"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perdaya warga asing bayar RM700 untuk rawatan, sukarelawan wanita berusia 27 tahun ditahan

MOHD SHARKAWI LONDING

JOHOR BAHRU – Seorang sukarelawan yang ditugaskan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini ditahan polis selepas dipercayai meminta bayaran RM700 daripada seorang pesakit warga asing bagi urusan mendapatkan rawatan.

Wanita tempatan berusia 27 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7 malam semalam di kawasan hospital berkenaan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh pihak hospital.
“Wanita itu kini direman selama empat hari bermula hari ini hingga Sabtu bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurut beliau, suspek dipercayai mengambil kesempatan terhadap seorang buruh kasar warga asing dengan mengenakan bayaran RM700.

Beliau turut menafikan suspek merupakan sebahagian daripada kumpulan sukarelawan Southern Volunteer yang ditempatkan di hospital itu sejak tahun lalu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan secara tidak jujur mendorong penyerahan harta.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai seorang wanita menyamar sebagai petugas hospital dan meminta bayaran RM30 daripada waris pesakit sebagai caj kemasukan wad.

Bagaimanapun, pihak pengurusan hospital menegaskan individu tersebut bukan petugas hospital dan orang awam dinasihatkan hanya membuat bayaran di kaunter rasmi serta mendapatkan resit. – KOSMO! ONLINE

Imam rebah semasa pimpin solat subuh

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan jemaah lelaki melihat keadaan imam yang terbaring di atas sejadah. - Instagram
JAKARTA – Seorang imam di Depok, wilayah Jawa Barat meninggal dunia ketika sedang memimpin solat subuh di sebuah masjid, lapor portal berita Okezone.

Kejadian berlaku di Masjid Baitur Rahman kelmarin.

Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dikongsi di platform Instagram oleh akaun @depok24jam menunjukkan imam itu tiba-tiba rebah semasa duduk antara dua sujud bagi rakaat kedua.

Jemaah segera memberikan bantuan dan membawanya ke klinik berhampiran, namun dia disahkan meninggal dunia.

Rakaman itu mencatatkan lebih 286,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi pengguna media sosial.

“Kematian yang dicemburui oleh umat Islam,” kata seorang netizen.

“Impian orang beriman,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI

Jual anak lelaki berusia enam tahun RM99,000

KOSMO
Suspek menerima wang sebanyak RM99,000 dengan menjual anak lelakinya yang berumur enam tahun. - East2West
KYIV – Seorang wanita ditahan selepas cuba menjual anaknya yang berusia enam tahun pada harga kepada AS$25,000 (RM99,000) kepada seorang lelaki di sebuah restoran piza di Ukraine, lapor akhbar The Sun UK. 

Rakaman video kejadian menunjukkan beberapa anggota polis menyerbu masuk ke dalam restoran sebelum memberkas suspek yang sedang duduk di hadapan pembeli anak lelakinya. 

Jurucakap polis tempatan berkata, suspek diberkas serta-merta ketika dia cuba meninggalkan kanak-kanak itu kepada pembeli. 

“Ibu kepada tiga anak itu berada dalam tahanan dan didakwa di bawah undang-undang pemerdagangan manusia, manakala mangsa berada di bawah jagaan negeri.

“Ini bukan hanya berkaitan dengan jenayah. Ia mengenai seorang kanak-kanak yang dinilai oleh ibunya sendiri dengan harga AS$25,000,” kata jurucakap itu. 

Tangkapan dibuat selepas pembeli berkenaan memaklumkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa. – AGENSI