"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lokman dakwa MB Terengganu bercuti di New Zealand

Malaysiakini

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, didakwa sedang bercuti bersama keluarga di Auckland, New Zealand ketika banjir besar melanda negeri di bawah pentadbirannya.

Dakwaan itu dibuat bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Lokman Noor Adam dalam siaran langsung di media sosial malam tadi.

Menurut Lokman, Samsuri dan isterinya berlepas ke Auckland pada 11 Dis dan hanya dijangka pulang esok (22 Dis).

“Amat menyedihkan. Kami semak tadi (malam tadi) sama ada, ada pertukaran jadual penerbangan... 22 Dis nanti baru dia balik.

"Jadual penerbangan (untuk Samsuri) tidak ada perubahan.

"Maknanya, bulan madu dengan isteri dia itu lebih penting daripada (penderitaan rakyat) ... kamu faham-faham sajalah. Ini amat menyedihkan,” kata Lokman.

Dia juga mendakwa mempunyai maklumat terperinci berhubung percutian Samsuri di Aucland iaitu resit kereta sewanya.

Lokman turut membidas naib presiden PAS itu kerana memulakan kutipan derma bagi mangsa banjir melalui pejabatnya sebagai ADUN Rhu Rendang meskipun tidak hadir secara fizikal.

Semakan di halaman Facebook rasmi Samsuri juga menunjukkan bahawa hantaran tersebut dipenuhi dengan kemas kini berkaitan banjir di negeri terbabit, tetapi tiada satu pun daripadanya menunjukkan dia melawat mana-mana kawasan yang dilanda bencana.

Spekulasi mengenai keberadaan Ahmad Samsuri semakin kencang bertiup berikutan dia tidak kelihatan semasa Presiden PAS Abdul Hadi Awang melawat beberapa pusat pemindahan banjir di Terengganu semalam.

Bekas pensyarah universiti itu juga tidak kelihatan ketika Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi melawat mangsa banjir di negeri itu pada hari yang sama.

Malaysiakini telah cuba menghubungi Ahmad Samsuri untuk mendapatkan pengesahan mengenai perkara terbabit namun masih belum mendapat sebarang respon.

Setakat pagi ini, lebih 40,000 mangsa banjir ditempatkan di 297 pusat pemindahan banjir di seluruh negeri Terengganu.

Walaupun PM Anwar diperlekeh ramai pengundi Pantai Timur tapi Kerajaan Perpaduan tetap segerakan bantuan mangsa banjir

FAZLI RADZI

Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap menyegerakan bantuan kepada mangsa banjir di Pantai Timur meskipun diperlekeh ramai pengundi di sana.

Itu antara pendapat orang ramai susulan pengumuman Anwar mengenai bantuan tersebut semasa pembentangan Rang Undang Undang Kumpulan Wang Disatukan, Perbelanjaan Masuk Akaun 2022 di Dewan Rakyat semalam.

Malah, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) memberitahu akan melawat Pantai Timur hari ini untuk memantau situasi banjir.

Sehubungan itu, rata-ratanya berharap penduduk di Pantai Timur terutamanya pengundi yang melakukan tohmahan terhadap Anwar dan Kerajaan Perpaduan sebelum ini dapat bermuhasabah dalam menilai pemimpin yang berjiwa negarawan bukan semata-mata kuasawan.

“Walaupun ramai pengundi Pantai Timur kutuk, pertikai DSAI malah PH kalah di sana, tapi anda semua jadi keutamaan beliau untuk bantuan disegerakan.

“PM tak sebut Selangor, Pulau Pinang walaupun itu kubu PH sedangkan . Jadi, mulalah belajar muhasabah dan lihat siapa pemimpin Islam yang sebenar, yang sungguh-sungguh nak laksanakan pemerintahan bersih dan adil,” kata pengguna Facebook, Raimy Hany.

Hal sama juga disebut Engku Seri Kelantan dengan menghargai kepedulian Kerajaan Perpaduan terhadap rakyat di Pantai Timur.

“Terima kasih YAB Datuk Seri. Walaupun sebilangan besar rakyat Kelantan dan Terengganu tidak menyokong kerajaan perpaduan dan mengikut dakyah Pertikaian Nasional namun YAB DSAI tetap turun ke pantai timur sebagai tanggungjawab beliau sebagai seorang Perdana Menteri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan PM Anwar sebagai pemimpin yang tidak berdendam dan dapat diharapkan untuk membawa negara kembali bermaruah dan digeruni dalam bab ekonomi.

“Insya Allah semoga DSAI dapat laksanakan tanggungjawab ini biarpun bebanan hutang negara mencecah trilion pada 2023. Ia bukan sesuatu yang mudah jika tata kelolanya tidak disusun dengan rapi,” kata Engku Seri Kelantan lagi.

Tiada jalan pintas bagi Anwar kekal majoriti, kata ahli akademik

Danial Azhar

PETALING JAYA: Ahli akademik memberi ingatan kepada Anwar Ibrahim bahawa tiada jalan pintas bertujuan mengukuhkan kedudukannya sebagai perdana menteri.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM), berkata Anwar perlu melaksanakan dasar baik, peningkatan ekonomi dan memperkasa kebajikan rakyat untuk kekal menerajui pentadbirannya.

“Sekiranya kaji selidik secara konsisten menunjukkan kerajaan mendapat sokongan majoriti rakyat, Anwar berada pada kedudukan terbaik kekal sebagai perdana menteri sehingga 2027,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas sama ada keputusan undi percaya terhadap kepimpinan Anwar di Dewan Rakyat, pada Isnin, mampu mengukuhkan jawatan perdana menteri.

Blok pembangkang tidak meminta undi belah bahagi dan Anwar menang menerusi undi suara. Sebelum ini, Anwar berkata, beliau menerima sokongan 148 Ahli dari Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan parti kecil termasuk bebas.

Fauzi berkata, ancaman terbesar bagi kedudukan Anwar datang dari puak dalam Umno yang tidak menyokong presiden mereka, Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, puak berkenaan boleh mengembalikan pendirian “No Anwar, No DAP” sekiranya berjaya menempatkan diri dalam pemilihan parti akan datang dan menggantikan Zahid sebagai presiden.

Parti menerima pendirian itu sebelum PRU bagi membantah kerjasama dengan Anwar dan komponen Pakatan Harapan, DAP.

“Jika Umno secara seluruhnya menarik diri dari kerajaan, Anwar tidak mampu melakukan apa-apa,” katanya. “Penarikan sokongan Umno termasuk juga BN berkemungkinan besar turut diikuti GRS dan GPS.”

Dalam pada itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, bersetuju dengan ancaman terbesar terhadap perdana menteri datangnya dari Umno.

Azmi berkata, Anwar boleh mengukuhkan kedudukannya dengan menjadikan Umno kuat di bawah Zahid menjelang pemilihan parti, yang mana perlu diadakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat PRU.

Katanya, sekiranya kedudukan Zahid diperkukuh, beliau mampu kekal sebagai presiden Umno selepas pemilihan parti, sekali gus memastikan kesinambungan sokongan parti itu kepada kerajaan diterajui Anwar.