"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dikatakan ini puncanya Melayu dah tak nak undi PN di Mahkota

SITI NUR ZAWANI

Penyusutan jumlah undi yang diraih Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota cukup menggambarkan parti itu tidak lagi mendapat kepercayaan orang Melayu.

Ketua Kawasan AMANAH Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata, ia sekaligus menunjukkan PN tidak lagi relevan di Johor dan orang Melayu tidak termakan dengan doktrin dicanang oleh PN.

“PN memang tidak berjaya tembus Johor dan ini dapat dibuktikan dengan siri PRK yang berlaku di negeri ini.

“Selain itu juga PRK Mahkota telah membuktikan bahawa PN terus hilang sokongan yang selama ini menjadi harapan mereka iaitu undi Melayu pertengahan yang lebih menyakinkan Kerajaan Madani hari ini.

“Sebelum PRK Mahkota, dapat disaksikan bagaimana siri PRK yang berlaku di Nenggiri, Kelantan yang jelas menunjukkan sokongan PN termasuklah Pas tidak berjaya mendapat sokongan melayu,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Mohd Zuhan percaya terdapat faktor kuat yang menyebabkan keyakinan pengundi terhadap kerajaan hari ini terus meningkat.

“Terdapat beberapa faktor yang menyakinkan pengundi antaranya adalah pengukuhan ringgit di peringkat antarabangsa serta kawalan harga barang yang tidak membebankan rakyat.

“Selain itu kelemahan PN dalam membawa naratif perkauman tidak lagi menjadi peluru yang ampuh bagi mendatangkan kepercayaan kepada pengundi di negara ini,” ujarnya.

Kedah: Lelaki ditemukan lemas kereta terjunam ke dalam sungai

FMT Reporters

Muhammad Noor Fadzil Mustapha, 25, meninggal dunia di lokasi dan mayatnya berjaya dikeluarkan dari sungai.
Menurut saksi, mangsa cuba menyelamatkan diri namun gagal sebelum ditemui lemas.
PETALING JAYA: Seorang lelaki ditemukan lemas selepas kereta dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai, Telaga Mas, Alor Setar, hari ini.

Muhammad Noor Fadzil Mustapha, 25, meninggal dunia di lokasi dengan mayat dikeluarkan dari Sungai Santap dengan bantuan pasukan bomba.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Abd Fataf Hamdan, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 10.25 pagi.

Katanya, sepasukan bomba dihantar ke lokasi dan operasi turut disertai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dan Jitra.

“Pada mulanya kami menerima maklumat terdapat dua mangsa dalam kereta namun selepas melakukan pemeriksaan hanya seorang mangsa terlibat.

“Sungai ini baru dilebarkan dan didalamkan sedalam lima meter, tetapi mangsa terjatuh di tebing sungai

Mangsa berjaya dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), katanya, menurut Harian Metro.

Dalam operasi itu, Proton Wira milik mangsa turut dikeluarkan dengan bantuan trak tunda.

Sementara itu, penduduk kampung, Mohd Subhi Mohd Shukor, 30, berkata, pada mulanya kereta mangsa dilaporkan terbabas di sebelah kiri sebelum terjunam ke sungai terbabit.

Katanya, kereta itu tenggelam perlahan-lahan dan mangsa cuba menyelamatkan diri namun gagal sebelum ditemukan lemas.

Ketika itu, abang ipar mangsa mengekori kereta dipandunya malah menyaksikan kejadian berkenaan, katanya.

Muhyiddin tak dapat passport: Gagal sambut ulang tahun kahwin di Uzbekistan

Malaysiakini 

Bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini gagal mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara untuk bercuti dan menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke-52 bersama isteri di Uzbekistan.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi menolak permohonan Muhyiddin selepas mendapati alasan yang dikemukakan pemohon adalah tidak munasabah.

"Pemohon masih mempunyai peluang untuk bercuti dan meraikan apa-apa sambutan, tetapi bukan di luar negara.

"Mahkamah mendapati permohonan pemohon tidak wajar dibenarkan kerana beliau masih boleh menjalani kehidupan atau melaksanakan tanggungjawanya seperti biasa," kata hakim itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Noralis Mat berkata pihak pendakwaan membantah permohonan Muhyiddin dan menyifatkan alasan dikemukakan ahli parlimen Pagoh untuk bercuti ke luar negara dan menyambut ulang tahun perkahwinan ke-52 adalah remeh.

“Tertuduh (Muhyiddin) perlu mempunyai alasan munasabah, mendesak dan kritikal. Alasan untuk bercuti ke luar negara kerana tertekan dengan pertuduhan di mahkamah terutama pertuduhan di bawah Akta Hasutan adalah sangat remeh.

"Sambutan ulang tahun perkahwinan dan percutian boleh diadakan di Malaysia. Selain itu, mahkamah juga perlu pertimbangkan keseriusan pertuduhan dihadapi pemohon serta risiko 'flight risk' (larikan diri),” kata Noralis yang turut mengendalikan kes bersama TPR Zander Lim Wai Keong.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Muhyiddin memohon pelepasan sementara pasport berikutan anak guamnya akan bertolak ke Uzbekistan esok (4 Okt) dan akan kembali ke Malaysia pada 12 Okt ini.

“Anak guam saya tidak mempunyai risiko 'flight risk' memandangkan beliau merupakan presiden Bersatu serta perlu menghadiri sidang Parlimen yang dijadual berlangsung dari 14 Okt hingga 12 Dis ini.

“Anak guam saya akan memulangkan pasport beliau kepada mahkamah ini pada 14 Okt,” kata peguam.

Dalam permohonan pelepasan pasport, dinyatakan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isterinya ingin melakukan perjalanan singkat ke Uzbekistan sebagai bentuk rehat daripada pelbagai cabaran yang dihadapinya sejak kebelakangan ini, termasuk pertuduhan di bawah Akta Hasutan di Mahkamah Gua Musang, Kelantan.

Selain itu, beliau juga mempunyai komitmen dalam beberapa Pilihan Raya Negeri yang telah berlangsung, serta ingin meluangkan masa bersama isterinya sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-52 pada 22 Sept lalu.

Pada 11 Sept, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Muhyiddin bagi menyemak keputusan mahkamah itu sebelum ini, yang mengembalikan empat pertuduhan salah guna kuasa membabitkan RM232.5 juta terhadapnya.

Muhyiddin, 77, sebagai perdana menteri (ketika itu) dan presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, bagi parti berkenaan.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Presiden Bersatu itu juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di Kuala Lumpur antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.

Muhyiddin juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lepas tahun lepas atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

- Bernama