"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gabungan politik yang bawa seruan ‘Melayu bersatu’ dan ‘penyatuan ummah’ tapi sama sendiri bertelagah

Apo kobar sumo?

Mohsin Abdullah

Tidak mustahil jika sudah ada orang Negeri Sembilan mula berkata 'kamu ajak kita bersatu kamu sendiri tak bersatu'.

Bagi gabungan politik yang bawa seruan ‘Melayu bersatu’ dan ‘penyatuan ummah’ lalu menang pilihan raya kerananya, apa yang sedang berlaku membabitkan BN-PN di Negeri Sembilan agak ‘tak topek’. Itu loghat Nogori bererti tak kemas atau tak elok dipandang.

Iyalah, di mana perpaduan dan penyatuan apabila Rais Yatim mempertikai pelantikan menteri besar dan tuduh orang luar masuk campur urusan adat Negeri Sembilan?

Rais orang Wawasan. Menteri Besar Ismail Lasim orang Umno. Dan ‘orang luar’ yang Rais maksudkan juga orang Umno. Wawasan duduk dalam Perikatan Nasional yang sedang berkawan baik dengan Barisan Nasional, yang dalamnya ada Umno. Jadi taklah nampak perpaduan dan penyatuan BN-PN walaupun gabungan itu berkempen mengajak orang Melayu bersatu sekali gus menyatukan umat Islam.

Tidak mustahil jika sudah ada orang Negeri Sembilan mula berkata “kamu ajak kita bersatu kamu sendiri tak bersatu”, walaupun saya sendiri tidak atau belum lagi mendengarnya.

Tindakan Rais menyukarkan Presiden Wawasan Hamzah Zainudin. Macam mana nak bersemuka dengan Zahid Hamidi setelah orang kuat parti sendiri tuduh si presiden Umno masuk urusan adat Negeri Sembilan. Berpeluh jugalah nak explain kepada Zahid. Itu satu bab.

Satu lagi bab melibatkan watak utama krisis politik negeri yang tercetus April lalu, iaitu Jalaludin Alias. Beliau tidak hadir upacara angkat sumpah jawatan menteri besar seperti ditulis semalam. Alasan beliau terima undangan lewat dan sudah ada acara diatur terlebih dahulu.

Bertanya seorang kawan, anak jati Negeri Sembilan melalui WhatsApp, “jemputan istana versus majlis lain di kawasan?”. Dikatakan ada lagi Adun Umno yang tidak hadir. Ini bab Umno tak bersatu dengan Umno gayanya, lebih-lebih lagi Jalaluddin ketua Umno Negeri Sembilan.

Dalam pada Jalaluddin menggesa seluruh parti dan rakyat memberi sokongan penuh kepada Ismail Lasim selaku menteri besar bagi memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan, beliau juga dilaporkan tidak menawarkan diri untuk dilantik ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Pendek kata tak mahu jadi exco. Ismail pula dilapor berkata terpulang kepada si ketua Umno negeri itu.

Pelantikan exco membawa kepada bab tiga. Benar kata penganalisis politik yang saya petik untuk artikel semalam: “Kerusi exco perlu mengimbangi pelbagai kem politik untuk mengelakkan sebarang tindak balas atau backlash seawal minggu pertama. Menteri besar tidak boleh sekadar bergantung kepada majoriti DUN semat-mata”.

Seawal 3 Ogos PN sudah letak keyakinan akan jadi sebahagian exco, begitu kata Timbalan Pengerusi PN Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga timbalan presiden PAS. Sudah ada tekanan?

Sehari kemudian respons menteri besar ialah selain Adun PAS dan Wawasan akan turut mengisi jawatan exco. Tidak ada masalah. Bagaimanapun beliau akan bincang dengan Zahid — maklumlah presiden partinya.

Ismail juga beritahu media bahawa kerajaannya sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan jawatan timbalan exco bagi memperkukuh pentadbiran. Ini langkah untuk memuaskan hati atau mengambil hati semua pihak. Ismail dipetik media sebagai berkata:

“Sebab kita ramai kan? Dan mungkin tak boleh nak accommodate semua orang dalam barisan. Jadi, kita mungkin akan mewujudkan (timbalan exco) di dalam beberapa portfolio yang saya fikirkan penting.”

Ingat masa Onn Hafiz Ghazi si menteri besar Johor lantik 10 timbalan exco pada Julai lalu selepas menang besar PRN? Itu merupakan kali pertama pelantikan seumpama itu dilakukan. Onn juga kata untuk memperkukuh pentadbiran.

