"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tren monorel terkandas seorang penumpang pengsan

Muhaamad Hafis Nawawi
Seramai 373 penumpang tren monorel yang terkandas di laluan Medan Tuanku berhampiran Maju Junction di sini, pagi tadi selamat dipindahkan pihak pengurusan Rapid Rail Sdn Bhd. – Foto hiasan NSTP
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan tren di laluan monorel kembali beroperasi sepenuhnya pagi tadi selepas kerja baik pulih berjaya dilaksanakan.

Rapid Rail Sdn Bhd menerusi kenyataan memaklumkan, kejadian yang dilaporkan pada jam 8.50 pagi tadi membabitkan tren bernombor 25 mengalami gangguan bekalan kuasa dan berhenti di antara Stesen Medan Tuanku dan Stesen Titiwangsa.

Menurutnya, seorang penumpang turut pengsan di dalam tren terbabit.

“Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut berada di lokasi bagi membantu mengeluarkan mangsa.

“Pasukan perubatan turut berada di lokasi bagi memberikan rawatan awal sebelum mangsa dibawa pulang oleh ahli keluarga,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Tambah kenyataan itu, semua penumpang lain dibawa ke Stesen Medan Tuanku untuk meneruskan perjalanan masing-masing.

“Pasukan kejuruteraan Rapid Rail bertindak segera dengan menunda tren terbabit ke depoh bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.

“Perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara percuma ulang alik telah ditamatkan dan kekerapan tren diselaraskan secara berperingkat,” jelas kenyataan itu.

Rapid Rail memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan amat menghargai kesabaran serta kerjasama daripada semua pengguna.

Kelindan lori dipenjara 5 tahun amang seksual anak saudara di kebun pisang

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang kelindan lori dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Seremban selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya di kebun pisang tahun lalu
Sinar Harian melaporkan tertuduh berusia 47 tahun membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Surita Budin yang turut mengarahkannya menjalani kaunseling dan pengawasan polis selama setahun selepas selesai hukuman.

Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun empat bulan dengan memeluk mangsa dan menunjukkan kemaluan kepadanya di kawasan kebun pisang Kampung Stesen 3 di Nilai kira-kira 12.30 tengah hari pada Mei 2024.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.

Tertuduh juga didakwa di bawah Seksyen 15(a)(i) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman minimum dan berjanji tidak akan mengulanginya, selain memberi alasan bekerja sebagai kelindan lori, sudah berkahwin dan menanggung lima anak.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi memohon hukuman setimpal mengambil kira mangsa masih muda dan tertuduh selaku bapa saudaranya patut melindungi mangsa, selain mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam berbanding peribadi.

Kelantan: Pasangan kekasih terlibat 21 kes pecah cermin kereta ditahan

Bernama

KOTA BHARU: Kegiatan licik pasangan kekasih selama setahun mencuri dengan memecahkan cermin kereta di parkir awam, akhirnya tumbang apabila kedua-duanya ditahan polis, Sabtu lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata pasangan berusia 36 dan 47 tahun itu disyaki terlibat dalam 21 kes pecah cermin kereta melibatkan kerugian lebih RM100,000.

Beliau berkata mereka ditahan di hadapan sebuah kedai serbaneka di Jalan Sri Cemerlang, susulan kejadian pecah cermin pada 6.10 petang hari yang sama di parkir Pasaraya Eco, Jalan Wakaf Mek Zainab.

Penahanan itu katanya membawa kepada rampasan sebuah telefon bimbit, sebuah peranti elektronik, sebuah komputer riba, tujuh beg pelbagai jenis, tiga kad bank, lima kad peribadi, sebuah kereta Perodua Bezza, kotak skru, spanar serta sebentuk cincin.

"Siasatan mendapati mereka aktif sejak setahun lalu dan lelaki itu turut mengaku melatih beberapa pelatih baharu. Modus operandi mereka ialah menyasarkan parkir premis tanpa kamera litar tertutup bagi mengelak dikesan," katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.

Menurutnya, semakan rekod mendapati suspek lelaki mempunyai tiga rekod jenayah narkotik dan satu rekod jenayah manakala pasangannya tidak mempunyai rekod lampau.

Pasangan itu yang turut didapati positif metamfetamina direman empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata seorang anggota polis berusia 43 tahun ditahan selepas disyaki melakukan samun dengan mengacukan pistol tiruan terhadap seorang pekerja wanita di sebuah kedai di Kota Bharu pada 10 Nov lepas.

"Suspek ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Pengkalan Chepa semalam. Polis merampas dua motosikal, sepucuk pistol tiruan, 12 pil kemerahan disyaki dadah, tiga topi keledar, satu rantai jam tangan putih, dua beg sandang, sepasang kasut, sepasang selipar, sepasang sarung tangan dan dua topeng muka. Suspek juga positif dadah," katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek turut melakukan empat lagi kes samun di sekitar bandar ini menggunakan modus operandi sama iaitu mengacukan senjata tiruan untuk menakutkan mangsa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (samun), Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

-- BERNAMA