"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga emas usia 69 tahun mengaku tak salah merogol

Bernama

Tertuduh dibenar ikat jamin RM12,000 dengan sebutan semula kes pada 23 Jan depan. (AFP pic)
KUALA TERENGGANU: Warga emas berusia 69 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan merogol wanita berusia 19 tahun, dua bulan lalu.

Razali Mamat, 69, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Hulu Lerek, Hulu Terengganu, kira-kira 9.30 pagi, 28 Okt.

Lelaki itu yang tidak bekerja dan kini ditanggung oleh anaknya itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Noradila Ab Latif tidak menawarkan sebarang jaminan selain memohon mahkamah mengenakan syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Namun, peguam Mohd Shahir Mat Jusoh yang mewakili warga emas itu memohon agar jaminan rendah dibenarkan kepada anak guamnya atas faktor kewangan tertuduh.

Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin selain membenarkan syarat tambahan dikemukakan Noradila.

Beliau turut mengarahkan Razali melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan serta menetapkan 23 Jan depan untuk sebutan semula kes.

Nahas pesawat Korea Selatan: Semua maut kecuali dua mangsa

Malaysiakini 
SEBUAH pesawat penumpang terhempas di lapangan terbang Muan. - Foto Yonhap

Sebuah pesawat yang membawa 181 orang terbakar selepas tergelincir dari landasan dan merempuh tembok pagar di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, di barat daya Korea Selatan.

Pihak berkuasa mengesahkan bahawa kesemua mangsa dipercayai maut kecuali dua orang, lapor Agensi Berita Yonhap.

Kejadian berlaku sekitar 9.07 pagi ketika pesawat Jeju Air cuba melakukan pendaratan cemas, namun gagal hingga merempuh tembok pagar di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, yang terletak kira-kira 288 kilometer di barat daya Seoul.

Menurut pihak berkuasa, operasi kini beralih kepada usaha untuk mengeluarkan mayat-mayat mangsa, setelah 85 kematian disahkan setakat ini.

Seorang penumpang dan seorang kru, kedua-duanya wanita berjaya diselamatkan dan kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Mokpo.

Pesawat yang dalam perjalanan dari Bangkok itu membawa 181 orang, termasuk enam kru, dengan kebanyakan penumpang adalah warga Korea, kecuali dua warganegara Thailand.

Rakaman video yang disiarkan oleh stesen TV tempatan menunjukkan pesawat berkenaan cuba mendarat tanpa gear pendaratan yang digunakan.

Pesawat itu tergelincir di atas tanah, merempuh tembok konkrit sebelum meletup dan dijilat api.

Pesawat malang itu hampir musnah akibat letupan yang berlaku.

Pihak berkuasa Wilayah Jeolla Selatan telah menaikkan tahap kecemasan ke tahap tertinggi dan mengerahkan semua anggota penyelamat serta polis bagi membantu operasi di lokasi kejadian.

Pihak berkuasa percaya bahawa kerosakan gear pendaratan, yang mungkin disebabkan oleh perlanggaran burung menjadi punca utama kemalangan.

Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk menentukan punca sebenar kejadian.

Pemangku Presiden, Choi Sang-mok tiba di lokasi nahas sekitar tengah hari dan mengarahkan pegawai untuk berusaha sepenuhnya dalam operasi pencarian dan penyelamatan.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan menjanjikan bantuan kerajaan kepada mereka.

Pejabat Presiden memaklumkan bahawa satu mesyuarat kecemasan pegawai kanan akan diadakan pada 11.30 pagi bagi membincangkan tindakan lanjut kerajaan terhadap nahas pesawat ini.

Mesyuarat akan dipengerusikan oleh Ketua Staf Presiden, Chung Jin-suk.

Ketua Agensi Polis Negara yang bertindak, Lee Ho-young juga mengarahkan pegawai untuk menggerakkan semua sumber yang ada dan bekerjasama dengan pasukan bomba serta agensi berkaitan dalam usaha penyelamatan.

-Bernama-Yonhap

Ajaran sesat?: Tular video jemaah serba putih ‘berzikir’ depan kubur


SITI NUR ZAWANI

Orang ramai meluahkan rasa bimbang selepas tular rakaman memaparkan sekumpulan jemaah ‘berzikir’ di sebuah tanah perkuburan yang terletak di Danau Kota, Kuala Lumpur.

Perbuatan kumpulan jemaah itu menimbulkan rasa sangsi ramai apabila ia terlihat agak mencurigakan dengan ‘zikir’ yang tidak dapat dipastikan.

Video itu mula dimuat naik seorang pengguna Facebook bernama Rizuwan Rosly yang sempat merakam perbuatan mencurigakan sekumpulan jemaah berbaju putih yang sedang berzikir di depan sebuah kubur.

Dia meluahkan kebimbangannya selepas menyedari kumpulan itu tidak berzikir, sebaliknya menyebut ucapan yang tidak biasa didengar.

“Aku ingatkan zikir. Tapi lama-lama dengar macam memujalah pula. Ini kubur dekat Danau Kota,” kongsinya di Facebook.

Hantaran itu mengundang banyak perdebatan di Facebook yang menjelaskan bahawa kumpulan itu sememangnya sedang berzikir dengan zikir Asma’.

Ramai menasihatkan agar tidak menuduh secara melulu, namun kesalahfahaman seperti ini boleh berlaku kerana ia tidak biasa bagi orang awam.

Tetapi ramai juga menegaskan perbuatan itu sebagai tidak patut berlaku kerana menimbulkan fitnah dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Sehingga kini belum ada penjelasan lanjut dari pihak berkuasa berhubung perkara tular itu tetapi pengguna berkenaan telah memadam hantaran tersebut.