Namun tindakan itu dibantah pelbagai pihak yang melihat pelantikan itu membazir, tak berasas dan tersasar. Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim menegaskan pelantikan timbalan exco tiada dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini faktor penting tetapi tidak diendah Onn dan kerajaan Johor.

Saya rasa hujah bantah sedemikian is applicable to Negeri Sembilan.

Untuk berlaku adil saya ulangi Ismail sedang mempertimbangkan. Oleh itu wajar beliau teliti semua bantahan di Johor dulu khususnya yang dihujah Hassan kerana ia berkait perlembagaan.

Apa pun sudah ada suara memerli, antaranya diluahkan Ketua Operasi Ilham Centre Azlan Zainal di Facebok. Beliau anak jati Negeri Sembilan. Post beliau berbunyi: “Alhamdulillah peluang pekerjaan baru”. Siap emoji doa tanda kesyukuran.

Kamarulzaman Zainal, bekas setiausaha akhbar kepada perdana menteri ke lima, Abdullah Ahmad Badawi, merujuk sinis manifesto BN pada PRN lalu. Beliau juga orang Negeri Sembilan. Kata beliau di Facebook:

“50,000 kerja bakal wujud di N9. Buat permulaan diisi Timbaan Exco. Jika cadangan lulus.”

Juruterbang Malaysia berdepan hukuman mati di Indonesia

Alyaa Alhadjri

Dua rakyat Malaysia yang ditangkap dalam kes pengedaran dadah berasingan di Indonesia masih berada di dalam tahanan ketika pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia memperluas siasatan berhubung kemungkinan kaitan dengan sindiket rentas sempadan.

Juruterbang Malaysia yang ditangkap di Jakarta direman selama 20 hari, bermula 30 Julai hingga 18 Ogos .

Sementara itu, seorang pemuda berusia 22 tahun yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya pula masih dalam tahanan sementara menunggu kemungkinan tempoh tahanannya dilanjutkan.

Polis Negara Republik Indonesia (Polri) berkata tempoh tahanan juruterbang itu boleh dilanjutkan jika diperlukan bagi siasatan lanjut sebelum kes tersebut diserahkan kepada pihak pendakwa raya.

Melalui kenyataan kepada Malaysiakini, Jurucakap Polri, Jhonny Edison Isir berkata suspek berada dalam keadaan sihat dan ditahan di pusat tahanan Badan Reserse Kriminal (Bareskrim) Polri.

“Ketika disoal siasat sebagai suspek, dia ditemani seorang peguam yang disediakan oleh penyiasat kerana dia belum melantik peguam,” kata Jhonny.

Pada Isnin, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Shuhaily Zain mengesahkan pihak berkuasa lapangan terbang Indonesia menahan juruterbang Malaysia itu kerana memiliki lebih 70,000 pil ekstasi dan 2.7 gram metamfetamina.

Shuhaily turut berkata suspek telah melepasi semua pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum menaiki pesawat menuju ke Jakarta bersama 170 penumpang.

Sementara itu, Jhonny mengesahkan siasatan bersama akan dijalankan dengan Polis Diraja Malaysia.

“Kami masih menunggu ketibaan polis Malaysia,” katanya.

Mengenai tindakan selanjutnya dalam kes itu, Jhonny berkata penyiasat akan terus memperluas siasatan susulan penetapan rasmi individu berkenaan sebagai suspek dan penahanannya.

Katanya lagi, pemakluman akan dihantar kepada keluarga suspek dan Kedutaan Malaysia.

Suspek kes Surabaya juga masih ditahan

Sementara itu, rakyat Malaysia berusia 22 tahun yang ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya, pada 29 Julai dengan 990 gram metamfetamina dan 1,089 pil ekstasi diikat pada badannya juga masih dalam tahanan.

Lapangan terbang itu terletak di bawah bidang kuasa Polis Kota Sidoarjo.

Ketua bahagian narkotiknya, Dwi Gastimur Wanti semalam mengesahkan penahanan suspek.

“Buat masa ini, undang-undang di Indonesia membenarkan penahanan maksimum selama enam hari di lokap polis kota.

“Selepas itu, kami boleh memohon kepada ibu pejabat polis di Jakarta untuk melanjutkan tempoh tahanan sehingga 40 hari dan suspek akan dipindahkan ke tahanan polis daerah,” katanya kepada Malaysiakini semalam.

Dwi menjelaskan keluarga suspek dibenarkan melantik peguam mereka sendiri dan jika mereka gagal berbuat demikian, seorang peguam akan dilantik oleh pihak berkuasa tempatan.

