal 40-an dipercayai melarikan diri sejurus kejadian dan polis sedang memburu lelaki itu.

Kedua-dua mereka ujarnya, adalah warga Indonesia.

Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan susulan.

Beliau memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu menghubungi pegawai penyiasat di talian 017-4333795 atau mana-mana balai polis berhampiran.

'PH, Umno dan Bersatu takkan sokong gandingan Hisham-Azmin'

Malaysiakini

Ketika gosip politik tersebar mendakwa wujud usaha mendapatkan sokongan dalam kalangan ahli parlimen bagi menaikkan gandingan Hishammuddin Hussein dengan Azmin Ali, DAP tampil dengan penegasan sendiri.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata di sebalik dakwaan tersebut hakikat yang tidak dijelaskankan ialah, idea tersebut tidak akan mendapat sokongan majoriti ahli parlimen.

Merujuk kepada laporan The Star pada 14 Jun, Lim berkata tidak ada mana-mana pihak boleh menerima gandingan tersebut.

"Baik Pakatan Harapan (PH) atau Umno mahupun Bersatu tidak akan menyokong pasukan Hishammuddin dan Azmin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini beberapa pihak termasuk PKR membayangkan wujud gerakan mengumpul sokongan dalam kalangan ahli parlimen untuk mengetengahkan kedua-dua pemimpin terbabit.

Menurut khabar angin itu apabila Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berundur dari jawatannya Hishammuddin - yang juga bekas naib presiden Umno - akan diangkat menjadi pengganti.

Azmin - bekas timbalan presiden PKR yang kini menjadi seorang daripada menteri kanan Muhyiddin - pula akan dipilih sebagai timbalan perdana menteri.

Kata Lim akhbar berkenaan memberi ruang kepada khabar angin yang tidak berasas namun yakin tiada tindakan yang akan dikenakan ke atas media berkenaan kerana ia dimiliki MCA.

Tiada permintaan maaf dibuat

Menurut bekas menteri kewangan itu lagi, Azmin dilihat sebagai penggerak utama Langkah Sheraton yang menggulingkan PH walaupun gabungan itu diberikan mandat oleh rakyat untuk menjadi kerajaan pada 2018.

Azmin juga kata Lim pada Ogos tahun lalu mendakwa lebih ramai rakyat Malaysia akan meninggal dunia kerana Covid-19 jika Perikatan Nasional tidak menjadi kerajaan.

"Azmin secara terang-terang telah berbohong. Pada 23 Ogos 2020 jumlah kematian kumulatif adalah 125 dengan 9,267 kes.

"Sehingga 14 Jun tahun ini jumlah kematian meningkat kepada 3,968 dengan jumlah kumulatif 662,457 kes.

"Sejak 23 Ogos 2020, seramai 3,843 lagi rakyat Malaysia meninggal dunia akibat ketidakcekapan dan salah urus pandemik Covid-19 oleh kerajaan PN.

"Sudah tentu tidak ada permintaan maaf atau penyesalan dari Azmin kerana membuat kenyataan yang tidak berasas seperti itu," katanya.

Satu lagi dakwaan dibuat akhbar tersebut, kata Lim, ialah dia kononnya mahu menjadi timbalan perdana menteri - bersama Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi - jika Pengerusi PH Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Semasa PH menjadi kerajaan dulu kata Lim dia tidak pernah mengejar jawatan berkenaan sebaliknya berbangga sebab diberi peluang menjadi menteri kewangan.

"Jelas ini adalah usaha terdesak untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada kegagalan PN menangani krisis Covid-19, ekonomi dan politik dengan melemparkan umpan politik kepada golongan rasis dan ekstremis agama dalam PN," katanya.