"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis kejar kenderaan 4WD dari Muar-KL, enam lelaki berjaya ditahan

FMT Reporters

Enam lelaki menaiki kenderaan itu ditahan di kawasan Damansara selepas dikejar sejauh 180km.
PETALING JAYA: Polis sedang menyiasat motif enam lelaki tempatan menaiki kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dikejar sejauh 180km kerana enggan memberhentikan kenderaan.

Ketua Polis Johor M Kumar, berkata semua mereka berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun itu ditahan di kawasan Damansara dekat Kuala Lumpur, kira-kira 7 pagi tadi.

Katanya, kereta peronda polis (MPV) mengejar 4WD itu sejauh 180km bermula dari Jalan Bakri hingga Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

“Dalam insiden tersebut, 4WD jenis Toyota Hilux yang telah melanggar lampu isyarat merah tidak mengendahkan arahan MPV untuk memberhentikan kenderaan.

“Dalam insiden mengejar itu, kenderaan suspek telah keluar ke tol Jasin dengan merempuh palang tol tersebut dan terus berlangsung sehingga suspek keluar di tol Sungai Besi. Setibanya di Jalan Chan Sow Lin, suspek telah merempuh dan melepasi penghadang jalan di Chan Sow Lin, Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian menurut Bernama pada sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Johor di IPK Johor, Johor Bahru.

Penyerahan tugas tersebut dilakukan daripada Afandi Senin kepada Pemangku Timbalan Ketua Polis Johor, Nor Azizi Maarof.

Kumar ketika mengulas lanjut, berkata pihaknya masih menyiasat motif mereka melarikan diri.

“Kita juga masih menyiasat sama ada semua suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah,” katanya.

Lapan maut kemalangan di Lebuhraya Pan Borneo

Astro Awani
Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas dan semua mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. - Gambar/ JBPM Sarawak
SARIKEI: Lapan maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan pacuan empat roda di Lebuhraya Pan Borneo di sini, pada Khamis.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata, kesemua mangsa yang maut tersebut merupakan lelaki yang menaiki Perodua Alza.

"Bomba menerima panggilan kecemasan sekitar jam 3.40 petang. Sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota kemudian dihantar ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei.

"Sebaik tiba, dua daripada mangsa didapati tercampak keluar dari kereta, manakala enam yang lain tersepit teruk," katanya di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas dan semua mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, identiti kesemua mangsa dan punca kemalangan belum dikenal pasti.

2 ‘tekong’ Kemboja dicekup cuba seludup 20 warga Myanmar

Bernama

ALOR SETAR: Dua lelaki Kemboja ditahan ketika cuba menyeludup 20 warga Myanmar dengan menggunakan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) di tepi Jalan Hosba, Changlun dekat Kubang Pasu, semalam.

Ketua Polis Kubang Pasu Mohd Redzuan Salleh, berkata sepasukan pegawai dan anggota Balai Bukit Kayu Hitam bersama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kubang Pasu yang membuat rondaan di Sintok telah terserempak dengan dua MPV itu dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut telah menemui 12 lelaki dan lapan wanita warga Myanmar yang berusia antara 20 hingga 40 tahun di dalam kedua-dua MPV yang dipandu dua lelaki warga Kemboja yang dipercayai bertindak sebagai tekong.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua warga Myanmar itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan.

Redzuan berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua tekong itu telah menerima upah daripada seorang lelaki warga Myanmar lain dengan bayaran RM1,000, membawa semua warga asing itu dari sempadan Bukit Kayu Hitam ke Kuala Nerang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.

“Polis sentiasa peka dalam usaha membanteras jenayah melibatkan aktiviti pemerdagangan manusia terutamanya di sempadan Malaysia-Thailand. Masyarakat boleh memberi maklumat dengan menyalurkan ke talian MERS 999 atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.