"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siti Bainun kekal bersalah, dipenjara 12 tahun

Faiz Zainudin

Hakim Noorin Badaruddin mengekalkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun Ahd Razali kerana mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella.

Siti Bainun Ahd Razali sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun terhadap pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali kerana mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella.

Hakim Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Siti Bainun, 32, selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen tahun lalu.

Pada 3 Mei 2023, Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi Izraliza menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun selepas mendapati dia bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella.

Beliau memerintahkan Siti Bainun menjalani hukuman penjara itu serta-merta selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman.

Mahkamah Tinggi pada 23 Mei 2023 menolak permohonan Siti Bainun agar pelaksanaan hukuman penjara terhadapnya ditangguhkan selepas mendapati tiada keadaan khas atau luar biasa untuk berbuat demikian.

Mengikut pertuduhan, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Papagomo mengaku tidak bersalah hasut benci Agong

Haspaizi Zain

Blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menghasut yang mendatangkan kebencian kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Bekas exco Pemuda Umno membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membuat penerbitan menghasut berkaitan isu pemilik KK Supermart & Superstore Sdn Bhd yang mengadap Sultan Ibrahim di laman Twitter atau X miliknya, di Bukit Bintang, di Kuala Lumpur pada 12 tengah hari, 29 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Azreem Mamat manakala tertuduh diwakili peguam Rafique Rashid Ali.

Terlebih dulu, Papagomo yang bergari dan memakai baju biru serta berseluar hitam tiba di Kompleks Mahkamah sekitar jam 8.55 minit pagi.

Dia dikawal ketat polis sebelum dibawa masuk ke lobi mahkamah.

Kelmarin, pihak polis memberkas Papagomo berdasarkan laporan yang dibuat terhadap video yang disiarkan di media sosial apabila dia mempertikai pertemuan Yang di-Pertuan Agong dengan pengasas KK Mart, Chai Kee Chan, pada kemuncak kontroversi mengenai stoking dicetak dengan kalimah Allah.

Dalam video sama, Papagomo juga mendakwa Agong mengarahkan ahli jawatankuasa Penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, didakwa mengikut Akta Hasutan.

Chegubard sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menghasut dan mengeluarkan kata-kata fitnah terhadap Yang di-Pertuan Agong - dua kes pertama di Kuala Lumpur berkaitan kontroversi KK Mart manakala pertuduhan ketiga berkaitan projek kasino di Forest City.

Sekat penggunaan telefon pintar untuk budak bawah 13 tahun

KOSMO

PARIS – Satu laporan dikeluarkan sekumpulan pakar di Perancis mendapati, kanak-kanak tidak seharusnya dibenarkan menggunakan telefon pintar sehingga mereka berumur 13 tahun, lapor akhbar The Guardian kelmarin. 

Menurut laporan tersebut, kanak-kanak perlu disekat daripada mengakses platform-platform media sosial seperti TikTok, Instagram dan Snapchat sehingga mereka berumur 18 tahun.

Jelasnya, golongan tersebut perlu dilindungi daripada industri teknologi berasaskan keuntungan yang menggunakan strategi ‘menawan dan mengawal hati’ mereka.

“Kanak-kanak menjadi ‘barang dagangan’ dalam pasaran teknologi baharu itu. Kami mahu mereka (pemain industri) tahu bahawa kami sedang memantau perbuatan mereka,” kata laporan tersebut.

Laporan itu dikeluarkan selepas menerima arahan daripada Presiden Perancis, Emmanuel Macron, yang meminta pakar-pakar mencadangkan garis panduan berhubung penggunaan media sosial untuk kanak-kanak.

Ia bertujuan supaya Perancis dapat mengambil langkah yang belum pernah berlaku sebelum ini untuk mengehadkan pendedahan kanak-kanak terhadap peranti serta media sosial.

Macron berkata pada Januari lalu: “Mungkin ada larangan (penggunaan media sosial). Mungkin ada sekatan.”

Sementara itu, menurut ketua kajian tersebut, Servane Mouton, kanak-kanak berumur bawah umur tiga tahun sepatutnya tidak didedahkan kepada skrin termasuk televisyen, manakala mereka tidak seharusnya mempunyai telefon pintar sebelum berumur 11 tahun.

“Mana-mana telefon yang diberikan kepada kanak-kanak berumur antara 11 hingga 13 tahun seharusnya tidak mempunyai akses kepada internet,” katanya.

Justeru, pakar-pakar menetapkan umur minimum yang boleh dibenarkan untuk menggunakan telefon pintar lengkap dengan sambungan internet adalah 13 tahun.