“Kes ini turut disiasat di Malaysia. Melalui perkembangan siasatan, kami berharap dapat mengenal pasti nama pembekal dadah itu,” katanya.

Siasatan awal dilaporkan mendapati suspek bersetuju bertindak sebagai keldai dadah kerana menghadapi masalah kewangan dan hutang.

Siasatan terhadap sindiket rentas sempadan

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Hussein Omar Khan, mengesahkan bahawa siasatan bersama sedang dijalankan berhubung kedua-dua tangkapan di Jakarta dan Surabaya.

Pihak berkuasa turut menyiasat kemungkinan kaitannya dengan sindiket pengedaran dadah rentas sempadan yang lebih besar.

Kedua-dua kes itu turut mencetuskan perhatian terhadap kegiatan penyeludupan dadah melalui lapangan terbang, khususnya selepas pihak berkuasa mengesahkan juruterbang berkenaan telah melepasi pemeriksaan keselamatan di KLIA sebelum berlepas ke Jakarta.

Mengikut Perkara 113(2), Undang-undang Republik Indonesia Nomor 35 Tahun 2009 tentang Narkotika, kedua-dua rakyat Malaysia itu berdepan hukuman mati, penjara seumur hidup atau hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun.

Menjelang PRU16: 6 langkah luar biasa untuk halang BN-PN berkuasa

Tajuddin Rasdi

Rakyat yang menolak politik konservatif BN-PN kini berdepan perjuangan hidup mati dengan segala pilihan dan bentuk kerjasama perlu dipertimbangkan.

Selepas kemenangan meyakinkan di Negeri Sembilan, gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang didominasi parti Melayu mungkin kini semakin yakin mereka mampu memenangi PRU akan datang.

Sekiranya mereka turut menang di Melaka, Umno mungkin akan menarik diri daripada kerajaan perpaduan dan membawa bersama beberapa Ahli Parlimen bagi mencetuskan PRU lebih awal.

Persoalannya bukan lagi sama ada perkara itu akan berlaku, tetapi bila — mungkin seawal hujung tahun ini atau awal tahun depan.

Pakatan Harapan (PH) tidak mungkin menang melainkan kira-kira 1.5 juta rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara dapat mengundi dengan mudah, atau pulang untuk menyelamatkan negara daripada politik konservatif yang boleh memusnahkan Malaysia yang sepatutnya kita bina.

Namun, walaupun undi rakyat Malaysia di luar negara dapat digerakkan, PH masih berdepan cabaran besar.

Pengundi Melayu nampaknya sudah membuat pilihan yang jelas. Mereka dilihat tidak terlalu mempedulikan isu rasuah, pembangunan ekonomi atau keadilan, asalkan gagasan ‘Payung Melayu’ yang dianggap selamat oleh BN-PN dapat diwujudkan dan DAP, yang sering dilabel sebagai musuh, dapat dilemahkan selama-lamanya.

Justeru, PH tidak mempunyai pilihan selain melakukan perkara yang selama ini dianggap tidak mungkin.

PH mungkin hanya mempunyai beberapa bulan atau setengah tahun lagi untuk bertindak. Tiada lagi ruang untuk berlembut. Ini adalah perjuangan hidup mati bagi rakyat Malaysia yang menolak naratif konservatif BN-PN.

PH perlu mengambil langkah luar biasa yang tidak mungkin ditandingi BN-PN kerana kerakusan mereka. Saya akan menghuraikannya.

Gabungan baharu

Pertama, PH perlu membentuk gabungan longgar dengan semua parti berfikiran progresif seperti Muda, Parti Bersama Malaysia (Bersama), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan parti lain yang tidak menjadikan kaum atau agama sebagai asas utama ideologi mereka.

PH juga perlu memberikan beberapa kerusi kepada calon bebas yang jujur dan benar-benar serius untuk bertanding dalam pilihan raya.

Langkah ini akan menunjukkan kepada rakyat bahawa PH benar-benar mahu membawa politik progresif dan negara ke hadapan, manakala Umno boleh memilih untuk terus bersama PAS dan PN.

Bagi orang Melayu, BN-PN akan membawa naratif penguasaan penuh Melayu-Islam, manakala PH Plus pula menawarkan Malaysia progresif yang selari aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak.

Iktiraf UEC

Kedua, PH mesti mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu atau UEC sekolah aliran Cina, seperti yang sudah dilakukan di Sabah dan Sarawak.

Umno mungkin menuduh langkah itu sebagai tidak setia kepada Perlembagaan, tetapi Sabah dan Sarawak sebagai rakan yang membentuk Malaysia sudah menunjukkan jalannya.

