"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nasib Bersatu terikat pada masa depan Muhyiddin

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: Bersatu akan kehilangan kuasa jika presiden parti itu Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan selaku perdana menteri.

Beberapa penganalisis bersetuju mengenai perkara itu dan berkata, sokongan akar umbi parti tidak cukup kuat untuk diharapkan oleh Bersatu.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata, Bersatu terselamat selagi jawatan perdana menteri diisi oleh pemimpin daripada parti berkenaan dan tanpa kelebihan itu, mereka perlu melihat alternatif lain untuk kekal dalam politik arus perdana.

Beliau berkata, sesetengah bekas Ahli Parlimen Umno dan PKR yang kini bersama Bersatu mungkin mahu kembali kepada parti lama mereka sebelum ini, tetapi tidak semua daripada mereka akan diterima semula.

Penganalisis lain, Azmi Hassan berkata, Bersatu akan mengalami kerugian yang ketara jika Muhyiddin meletakkan jawatan meskipun kedudukan dalam Kabinet diberikan kepada parti lain dan Bersatu menjadi sebahagian daripada kerajaan baharu.

Katanya, beliau percaya langkah ke hadapan untuk negara adalah bagi Bersatu menerima perdana menteri baharu sama ada dari Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH).

“Kita pernah melalui tempoh sukar,” katanya merujuk kepada kekecohan di Dewan Rakyat selepas 21 Julai lalu yang menyaksikan Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan mengumumkan kerajaan sudah membuat keputusan untuk membatalkan Ordinan Darurat.

Istana Negara seterusnya berkata, kerajaan tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan tidak mematuhi titah Agong yang mahu ordinan itu dibentang dan dibahas.

Azmi berkata, PAS akan mengikut langkah Bersatu menerima perdana menteri baharu sama ada BN atau PH, menjadikan kerajaan baharu membentuk majoriti kukuh bagi mengurus negara dan menyelesaikan krisis ekonomi serta kesihatan.

“Ia satu-satunya jalan untuk menyembuhkan luka dan bergerak ke hadapan demi masa depan negara,” katanya kepada FMT.

Seorang lagi penganalisis, Kenneth Cheng berkata, sehingga kini masih tidak diketahui sama ada Muhyiddin akan meletakkan jawatan atau tidak.

Bercakap kepada FMT, beliau berkata, bagaimanapun jika ramai menteri yang ikut sama meletakkan jawatan, ia satu petanda jelas kerajaan tidak mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

“Bersatu telah bertahan dalam kerjasama politik dan tidak akan mempunyai kedudukan kanan dalam Jemaah Menteri lagi,” katanya.

Tambahnya, sokongan akar umbi Bersatu kekal lemah dan parti itu akan diketepikan dengan kehilangan jawatan perdana menteri dan menteri kanan.

Kehadiran Peguam Negara di rumah Mahiaddin malam tadi dipersoal

FAZLI RADZI

Kehadiran Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dalam perbincangan politik di kediaman Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin di Bukit Damansara malam tadi dipersoal.

Abang kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan itu difahamkan individu pertama tiba di rumah Mahiaddin jam 8.20 malam.

“Apabila semua ini selesai, kita perlu mengajukan soalan panjang dan sukar mengapa AG (Peguam Negara) turut serta dalam mesyuarat politik ini,” kata peguam Syahredzan Johan dalam ciapan Twitter hari ini.

Kenderaan yang membawa Idrus antara lebih 20 kenderaan yang pulang melepasi pondok pengawal rumah Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

Kemelut politik dan ketidakstabilan kerajaan pada masa ini berlaku ketika negara sedang dilanda pertambahan kes baharu positif Covid-19 dan kematian akibat pandemik itu yang semakin membimbangkan.

Setakat semalam, terdapat 203,664 kes aktif dengan jumlah kematian sebanyak 9,598 kes manakala seramai 1,066 pesakit dirawat di ICU termasuk 537 orang daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Dalam masa sama, program vaksinasi pula dilihat masih perlahan dengan hanya 44.3 peratus daripada populasi negara sudah mendapat dos pertama, manakala cuma 22 peratus telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 sehingga 2 Ogos lalu.

Pemimpin parti, menteri tinggalkan kediaman Muhyiddin tanpa sebarang komen

Faiz Zainudin

KUALA LUMPUR: Pemimpin parti dan menteri dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) meninggalkan kediaman Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, selepas detik tengah malam.

Kenderaan yang membawa pemimpin parti dan menteri mula keluar meninggalkan kediaman perdana menteri mulai jam 12.15 tengah malam.

Antaranya Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Mohamed Azmin Ali, Menteri Sumber Manusia M Saravanan, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong serta beberapa lagi pemimpin utama.

Bagaimanapun tiada sebarang komen diberikan kepada pihak media.

Terdahulu, Umno mengumum menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin.

Presidennya Ahmad Zahid Hamidi menggesa Muhyiddin meletak jawatan secara terhormat selepas keingkaran kerajaan pimpinan beliau terhadap titah Agong supaya Ordinan Darurat dibahas dan diungkaikan.

Selaras dengan keputusan Umno itu, Ahli Parlimen Lenggong Shamsul Anuar Nasarah meletak jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

Keputusan Umno itu, menurut Zahid, menyebabkan kerajaan pimpinan Muhyiddin hilang majoriti di Dewan Rakyat.