"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tegur saiz payudara: Gara-gara cakap tidak senonoh, pengurus mati kena tikam

Malaysiakini 

Seorang pengurus sebuah syarikat swasta maut ditikam seorang lelaki akibat mengeluarkan perkataan tidak senonoh, dalam kejadian di sebuah gerai makan di tepi Jalan Kenanga di Melaka semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, mangsa yang merupakan lelaki berumur 35 tahun tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan tetapi disahkan telah meninggal dunia.

"Siasatan awal mendapati sebelum kejadian berlaku, mangsa bersama beberapa rakannya yang mabuk setelah berhibur datang ke gerai berkenaan untuk makan dan minum namun selesai mereka makan, berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dengan dua lagi lelaki.

"Sebelum pertengkaran itu, mangsa bercakap dengan rakan-rakannya tentang saiz payudara seorang pelanggan wanita berusia 26 tahun sebelum ditegur dua lelaki masing-masing merupakan pengawal peribadi wanita itu dan seorang lagi ialah teman lelakinya," katanya dalam satu kenyataan di Melaka hari ini.

Beliau berkata kejadian berkenaan bertukar tegang apabila berlaku insiden tolak-menolak dan tumbuk-menumbuk antara mangsa, pengawal peribadi dan teman lelaki wanita itu.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam yang memaklumkan pergaduhan itu kira-kira 4.15 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mangsa tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke hospital oleh rakannya mengunakan pacuan empat roda.

Christopher berkata hasil bedah siasat mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia disebabkan luka tikaman ke jantung dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau berkata ekoran kejadian itu, polis menahan tujuh suspek berumur 25 hingga 38 tahun termasuk pengawal peribadi dan pasangan kekasih itu untuk membantu siasatan lanjut.

Katanya, pihaknya turut merampas pisau dan batang besi dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu.

- Bernama

--------
FMT Reporters

PETALING JAYA: Sembilan individu dipercayai terbabit kes tikam pengurus syarikat hingga mati di sebuah gerai makan di Tengkera, Melaka, semalam direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Menurut Sinar Harian, perintah reman itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman terhadap suspek berusia 20 hingga 38 tahun hingga Selasa ini.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, semua suspek berpakaian lokap dibawa ke Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh, pada 9 pagi.

Media sebelum ini melaporkan, gara-gara pertengkaran mulut kerana menegur saiz payudara seorang wanita, dipercayai punca seorang pengurus syarikat maut ditikam di sebuah gerai makan di Taman Kenanga, Tengkera, awal pagi semalam.

Ketua Polis Melaka Tengah, Christopher Patit, berkata dalam kejadian 4 pagi itu, mangsa berusia 35 tahun datang ke gerai makan tersebut bersama rakan-rakannya dalam keadaan mabuk kira-kira 2 pagi.

Menurutnya, selesai makan, mangsa kemudian bercakap dengan rakan-rakannya yang menegur saiz payudara seorang wanita yang juga pelanggan di gerai itu.

Katanya, perbualan mangsa dengan rakannya itu didengari pengawal peribadi kepada wanita berusia 26 tahun itu, lalu menegur mangsa dan memberitahu bahawa wanita terbabit

Rogol 2 anak bawah umur, bapa dipenjara 36 tahun

V Anbalagan

PUTRAJAYA: Seorang bekas pengendali kren akan menjalani hukuman penjara 36 tahun dan 20 sebatan, selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan terhadap hukumannya atas kesalahan merogol dua anak perempuan bawah umur.

Mahkamah Sesyen sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 12 sebatan terhadap lelaki berusia 42 tahun itu kerana merogol anak perempuannya berusia 15 tahun pada pertengahan 2017.

Mahkamah sama turut menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 12 lagi sebatan terhadapnya kerana merogol anak perempuannya berusia 13 tahun pada awal Januari 2020.

Tertuduh mengaku bersalah ketika didakwa pada 12 Mei 2020.

Tetapi, hakim perbicaraan mengarahkan hukuman penjara itu dilaksanakan berturut-turut, yang bermakna dia perlu menjalani hukuman penjara 40 tahun dan 24 sebatan.

Mahkamah Tinggi turut menolak rayuannya terhadap hukuman itu.

Hari ini, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Kamaludin Said mengurangkan hukuman penjara daripada 20 tahun kepada 18 tahun dan 12 sebatan kepada 10 sebatan bagi setiap hukuman.

Kamaludin, yang bersidang bersama Hakim Azman Abdullah dan Lim Chong Fong, mengarahkan hukuman penjara itu dilaksanakan berturut-turut, bermakna tertuduh akan menjalani hukuman penjara 36 tahun dan 20 sebatan.

Terdahulu, peguam Ameerul Aizat Noor Haslan berhujah, 40 tahun keterlaluan dan tertuduh mungkin dibebaskan pada usia 80 tahun.

Tetapi, Azman memberitahu peguam, anak guamnya hanya perlu dipenjarakan 27 tahun kerana hukumannya akan diringankan satu pertiga, jika berkelakuan baik.

Ameerul turut meminta 24 sebatan, maksimum sebatan yang dibenarkan bawah undang-undang, dikurangkan.

“Saya tidak meminta hukuman berjalan serentak kerana kesalahan sama dilakukan terhadap dua mangsa dalam kejadian berbeza.”

Timbalan Pendakwa Raya, Fauziah Daud ketika meminta mahkamah mengekalkan hukuman itu berkata, terdapat dua kesalahan berbeza kerana jenayah itu berlaku pada 2017 dan 2020.

Fakta kes mendedahkan bapa lima anak itu merogol dua anaknya di rumah mereka di Segamat Baru, Segamat, Johor.

Dia ditahan pada 5 Mei 2020 selepas laporan dibuat ibu saudara gadis itu.

Lelaki ditahan berkelakuan jelik di tempat ambil wuduk di BSI

BERNAMA

Johor Bahru: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki berkelakuan jelik di tempat mengambil wuduk di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, hari ini.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata lelaki berusia 69 tahun itu ditahan sejurus kejadian selepas mendapat laporan pada pukul 4.36 petang tadi.

"Hasil siasatan mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai rekod lampau dan saringan air kencing negatif," kata beliau dalam satu kenyataan, malam ini.

Kamarul Zaman berkata permohonan reman akan dibuat esok di Mahkamah Johor Bahru dan kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, kata beliau.

Justeru, beliau berkata orang ramai dinasihati agar tidak melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan suasana yang tidak baik dan mengganggu-gugat ketenteraman awam.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 10 saat menunjukkan seorang lelaki berdiri di tempat mengambil wuduk, dipercayai sedang membuang air kecil sebelum ditegur seorang lelaki lain mengenai perbuatannya itu.