PH juga perlu mengubah kuota kaum di universiti kepada nisbah 45:55 dan melaksanakannya tanpa berlengah.

Suatu ketika dahulu, Dr Mahathir Mohamad mengubah dasar pengajaran matematik dan sains kepada bahasa Inggeris dalam tempoh yang singkat selepas ramai orang Melayu meninggalkan Umno untuk menyokong gerakan reformasi.

Beliau mempunyai keberanian dan kebijaksanaan politik untuk menawarkan sesuatu yang sangat menarik kepada bukan Melayu dan golongan Melayu progresif. PH perlu meneliti dengan serius tindakan Mahathir ketika itu.

Ketiga, PH perlu menanggung 20% daripada yuran kolej swasta untuk anak muda daripada keluarga M40 dan B40.

Setiap graduan B40 daripada institusi awam atau swasta pula perlu diberikan elaun RM400 sebulan selama setahun bagi membantu mereka ketika mencari pekerjaan.

Bayaran itu boleh dihentikan dua bulan selepas mereka memperoleh pekerjaan yang sesuai.

BN-PN tidak mungkin melakukan perkara ini kerana ramai ahli politik mereka mungkin mempunyai rancangan lain terhadap wang itu.

Lebih baik PH menggunakan wang negara untuk kepentingan rakyat daripada meninggalkan tabung yang penuh untuk digunakan secara mementingkan diri oleh parti lain dan keluarga mereka sekiranya mereka mengambil alih pemerintahan.

Agama selain Islam

Keempat, PH perlu menubuhkan jabatan khas di peringkat persekutuan dan negeri bagi menguruskan hal ehwal agama selain Islam.

Jabatan itu boleh diketuai seorang anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri atau menteri di Jabatan Perdana Menteri dan bertanggungjawab menguruskan pembangunan rumah ibadat serta pendaftaran sahnya.

Hasil cukai daripada arak, perjudian dan industri penternakan babi boleh disalurkan kepada jabatan berkenaan.

BN-PN, dengan naratif ketuanan Melayu mereka, tidak mungkin menandingi langkah ini.

Sekali lagi, Sabah dan Sarawak sudah mempunyai jabatan serta peruntukan seperti itu, walaupun pembiayaannya bukan daripada hasil cukai yang saya nyatakan.

Perdana menteri dari Malaysia Timur

Kelima, PH Plus perlu membentuk pakatan dengan parti dominan di Sabah dan Sarawak serta memberi laluan kepada mereka untuk menang tanpa sebarang cabaran daripada PH.

BN-PN sekali lagi tidak mungkin menawarkan perkara sama kerana mereka terlalu menginginkan kekayaan kedua-dua negeri itu bagi tujuan yang hanya tuhan mengetahui.

Pakatan itu boleh diperkukuh dengan tawaran untuk membayar semua hasil minyak yang masih terhutang akibat ketidakadilan pada masa lalu.

BN-PN mungkin tidak akan bersetuju kerana, pada anggapan saya, mereka mahu kekayaan itu terus dikumpulkan di Semenanjung.

Keenam — dan ini boleh menjadi langkah penamat paling berkesan — PH boleh menawarkan jawatan perdana menteri kepada calon dari Sabah atau Sarawak sekiranya gabungan itu memenangi pilihan raya.

Anwar Ibrahim sepatutnya tidak mempunyai masalah dengan tawaran itu kerana saya yakin beliau tidak mempunyai kekayaan yang perlu dilindungi, begitu juga anak-anaknya, tidak seperti beberapa perdana menteri terdahulu.

Dengan itu, rakyat Malaysia akhirnya berpeluang melihat seorang tokoh dari Sabah atau Sarawak menjadi perdana menteri sebelum mereka meninggalkan dunia ini.

Masa semakin suntuk untuk rakyat Malaysia yang baik dan juga PH. Ini adalah keadaan yang menuntut tindakan habis-habisan.

Semua kemungkinan mesti dibuka dan setiap bentuk rundingan perlu dipertimbangkan, terutama langkah yang selama ini dianggap tidak masuk akal.

Tiada cara lain untuk menyelamatkan Malaysia daripada kembalinya budaya kekayaan dan kepentingan diri BN serta politik konservatif PN.

BN-PN tidak mungkin menandingi langkah-langkah ini.

Saya percaya rakyat Malaysia akan mempunyai banyak perkara menarik untuk dinantikan dan ini boleh mendorong mereka keluar mengundi.

Dalam tempoh akan datang, kita akan menyaksikan sama ada berakhirnya perjuangan untuk sebuah Malaysia progresif atau bermulanya sebuah negara lebih baik untuk kita semua.